Pages

Isnin, 21 Februari 2011

Pembetulan: Kuih Bongkok Sebenarnya Kuih Brongkok

Assalamaualaikum, dan selamat petang kepada semua pengunjung. Kelmarin Amie muatkan gambar kuih bongkok seperti di bawah ini....


Sebenarnya selama ini Amie salah dengar, tak tahulah pekak badak barangkali. Orang sebut lain, Amie fikirkan lain. Pagi tadi Amie bertanya kepada beberapa orang rakan keturunan Bugis tentang kuih bongkok. Malangnya, mereka kata tidak ada nama 'bongkok' dalam kuih tradisi mereka. Setelah Amie terangkan rupa bentuk kuih tersebut, barulah mereka faham apa maksud Amie. Dan beginilah cerita mereka:

1. Cikgu Darwisah Abdul Wahid, (keturunan Bugis Pinrang), menelefon ibunya untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai kuih 'bongkok' Amie itu. Menurut ibunya, mereka memanggilnya baronggoh.

2. Menurut Cikgu Ramle Mapalabong pula, nama kuih itu ialah barongkok mengikut sebutan keturunan beliau dari sebelah Bugis Bone.

3. Cikgu Mustari Umar pula mengatakan kuih bongkok itu brongkoh, mengikut sebutan Bugis Andrekan.

4. Rujukan keempat saya ialah Cikgu Kamsiah Idris dan daripada beliau, saya mendapat resepi tradisional dan moden kuih barongkok. Katanya, mana-mana sebutan diterima samada barongkok, brongkoh atau baronggoh.

Di sini, Amie mohon maaf di atas kesilapan di atas dan sebagai hidangan seterusnya Amie paparkan bahan dan juga cara penyediaan kuih brongkok itu sebagaimana yang diperturunkan oleh Cikgu Kamsiah Idris daripada ibunya.

Bahan-bahan:
pisang sanggar (sebutan Sabahan - mungkin di tempat lain disebut pisang nipah @ abu)
santan pekat
1 biji telur
gula pasir
garam
daun pisang & lidi

Cara:
1. Pilih pisang yang masak ranum. Buang bahagian tengah pisang (empulur pisang), ambil isi yang elok sahaja.
2. Lecek sehingga benar-benar lenyek.
3. Campurkan dengan telur, santan, gula dan sedikit garam.
4. Bungkus dalam daun pisang.
5. Kukus sehingga masak.
6. Sejukkan di dalam peti sejuk sebelum dimakan.

Walaubagaimanapun, menurut Kamsiah dan rakan-rakan yang lain, mereka hanya menemui kuih brongkok semasa majlis kenduri sahaja kerana masyarakat hari ini kurang mempunyai waktu untuk membuatnya. Dan, ada alternatif lain untuk menyediakan kuih ini iaitu dengan cara mengukusnya di atas dulang tanpa perlu membungkus dengan daun pisang. begitu juga dengan pisang yang dilenyek, mereka lebih suka menghancurkannya penggunakan penngisar. Untuk mengenalkan aromanya, letakkan daun pisang di bawah gulang pengukus. Sekiranya ingin menyediakan secara tradisional, pilihlah daun pisang yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda sebagai pembungkus. Brongkok di dalam gambar di atas ialah brongkok tradisional kerana ada daun pengikat sekali. Terima kasih kepada rakan-rakan Amie kerana sangat senang hati membantu Amie mengenali kuih brongkok yang sebenar....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan