Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, setiap pagi di Harmony City Hotel, kami disajikan pelbagai pilihan makanan yang mengenyangkan. Selain hidangan tradisional Palestin, terdapat juga menu antarabangsa yang sesuai dengan selera para pelancong dari pelbagai negara. Pagi ini suasana dewan makan sangat meriah dengan kehadiran jemaah umrah dari Indonesia. Menurut ceritanya sebelum ke Makkah, mereka singgah dahulu di Palestin untuk ziarah ke Masjidil Aqsa..
Ketika menulis entri ini dan terpandang buah kurma, Amie teringat-ingat pula kenapa setiap kali disajikan kurma, Amie tidak ambil? Mungkin banyak pilihan makanan lain, jadi kurang pedulikan buah kurma. Tidak terfikir pula untuk ambil sebiji dua dan simpan dalam beg sandang, dan boleh dimakan dalam bas ketika lawatan. Itulah sifat manusia. Ada di depan mata tidak nampak, sudah tertinggal jauh dirindui pula... ahaks!
Antara menu sarapan yang disajikan termasuklah keju putih Nabulsi iaitu sejenis keju tradisional Palestin yang terkenal. Rasanya sedikit masin dengan tekstur yang padat, sesuai dimakan bersama roti, tomato atau timun. Di samping itu terdapat juga keju hirisan kuning, yang lebih lembut rasanya dan menjadi pilihan ramai.
Bagi yang gemarkan hidangan lebih mengenyangkan, terdapat nasi berempah Arab yang dimasak menggunakan rempah-ratus pilihan. Aroma rempahnya cukup menyelerakan, manakala butir nasinya berderai dan sedap dinikmati begitu sahaja atau bersama lauk lain. Sayangnya ada tekak yang tidak dapat menerimanya kerana ada rasa sedikit masam. Mungkin disebabkan perahan lemon.
Bufet sarapan pagi ini turut menawarkan hirisan daging ayam belanda (turkey) dan keju hirisan bulat, pilihan yang biasa ditemui di hotel-hotel di Timur Tengah. Nampaknya gabungan hidangan tempatan dan antarabangsa menjadikan sarapan di sini lebih lengkap.
Syukur Alhamdulillah, kami dapat menikmati rezeki yang Allah SWT kurniakan di bumi Palestin. Walaupun negara ini berdepan pelbagai cabaran, layanan mesra dan hidangan yang disediakan oleh pihak hotel tetap meninggalkan kenangan yang indah. Semoga suatu hari nanti bumi Palestin kembali aman dan makmur, serta rakyatnya dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
 |
| Selamat pagi Palestin, bumi para anbia'. |
Pagi ini Encik Suami kelihatan lebih bertenaga setelah berehat dan tidur semalaman. Kalau semalam hanya minum air suam sahaja, waktu sarapan nampak agak berselera walau pun pada mulanya seakan-akan enggan untuk menjamah makanan.
 |
| Mencari semangat baru di pagi yang dingin. |
Firdaus seperti biasa, lincah bergerak ke sana dan ke mari dan membantu 'makcik' dan 'pakcik'nya menekan butang mesin minuman panas.
Firdaus sarapan cornflakes dengan susu. Mungkin selera Encik Suami belum terbuka sepenuhnya, jadi nampaklah dua beranak ini berkongsi sarapan. Encik Suami hanya mengambil air suam sahaja.
Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ada juga makanan yang masuk ke perut Encik Suami.
Firdaus mengambil video sendiri untuk menunjukkan minuman panas dari mesin.
Rajin sungguh Firdaus melayan Baba. Apabila Encik Suami melihat makanan dalam pinggan Firdaus dan rasa teringin, Firdaus akan ambilkan. Jadinya selain cornflakes, Encik Suami juga alas perut dengan makanan lain.
Jom kita berkenalan dengan menu sarapan di Harmony City Hotel.
Ini kelihatan seperti nasi pilaf Arab atau nasi berempah, dimasak bersama rempah-ratus dan dihias daun ketumbar cincang. Ada juga kelihatan hirisan cili hijau atau lada hijau. Ia sesuai dimakan bersama lauk lain.
 |
| Chicken Butter |
Chicken Butter berkuah merah ini berasaskan tomato dan rempah. Di atasnya disiram dengan krim segar dengan taburan daun ketumbar cincang.
 |
| Sosej |
 |
| Telur Hancur |
 |
| Telur Rebus |
 |
| Roti Arab - Khubz |
Roti Pita (Pita Bread / Khubz Arabi) berbentuk bulat lembut yang menjadi makanan ruji di Palestin. Lazimnya dimakan bersama hummus, labneh, atau pelbagai pencicah lain.
 |
| Madu & Mentega |
 |
| Jem Strawberi |
 |
| Keju Putih |
Keju putih ini namanya Keju Nabulsi (Nabulsi cheese) atau Keju Arab (Jibneh Arabieh), iaitu keju putih yang terkenal di Palestin. Rasanya sedikit masin dan lazim dimakan bersama roti, zaitun atau tomato.
 |
| Keju Putih atau Keju Arab |
Keju hirisan kuning ini dikenali dengan nama keju Edam, Gouda, atau keju proses yang dihiris nipis. Keju jenis ini untuk dimakan bersama roti dan sayur-sayuran.
Hirisan daging sejuk dan keju daging ayam belanda (turkey) atau sosej ayam yang dihiris. Bulatan putih ialah keju hirisan.
 |
| Creamy Corn Salad |
Salad Jagung Berkrim (Creamy Corn Salad)
Salad jagung manis yang digaul dengan mayonis dan yogurt, dihias daun kucai cincang. Rasanya lemak, manis dan segar.
 |
| Hummus |
Hummus, yang sudah biasa Amie jumpa tetapi jarang makan ini terdiri dari bahan puri kacang kuda yang dikisar bersama tahini (pes bijan), bawang putih, jus lemon dan minyak zaitun. Biasanya dihias serbuk paprika dan daun parsli. Ini antara hidangan sarapan paling terkenal di Palestin.
 |
| Labneh dengan Za'atar |
Sebelum ini sudah beberapa kali jumpa Labneh dengan Za'atar di Jordan tapi belum pandai makan. Labneh merupakan yogurt yang ditapis sehingga pekat, kemudian dihias dengan campuran rempah za'atar dan minyak zaitun. Rasanya sedikit masam, berkrim dan katanya sangat sedap dimakan bersama roti pita.
 |
| Tomato ceri yang pejal dan manis. |
 |
| Hirisan timun. |
Kurma yang dikeringkan, berwarna coklat gelap dan berkedut. Saiz kurma kadang-kadang berbeza. Ada masanya saiz kecil begini dan ada masanya saiz besar.
Oleh kerana hari ini kami dimaklumkan akan banyak menggunakan tenaga dengan berjalan kaki, jadi kenalah makan lebih sedikit terutamanya telur. Sudah ambil telur hancur, ambil lagi telur rebus... ahaks!
Ambil keju, nak rasa juga keju Arab @ Palestin. Ambil sebiji kurma.
 |
| Yang panjang persegi inilah Keju Arab, yang rasanya masin-masin sikit. |
Ini yang rasa menyesal tak sudah! Apa tidaknya. Tak pernah ambil Roti Arab. Pagi itu entah mengapa ringan saja tangan ambil sekeping Roti Arab tapi dipotong sebelah. Kita masukkan dalam oven. Kemudian sapu dengan mentega. Belum sempat tambah jem atau madu, kita cuba segigit. Sedap pula rasanya. Hendak tambah lagi tapi perut sudah tidak boleh terima!
Selalu jumpa Roti Arab kenapa tidak diusik? Sudah sampai masa hendak balik, barulah tergerak hati hendak mencuba! Rupanya makan Roti Arab ketika masih panas dengan lelehan mentega cair memang sangat sedap!
Nampaknya di pagi nan dingin ini rasa lebih bersemangat melihat Encik Suami sudah kembali sihat dan bertenaga. Semoga kembara kami pada hari ini dipermudahkan oleh-Nya.
Pagi 30 Disember 2025 itu suhu serendah 7'C.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan