Pages

Selasa, 7 Mei 2013

Kilau : MALAYSIAN FOOD FESTIVAL : SABAH MONTH

Assalamualaikum.
Pernah makan kilau? Kilau  merupakan sejenis hidangan tradisional masyarakat Bajau di Sabah. Biasanya kilau dimakan dengan putu, iaitu sejenis lagi makanan tradisi Bajau yang diperbuat daripada ubi yang diparut dan diperah airnya, kemudian dikukus hingga masak.  Selain kilau, sagol, tehe'-tehe', kima dan tayum juga disajikan untuk dimakan dengan putu.  Kilau juga boleh dimakan bersama tompek atau tinompeh. Bagaimanapun kilau tidak kurang enaknya jika dihidangkan bersama nasi!


Kali pertama Amie menikmati 'kilau' ialah sewaktu menghadiri jamuan perpisahan rakan-rakan guru yang diraikan kerana akan berpindah ke semenanjung pada tahun 2001. Ketika itu Amie dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Kelab Guru SMKSLD. Amie beri kepercayaan kepada seorang rakan guru untuk menyediakan hidangan berat kerana jamuan diadakan pada waktu tengahari. Antara lauk pauk yang dihidangkan termasuklah acar ikan masin, pucuk ubi masak lemak, ayam & ikan (tak ingat masak apa), dan kilau. Keesokan harinya kami bercerita sesama rakan tentang salah satu di antara lauk pauk yang dihidangkan pada hari tersebut. Kami tidak tahu 'kilau' yang kami makan itu merupakan hidangan ikan bilis mentah! Oleh kerana sudah masuk ke dalam perut dan rasanya enak tanpa sedikit pun bau hanyir ikan, kami minta resepi 'kilau' daripada rakan tadi. Siapa sangka rakan kami yang beribu keturunan Cina dan bapanya keturunan Jawa boleh menyediakan 'kilau'. Bila kami bercerita panjang lebar, rupa-rupanya suami kawan kami itu memang keturunan Bajau! Dan sudah pasti menu 'kilau' diperolehi dari keluarga sebelah suaminya.


Kilau yang enak hendaklah diperbuat daripada ikan segar. Ikan yang digunakan tidak terhad kepada sejenis sahaja seperti ikan bilis. Sewaktu hayat FIL masih ada, Amie biasa buatkan beliau 'kilau' dengan menggunakan ikan belanak atau ikan kembung. Walaupun FIL keturunan Melayu Cocos tetapi tetap berselera menikmati kilau! Nampaknya, 'kilau' merupakan hidangan merentas suku dan kaum di negeri Sabah!


Resepi : Kilau
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
500 gram ikan bilis segar - bersihkan - buang isi perut, kepala dan tulang serta ekor
2 biji mangga muda - kupas dan cincang halus
1 labu bawang besar - hiris halus
1 biji cili hijau  / merah - hiris
7-10 biji cili padi - hiris / biarkan saja - jika hendak makan baru patahkan
3 sudu makan cuka / perahan jus limau kasturi
garam / perasa pilihan

Cara:
1. Gaulkan kesemua bahan di atas.
2. Biarkan seketika - antara 15-20 minit sebelum dinikmati bersama putu atau nasi.


" I am submitting this post to MFF Sabah Month, hosted by Mary Peppers Love"




7 ulasan:

  1. Salam kak amie.. tun xpenah makan.. ni dh tau ikan mentah lagi susah nk makan ni.. hihi..

    BalasPadam
  2. salam amie..
    hmmm.. kecur air liur tgk juadah kilau yg amie hidangkan ni... teringat dgn juadah dr kelantan yg dipanggil lawar... pun diperbuat dr ikan mentah yg dimasak dgn jus limau... pernah madihaa buat sekali dulu... antara bahannya ada dicampurkan buah cermai... sbb susah nak jumpa buah cermai.. langsung tak buat2 lagi dah lepas tu.. hihi...

    BalasPadam
  3. Kiranya macam umai kat Sarawak lah ni kan Amie. Memang kalau pandai buat, tak terasa hanyir ikan mentah tu.

    BalasPadam
  4. Tertanya gak apa tu kilau.. bila bc hbs..ikn blis rupenya hihii.. xpenah mkn kak..baru ni tahu resepi kilau..

    BalasPadam
  5. salam kak amie..

    uinaa..sedapnya kilau tu kak..apalagi makan dengan putu..

    BalasPadam
  6. Wah, So impressive & like to try this dish.

    BalasPadam
  7. ikan tu macam masak dah.. kena dengan asam mangga.
    terliur tengok mangga muda, hehehehe

    BalasPadam