Pages

Isnin, 9 Februari 2015

Peria Tumis Pedas Berapi!

Amie suka masak sayur peria sebab lepas makan... boleh terus berfungsi untuk cuci bersih perut kita. Ha... kali ini Amie tambah dengan kepedasan cili padi, lagilah cepat proses membakar lelemak dan terus cuci isi perut. Awas yeaaa.... yang tak biasa tu jangan ikut cara Amie. Nanti silap-silap kena cherry berry.... hiks!

Bahan-bahan:
1 biji peria seberat 300 gram - belah 2 - buang biji - hiris nipis (kalau takut pahit, gaulkan dengan satu sudu teh garam dan ramas hingga berair dan kemudian bilas bersih dan perah hingga kering)
15 ekor udang kertas - bersihkan - belah belakang dan buang urat
3 sudu makan minyak jagung
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
15 biji cili padi
1 biji cili merah
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
2 sudu makan udang kering

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak menggunakan api sederhana panas.
2. Masukkan udang dan gaul sebati. Masak sehingga udang berubah warna.
3. Masukkan peria, garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
4. Gaul rata dan tumis hingga peria masak atau berubah warna.
5. Padamkan api dapur.

Sehelai baju sudah kujahit,
Bertulang belut lengan bersembat,
Sudah ku tahu peria pahit,
Suka kuratah dibuat ubat!

2 ulasan: