Pages

Sabtu, 29 Januari 2011

Layar Masak Campuran Perisa Lea & Perrins Worcestershire Sauce

Hujan terus turun mencurah-curah... di kampung, di bandar, segenap penjuru daerah Lahad Datu. Biarpun hujan siang dan malam, perut pun perlu di isi.... anak-anak dah mula bising, asyik masak ikan berkuah2...dah bosan kata mereka. Bagus juga anak-anak beri isyarat begitu, jadi kenalah kreatif sedikit untuk masak. Kebetulan cuti sekolah (cuti tahun baru cina) seminggu penuh... ini yang syok ni... waktu beginilah boleh mengeratkan hubungan dengan anak-anak melalui masakan. Maklum, kalau hari bekerja, sebelum matahari terbit, kita dah keluar, bila matahari dah terbenam barulah dapat berkumpul semula... sayangnya masing-masing dah letih, layan matalah saja gamaknya. Sebenarnya kami tidak makan waktu malam, selalunya makan nasi sebelum jam 7.00 malam tetapi sebab petang tadi tersekat di jalan-jalan tertentu kerana membeli-belah, sampai rumah agak lewat. Jadi, makan pun lewat jugalah.... nasib baik ikan yang dikeluarkan tengahari tadi (tak jadi masak) dah hilang ais. Sementara menunggu nasi masak, saya pun buatlah mana yang patut untuk hidangan malam sekeluarga....


Bahan-bahan:
8 potong ikan layar
1 batang lobak merah (potong ikut suka)
15 biji kacang manis
1/2 biji capsicum kuning (potong kiub)
2.5 cm halia muda (hiris nipis)
3 biji bawang putih (pecahkan)
minyak

Bahan untuk memerap:
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu lada putih (tumbuk)
1 sudu minyak bijan
1 sudu tepung jagung

Bahan untuk sos: (campurkan kesemuanya dalam bekas berisi 1/2 cawan air)
1 sudu Lea & Perrins Worcestershire Sauce
1 sudu sos soya
1 sudu kecil gula
1/2 sudu teh garam
1 sudu tepung jagung
1/2 cawan air

Cara:
1. Gaul ikan layar dengan bahan perap dan tutup selama 20 minit.
2. Goreng ikan layar selama 1-2 minit sahaja. (cepat masak sebab sudah diperap)
3. Celur sebentar lobak merah, kacang manis dan capsicum kuning. Toskan.
4. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis halia bersama bawang putih hingga wangi.
5. Masukkan lobak merah, kacang manis dan capsicum kuning.
6. Masukkan ikan dan bahan sos. Gaul rata.
7. Sedia untuk dihidangkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan