Pages

Selasa, 7 Julai 2026

Ikan Gerong-Gerong Masak Asam Rebus

Bismillahirrahmanirrahim. 
Mohon maaf, kalau datang ke dapur Amie sering dihidangkan dengan masakan rebus-rebus sahaja. Di awal waktu Encik Suami jaga pemakanannya memanglah asyik ikan atau ayam rebus dengan sayur sawi. Dengan kata lain yang lebih sedap didengar perkataan 'sup' lebih sesuai digunakan kot.... ahaks!

Apabila Encik Suami masak sendiri lauk supnya, beliau hanya tambahkan hirisan halia, bawang merah dan bawang putih sahaja. Biasanya ketika Amie masak di dapur, memang beliau akan turut serta menyediakan hidangannya sendiri. Lama-kelamaan barulah Amie perasan, Encik Suami tidak masukkan asam keping. Mungkin sup dinikmati panas, jadi kurang rasa hamis atau hanyir ikan sebab ditambah halia.

Sekarang kalau Encik Suami masak sup, sudah pandai tambah asam keping dan juga serai. Amie pula dari semasa ke semasa sering mencari 'rasa sup' yang segar dan lebih enak dari kebiasaan. Misalnya dalam masakan singgang, Amie suka bubuh tomato yang direbus lebih awal supaya timbul rasa masam manis dalam kuah. Amie tambahkan warna-warna sayuran supaya lebih menarik seperti putik jagung, sweet pepper dan juga tomato ceri. Tidaklah hanya warna kuah jernih bersama ikan atau ayam dan sayur sawi.

Melihat Amie selalu masak untuknya, Encik Suami sudah pandai bubuh serbuk kunyit untuk lauk singgangnya nampak berseri, dan juga masukkan daun kunyit supaya aromanya lebih segar. 

Kelmarin, Amie oleh Ikan Gerong-Gerong Masak Asam Rebus. Kali ini Amie 'mencari rasa' yang agak berbeza untuk Encik Suami. Amie kisar tomato berama hirian nanas dan direbus untuk dijadikan kuah asam rebus. Oleh kerana nanas sudah ada rasa manis, ditambah tomato dan asam keping jadi bertambahlah enak rasa kuahnya.

Ikan Gerong-Gerong Masak Asam rebus

Resipi Ikan Gerong-Gerong Masak Asam Rebus
Bahan-bahan:
  • 1 ekor ikan gerong-gerong - bersihkan
  • 700 ml air
  • 7 batang kacang bendi
  • 2 ulas bawang putih - hiris
  • 1/2 labu bawang besar - hiri
  • 1 batang serai - diketuk
  • 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 keping asam gelugur
  • garam / perasa pilihan secukupny
Bahan kisar:
  • 1 cawan hirisan nanas masak
  • 1 biji tomato
  • 1/2 biji cili merah - buang biji - Encik Suami tidak makan pedas - sekadar ambil warna cili merah sahaja
Cara memasak:
  1. Masukkan air di dalam periuk / kuali dan jerang di atas dapur.
  2. Masukkan bahan kisar, bawang putih, bawng besar, serai, asam gelugur dan serbuk kunyit.
  3. Setelah mendidih, masukkan ikan, kacang bendi, garam / perasa pilihan.
  4. Rasa sedikit kuahnya, dan jika terlebih masam, keluarkan asam keping.
  5. Setelah ikan masak sempurna. padamkan api dapur.
Ikan Gerong-Gerong

Selain nama ikan gerong-gerong, ikan warna kuning keemasan ini juga dikenali sebagai ikan ikan gerong belang, ikn kalakitok atau ikan gomblang. Boleh rujuk dalam entri lama : Kenali Pelbagai Jenis Ikan di Pantai Timur Sabah



Ikan Gerong-Gerong Masak Asam Rebus




4 ulasan:

  1. Comel pulak tengok ke ikan tu kak amie... Salam rindu -_-

    BalasPadam
  2. rasa nak cubit je ikan tu...haha...menarik kan kalau bubuh tomato, bell pepper,..jd colourful..

    BalasPadam
  3. uniknya ikon gerong2 ni. corak dia mcm ikan nemo pulak

    BalasPadam
  4. Saya igt ikan gerut2...kot la Ada Nama lain..rupanya mmg ikan gerong2...

    BalasPadam