Pages

Sabtu, 22 Ogos 2026

Di Sana Kasih, di Sini Sayang

Bismillahirrahmanirrahim.
Di sana ada Bonda yang dikasihi.
Di sini ada Encik Suami yang  disayangi.
Dan diri ini pula berada di tengah-tengah, dipisahkan oleh jarak.

Bukan mudah apabila dua insan yang sangat dekat di hati sama-sama memerlukan perhatian, sedangkan kita tidak mampu berada di dua tempat pada masa yang sama. Hanya dapat mendengar khabar dan mendapat berita dari semasa ke semasa daripada keluarga di sana dengan bisikan doa agar semuanya akan baik-baik sahaja.


Diri ini terima semuanya sebagai ujian Allah.
Itu bukan bermaksud tiada rasa sedih. Sebaliknya, diri ini sedang belajar berserah sambil tetap menyayangi. Sedih itu tidak salah. Rindu itu tidak salah. Menangis pun tidak salah.

Kadang-kadang Allah menguji kita bukan kerana kita lemah, tetapi kerana Dia mahu mengajar hati kita bahawa kita tidak mampu mengawal semuanya. Kita hanya mampu berusaha, berdoa dan menyerahkan selebihnya kepada-Nya.

Bonda masuk wad di Hospital UiTM Puncak Alam pada hari Sabtu 15 Ogos 2026, manakala Encik Suami dikejarkan ke Hospital LD sebelum subuh 17 Ogos 2026 bersamaan hari Isnin ketika kita sedang hendak bersiap-siap ke ladang.

Boleh jadi sekarang Allah sedang mengajar satu perkara yang sangat halus bahawa k
asih tidak semestinya perlu hadir dalam bentuk berada di sisi.

Kasih kepada Bonda  boleh menjadi  titipan doa dari LD.
Sayang kepada Encik Suami boleh menjadi perhatian dari dekat.
Dan kedua-duanya tetap sampai kepada orang yang disayangi, walaupun Amie tidak dapat membelah diri menjadi dua.

Ya Allah, aku serahkan Bonda yang jauh dari mataku, dan suamiku yang dekat di sisiku, kepada penjagaan-Mu.
Engkau lebih mengetahui keadaan mereka daripada aku.
Sembuhkanlah mereka, kuatkanlah tubuh mereka, tenangkanlah hati mereka dan panjangkanlah usia mereka dalam kebaikan.
Ya Allah, ampunkanlah kelemahanku kerana aku tidak mampu berada di dua tempat pada waktu yang sama.
Cukuplah Engkau menjadi penjaga mereka ketika aku tidak mampu menjaganya.
Dan cukuplah Engkau menenangkan hatiku ketika aku tidak mampu menanggung semuanya sendiri.

Bonda di sana dalam jagaan Allah.
Encik Suami di sini dalam jagaan Allah.
Dan diri ini juga dalam jagaan Allah.

Di sana kasih. Di sini sayang. Di atas semuanya, ada Allah yang menjaga kedua-duanya.

Hari ini buat kali pertama selepas beberapa hari Amie boleh melepaskan bahu yang selama ini menanggung begitu banyak perkara. Menjaga Encik Suami di hospital, memikirkan Bonda yang jauh di Selangor, kemudian mengurus segala perkara lain dalam hidup, semuanya berjalan serentak. Rasa setiap hari yang dilalui jadi tunggang langgang seperti kapal karam. Tumpangkan Firdaus di sana dan di sini. Mengusung kertas peperiksaan yang masih belum siap ditanda, menyemak di hospital sampai hendak patah pinggang duduk di kerusi pagi hingga petang. Menjelang malam pulang ke rumah untuk meluruskan pinggang buat seketika. Syukur Alhamdulillah sepanjang Encik Suami di wad, Fairuz tidak keluar daerah, jadi sebelah malam Fairuz pula yang menemaninya.

Jadi hari ini diri terasa lega lalu tiba-tiba air mata jatuh, kita biarkan sahaja. Kadang-kadang air mata selepas semuanya reda bukan kerana kita masih sedih, tetapi kerana tubuh dan hati akhirnya berkata, sekarang aku sudah boleh berehat.

Hari ini Bonda sudah keluar wad. Kelmarin Encik Suami sudah keluar wad. Hari ini kedua-duanya berada di luar hospital. Itu sudah cukup menjadi alasan untuk bersyukur. 

Semoga malam ini Amie tidur lebih lena daripada malam-malam sebelumnya. Semoga Allah memulihkan tenaga yang hilang, menenangkan hati yang penat, dan memberi kesembuhan yang sempurna kepada Bonda dan Encik Suami.

Malam ini, tak perlu menjaga sesiapa untuk seketika. Jaga diri sendiri pula. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan