Pages

Ahad, 23 Ogos 2026

Bonda Teringin Makan Nasi Goreng Cekuk @ Cekur Manis dengan Hati Ayam

Bismillahirrahmanirrahim.
Sewaktu Bonda berada di wad, Wak Aton kata Bonda tidak ada selera makan. Tiba-tiba pada hari kedua Bonda teringin makan keladi goreng. Amie ikuti segala perkembangan Bonda melalui WhatsAap Group keluarga. Mencarilah anak dan cucu keladi goreng sampai ke Setia Alam. Tidak jumpa. Kata mereka, ketika ada orang jual keladi goreng, tidak dipandang. Apabila perlu, tidak ada pula. Akhirnya Wak Aton kata, sudah jumpa keladi goreng di kampung. Dibawanyalah ke Hospital UiTM Puncak Alam.

Hari seterusnya Bonda hendak makan Nasi Goreng Cekuk @ Cekur Manis dengan Hati Ayam. Wak Aton kata, suaminya gorengkan nasi dan hantar ke hospital. Alhamdulillah, melalui video yang dikongsi nampak Bonda sedang makan Nasi Goreng Cekuk @ Cekur Manis dengan Hati Ayam.

Cerita tentang hati ayam, teringat pula zaman dahulu orang tua-tua larang anak-anak makan hati, jantung, mempedal, tongkeng dan telur muda. Kata mereka hanya orang tua-tua sahaja yang boleh makan. Kalau masak untuk kenduri, memang orang tertentu sahajalah yang boleh makan seperti nenek dan mak bidan. Kita pun tidak pernah persoalkan mengapa hanya golongan tertentu sahaja yang boleh makan. Cuma dalam hati berkata: Nanti apabila sudah tua bolehlah aku makan 'jerohan @ organ dalaman ayam'.

Nasi Goreng Cekuk @ Cekur Manis dengan Hati Ayam


Kelmarin Amie beli hati ayam segar dan cekuk @ cekur manis. Balik rumah tidak sabar untuk cuba buat Nasi Goreng Cekuk @ Cekur Manis dengan Hati Ayam. Amie tak pernah goreng nasi begini. Sekali suap, memang terasa sungguh sedap. Ada baki nasi dan hati ayam serta cekuk @ cangkuk manis, jadi Amie buat Nasi Goreng Cekuk@ Cekur Manis sekali lagi untuk sarapan. Firdaus habiskan hingga licin pinggan!

Berkaitan larangan orang tua-tua dahulu supaya anak-anak tidak makan hati dan pedal ayam sebenarnya boleh dilihat daripada beberapa sudut, bukan semata-mata kerana makanan itu untuk orang tua.

Dahulu, terutama ketika ayam kampung menjadi sumber utama, hati, pedal, jantung dan bahagian dalaman ayam sangat bernilai. Sebab itu dalam kenduri di kampung kami, ada adat tidak rasmi bahawa bahagian-bahagian tertentu diberikan kepada orang tua atau mak bidan.

Mengapa hati dan pedal dianggap istimewa? Hal ini kerana ia merupakan bahagian yang sedikit tetapi sangat sedap. Seekor ayam hanya ada satu hati dan satu pedal. Kalau ayam yang disembelih untuk kenduri cuma beberapa ekor, jumlahnya sangat terhad. Hati pula mempunyai rasa yang lemak, berkrim dan sedikit manis, manakala pedal mempunyai tekstur kenyal dan berurat, yang menjadi lebih sedap apabila dimasak lama. Jadi, memang ada kemungkinan orang yang rewang sengaja menyimpan atau asingkannya sebagai tanda hormat kepada orang yang lebih tua termasuk mak bidan untuk menikmatinya.

Dari sudut nilai pemakanan, hati ayam sebenarnya kaya dengan zat besi, vitamin B12, folat, vitamin A dan beberapa mineral. Pada zaman dahulu, makanan berkhasiat seperti ini tidak semestinya mudah diperoleh setiap hari. Maka apabila ada ayam disembelih, bahagian hati mungkin dianggap makanan yang baik untuk orang yang memerlukan tenaga atau sedang dalam pantang.

Masih terbayang, sewaktu muputi adik (kenduri sempena tali pusat jatuh), mak bidan 'jaga' semangkuk jerohan (bahagian organ dalaman ayam) yang dimasak ungkep. Kata mak bidan : Anak-anak tak boleh makan ini.... ahaks!

Ah, apabila dikenang, ia merupakan satu nostalgia indah zaman kanak-kanak tentang cara orang dahulu menghargai makanan dan menghormati orang yang lebih tua melalui sajian ketika rewang.

Kini, Amie ingin abadikan sepotong hati yang menjadi segenggam kenangan!

Hati Ayam & Cekuk @ Cekur Manis

Tengah hari kelmarin, selesai sahaja aktiviti kokurikulum, Amie singgah di pasar beli hati ayam dan cekuk @ cekur manis. Sampai rumah, Amie terus ke belakang dapur petik cili padi putih. Nanti bolehlah dijadikan perencah nasi goreng.

Di Sabah, biasanya cekur manis tidak banyak daun. Cekur manis dipetik pada bahagian atas iaitu pucuknya yang lembut. Dalam gambar di atas menunjukkan pucuk cekuk @ cekur manis yang hanya dipetik dari pucuknya yang muda.


Gambar atas : Nasi Goreng CM & HA kelmarin.
Gambar bawah : Nasi Goreng CM & HA pagi tadi.


Bahan-bahan:
  • 2 cawan nasi putih sejuk
  • 5 ketul hati ayam
  • 1 cawan cekuk @ cekur manis
  • garam / perasa/ pilihan / stock ayam / perencah nasi goreng kampung
  • 1 labu bawang besar - cincang
  • 3 ulas bawang putih - cincang
  • 1 tangkai cili merah / cili padi - ikut kepedasan yang diingini
  • 3 sudu besar minyak
Cara memasak:
  1. Gaul hati dengan sedikit garam. Goreng hingga masak. Angkat dan toskan. Potong saiz kecil.
  2. Tinggalkan 3 sudu besar minyak dalam kuali.
  3. Masukkan bawang besar, bawang putih dan hirisan cili merah / cili padi.
  4. Apabila bawang sudah kuning keemasan, masukkan nasi sejuk. Gaul rata. Biarkan sehingga keluar sedikit asap.
  5. Masukkan bahan perasa pilihan secukuonya.
  6. Taburkan cekuk @ cekur manis dan juga hati ayam goreng.
  7. Gaul beberapa kali sehingga cekuk @ cekur manis berubah warna.
  8. Padamkan api dapur.

5 ulasan:

  1. Semuga bonda semakin berselera makan untuk menambah kan tenaga. Betul tu memori masakan waktu dahulu kadang satu kenangan yg tidak pernah pada. Aruah mak tak bagi makan bontot ayam Dan leher ayam. Kita punya lah tak berani nak makan sekali dah tersalah makan rupanya sedap leher ayam masak sup. Yg bontot pula paling berlemak.

    BalasPadam
  2. Eh kita terbalik pula kak 😄. Kalau dulu saat saya kecil, justru hati ayam, rempela, jeroan, itu anak2 yg banyak makan. Mama selalu paksa kami makan hati ayam. Tp mama dan papa tak makan. Mereka bilang utk anak2 saja Krn masih muda. Kalau dah tua, tak boleh makan jeroan , hati dan rempela. Sebab kolesterol 😄.

    BalasPadam
  3. mcm mana keadaan bonda kak amie skrg?

    kalau sy dulu kepala ikan. tak tahu laa kenapa tak bagi mkn kepala ikan. nnt benak katanya
    tp dah besar kenainnn lagi mkn kari kepala ikan hahahhaa

    hati ayam kalau masak mcm ni sy boleh mkn. kalau ratah gitu je mmg tak lalu sgt hehehhe

    BalasPadam
  4. Makanan di hospital ni kadang2 mmg tak kene dengan tekak kite. Masa sy admitted dulu, sedap tak sedap kite terpaksa makan je. lagi satu portion nye sikit sangat, mmg tak cukup, sentiasa lapo masa kat hospital... hehehe

    BalasPadam
  5. Alamak.. jauhnya cari keladi goreng sampai Setia Alam sana.
    Sedap betul jeroan ungkep. Masakan paling sedap untuk jeroan. Meresap bumbunya.

    BalasPadam