Salam hujung minggu....
Masak apa?
Masak Ayam Ungkep dan istimewanya sebab lawan makan dengan nasi beras kampung. Beras huma.... beras pandan wangi dari Kundasang.
Walaupun sudah beberapa kali kongsi paparan resepi Ayam Masak Ungkep, tapi Amie masih terima pertanyaan terutama adik-adik yang mungkin baru belajar masak. Terima kasih kerana dengan pertanyaan mereka membantu Amie menambahbaik paparan untuk setiap resepi. Maklumlah, bila gunapakai resepi orang kampung, kita pun guna sukatan kampung. Misalnya... jintan manis sejemput, jintan putih sejemput. Jadinya, adik-adik kita pun inginkan kepastian... sejemput tu berapa gram? Barulah teringat, betapa bezanya zaman kanak-kanak dan zaman remaja kita dulu berbanding zaman remaja hari ini. Dulu, sedari kecil kita nampak Bonda kita masak. Maknanya, berdasarkan pengalaman kita lihat orang dulu-dulu masak main campak-campak saja. Dan satu lagi.... ada yang bertanya tentang sukatan garam / gula / perasa pilihan. Memang jarang Amie tulis satu sudu teh / makan garam atau gula, tapi tulis saja benda-benda tersebut sebagai pelengkap rasa atau secukup rasa. Maksud Amie, kalau masak sendiri kenalah sesuaikan rasa ikut selera masing-masing. Rupanya, Amie tulis begitu menyulitkan adik-adik. Tak apalah ye... in shaa Allah lepas ini Amie akan tuliskan kuantitinya, tapi kenalah juga sesuaikan dengan citarasa masing-masing, nak lebih garam atau kurang garam / gula / perasa pilihan.
Wokeyyy.... Ayam Masak Ungkep sudah siap!
Daku masak dengan penuh kasih sayang dan rindu dendam tau!
Nasinya pula beras kampung atau beras bukit (padi huma) dari Kundasang, Ranau.
Ini jenis padi huma @ bukit: beras pandan wangi.
Bahan-bahan:
1kg daging ayam - potong 8 - lumur dengan 1 sudu teh garam 1 sudu makan kunyit - perap seketika
2 batang serai - dititik
3 cawan air
minyak
1 sudu teh garam
1 sudu makan gula pasir / gula melaka
perasa pilihan (jika suka)
Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
2 sudu makan ketumbar biji
1 sudu makan jintan manis
1 sudu makan jintan putih
3 cm kunyit hidup
3 cm halia
15 biji cili padi
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan serai dan daging ayam dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
3. Tambahkan air, garam, gula dan perasa pilihan (jika suka). 4. Tutup kuali rapat-rapat.
5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging ayam tidak hangus kekeringan atau hancur.
6. Apabila kuah kering (jika suka kuahnya, tak perlu masaka sampai kering)dan ayam empuk, matikan api.
Habis licin..... tinggal tulang je!
Sedapnya nampak ayam masak ungkep. Mwsti bertambah sedap dimakan dengan beras bukit.
BalasPadamAslmkum amie.. lamanya tak jln2.. tak tahan tgok ayam ungkep tu..
BalasPadamSalam rindu..lama kak ros tak berblog.dapur amie pun dah berubah ya.
BalasPadam