Bismillahirrahmanirrahim.
Rasanya lama-lama Amie pun akan terikut-ikut gaya pemakanan Encik Suami. Masak sup, rebus-rebus saja. Senang kerja memasak! Firdaus pula sudah tentulah hendak mencari lauk bergoreng. Jadi kenalah layan dua selera. Kalau tidak tentu salah seorang mogok tak mahu makan!
Layankan sajalah dua beranak ini.
Masak sajalah ikan sup atau ikan rebus dengan sayur-sayuran. Kemudian gorenglah seekor ikan tilapia. Cukuplah lauk untuk hari ini. Encik Suami memang akan mencari sayur dalam hidangannya. Kalau sudah banyak sayur, tak perlulah sediakan salad campur seperti selalu. Encik Suami sudah pandai atur diet pemakanannya. Kalau sarapan pagi, makan telur rebus dan salad. Kalau lapar, beliau makan biskut. Begitulah.
Banyaklah aksesori Sup Ikan Salmonnya. Ada sawi, ada tomato, ada putik jagung dan juga shemeiji mushroom white. Seperti biasa, Amie akan didihkan bawang putih, bawang merah, halia, serai dan tomato kampung. Amie hiris nipis halia muda sebab Encik Suami suka kunyah halia sewaktu makan. Tomato kampung pula Amie belah dua. Apabila direnih bersama bahan lain, terbitlah rasa sedikit masam dan warna kuah turut berubah. Tak perlulah masukkan asam jawa atau asam keping.
Encik Suami juga tidak mahu makan yang pedas. Jadi Amie tidaklah bubuh lada putih.
Setelah kuah mendidih dan tomato kampung sudah layu, masukkan pula sayur sawi, putik jagung dan cendawan shimeiji putih. Akhir sekali barulah masukkan hirisan ikan salmon. Masak sekejap sahaja dalam satu hingga dua minit sebab ikan salmon cepat masak.
| Mushroom Shimeiji White goreng salut tepung. |
Baki cendawan shimeiji putih yang dimasak bersama Sup Ikan Salmon, Amie gaul dengan tepung serbaguna dan goreng. Suka sangatlah Firdaus dapat makan cendawan goreng!
Amie goreng ikan tilapia nan seekor. Ekornya terpele'ot ketika di goreng sebab saiznya besar sampai tak muat kuali. Sepatutnya Amie potong jadi dua keping supaya muat kuali kan.
| Sambal Kicap |
Ada lebihan sambal yang dibeli di pasar tani, tapi hanya tinggal koret-koret saja. Amie tuang ke dalam mangkuk, tambahkan kicap dan hiriskan cili padi. Bolehlah tuang atas tilapian goreng waktu makan.
| Nasi Putih |
| Sup Ikan Salmon |
Selalunya Amie tak usik sup ikan atau sayur Encik Suami. Petang tadi berminat pula hendak hirup kuahnya tapi tersenduk isinya pula. Sedap jugalah.... ahaks!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan