Lama benar Amie menyimpan hasrat untuk membuat acar mentah (resepi orang kampung Amie semasa kenduri-kendara). Kenapa namanya acar mentah ye..... Sebenarnya gini, masa Amie kecil2 dulu selalu ikut bonda pergi 'rewang' di majlis kenduri - kendara di kampung. Dari situlah Amie mengenali acar mentah ini. Salah satu bahan acar mentah tu ialah timun. Sebahagian isi dan kulit timun di potong panjang untuk dibuat acar rampai (acar yang dimasak dengan lobak dan rempah-rempah serta ditabur bijan). Bahagian isi timun pula (biasanya timun muda) diricih halus-halus, dicampur dengan nanas masak dan sengkuang untuk dijadikan acar mentah. Ada satu lagi bahan tambahan iaitu udang kering....yang memang Amie tak pernah jumpa dalam acar yang lain. Nampaknya, petang ini tertunailah hasrat Amie itu dan kira berjayalah juga menghasilkannya walaupun hanya menggunakan imaginasi sendiri ...dengan mengingat kembali segala kenangan masa kecil dahulu. Amie tak pernah jumpa acar mentah ini sejak Amie tinggalkan kampung halaman hampir 20 tahun yang lalu. Apa yang Amie ingat ialah, acar mentah ini sangat enak rasanya, cantik hirisannya dan wangi baunya.... memang betul, bila Amie buat sendiri... rasa nak buat lagi pada masa akan datang terutama semasa buat rumah terbuka. Tengoklah gambar di bawah ni....nampak macam sayur bening je..... tapi sebenarnya itu ialah air nanas sebab Amie gunakan lebih nanas dan kebetulan pula nanas tu masak ranum. Sayang nak perap dengan garam sebab nanas tu manis..., jadi Amie biarkan air nanas tu jadi kuah acar.
Bahan-bahan:
1/2 biji nanas masak
1 biji timun
1 biji sengkuang
1 genggam udang kering (direndam dan tumbuk kasar)
2 biji lada merah
2 biji lada hijau
1 labu bawang besar
4 sudu gula
secubit garam
5 biji limau kasturi (perah airnya)
Cara:
1. Nanas, timun dan sengkuang, lada merah,lada hijau dan bawang besar dihiris halus / nipis.
2. Masukkan dalam mangkuk besar dan taburkan garam serta udang kering.
3. Masukkan gula dan air limau kasturi. Gaul mesra.
5. Biarkan seketika sebelum dihidangkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan