Pages

Sabtu, 10 Mac 2012

Ayam Masak Asam Pedas

Selamat petang semua. Seronoknya dapat bersantai-santai di petang Sabtu yang redup ini. Perut pun sudah terisi dengan hidangan tengahari. Rasa mengantuk pula datang! Sebelum melayan mata yang semakin berat ini, baiklah kita jamu mata dulu dengan hidangan kami, menu Ayam Masak Asam Pedas. Selalunya bonda mertua suka masak menu begini ketika semus anak cucu memenuhi dapur rumahnya! Bila beliau sudah tiada lagi, rasa rindu pula hasil air tangannya! Bonda mertua tidak bubuh daun limau purut tapi Amie masukkan kerana suka aromanya dan juga kepingan tauhu.  Dan satu lagi, beliau gunakan bahagian kaki, leher dan sayap ayam tetapi Amie gunakan daging ayam sahaja.



Resepi: Ayam Masak Asam Pedas
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
10 keping daging ayam - 600 gram
5 helai daun limau purut
2 batang serai - dititik
1 labu bawang besar - belah 4
2 keping tauhu - belah 4
3 cawan air
3 keping asam gelugur
garam & perasa pilihan
minyak

Bahan kisar:
15 biji cili kering
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1.5cm lengkuas
sedikit belacan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Masukkan serai dan daging ayam. Gaul rata hingga daging ayam layu.
3. Masukkan air dan biarkan sehingga mendidih.
4. Masukkan asam keping, garam dan perasa pilihan.
5. Masukkan daun limau purut dan tauhu.
6. Biarkan seketika sehingga daging ayam empuk. Masukkan belahan bawang besar.
7. Angkat dan hidangkan panas!


Encik Suami memang menolak hidangan begini. Jadi untuknya.... Amie sediakan sup ayam campur lobak putih dengan lobak merah!  Tak apalah, yang penting seleranya tetap ada. Yang belum makan tengahari jemputlah makan sama!

3 ulasan:

  1. Salam Amie..lama tak jenguk sini malah dapur kawan2 lain jugak.Sibuk kat tadika, ni dah mula cuti ni dapat la ronda2 .Ayam tu nampak sedap..apa pun kalau masam2 pedas pastinya sedap kan.

    BalasPadam
  2. Assalam amie, apa kbr, lama tak nampak amie. Dulu2 mmg saya tak reti n tak tau mkn ayam asam pedas, rupa2nya sedap juga, cuma tak pernah letak tauhu je

    BalasPadam
  3. Salam Puan Ros,
    terima kasih sudi jenguk dapur Amie walaupun sibuk,
    memang sedap masak asam pedas ni, baru tahu ada resepi begini dari bonda mentua.

    Waalaikumussalam Rosa,
    Amie khabar baik... sekarang Amie dah timbul semula ha ha hahhh...memang sedap asam pedas ayam, tauhub tu saja aje Amie tambah.

    BalasPadam