Pages

Sabtu, 2 Mei 2026

Resipi Sup Kambing & Telur Ikan Goreng Kunyit

Bismillahirrahmanirrahim.
Petang tadi Amie sempat masak untuk makan keluarga. Biasalah, hidangan tengah hari dibawa ke malam! Sayangnya di remang-remang petang, gambar tidak berapa jelas pula. 

Amie masak Sup Kambing. Gunakan kambing asli tempatan, bukannya kambing biri-biri.... ahaks! Kebetulan sewaktu beli kepingan ikan jenahak, ada pula telurnya. Campur sekali untuk ditimbang sebab harga telur dan ikan sama. Telur ikan kenahak tadi Amie goreng, dan kepingan ikannya pun Amie goreng juga. Pelengkap lauk, Amie sediakan acar peria campur mangga muda.

Hidangan Tengah Hari / Malam

Nasi Putih

Sambal Cili Padi

Sambal cili padi ini kami beli di pasar tani. Sambal ini boleh dimakan bersama ikan goreng, mi goreng atau pun masakan bersup sebagai penambah rasa.

Oleh kerana gambar lauk-pauk kurang jelas, jadi Amie minta jasa baik ChatGPT untuk mengkartunkannya. Alaaaa... untuk seronok-seronok saja.

Telur Ikan Goreng Kunyit

Telur Ikan Goreng Kunyit janaan ChatGPT.

Amie kongsikan resipi Telur Ikan Goreng Kunyit di bawah ini:

Bahan-bahan:

  • 350 gram telur ikan jenahak - boleh gunakan telur ikan lain
  • 1 labu bawang besar - mayang kasar
  • 10 tangkai cili padi
  • 2 sudu kecil serbuk kunyit
  • garam / perasa pilihan
  • minyak untuk menggoreng tenggelam
Cara memasak:
  1. Potong telur ikan jenahak ikut saiz yang digemari - kalau tidak suka potong, biarkan begitu saja.
  2. Gaul telur ikan bersama garam / perasa pilihan dan serbuk kunyit.
  3. Panaskan minyak dan goreng hingga masak.
  4. Sebelum diangkat, masukkan bawang besar dan cili padi. Jika takut cili padi meletup, boleh tutup kuali, tapi sewaktu Amie goreng cili padi elok diam-diam dalam kuali.
  5. Setelah bawang besar dan cili padi kelihatan layu, bolehlah angkat Telur Ikan Goreng Kunyit tadi.
  6. Toskan dan sedia untuk dihidang.


Untuk Sup Kambing, seperti biasa Amie serahkan kepada slow cooker saja! Kononnya hendak masak sup tumis darat, tapi selepas masuk dapur semula melihat daging kambing empuk, terus terlupa hendak goreng bawang dan rempah 4 sekawan. Sebenarnya Amie lebur semua bahan dalam slow cooker. Apa pun Amie kongsikan juga resipinya di sini sebab Firdaus kata Sup Kambing sangat sedap.

Resipi Sup Kambing
Bahan-bahan:
  • 500 gram ketulan kambing tempatan
  • 1 cawan potongan lobak merah
  • 1 cawan potongan batang saderi
  • 2 biji tomato - potong dadu
  • 1 sudu besar rempah sup
  • 1 kiub pati lembu - daging
  • 800 ml air
  • 1 helai daun pandan - siat dan simpul
  • 3 cm halia - hiris
  • 5 ulas bawang putih - hiris
  • 1 labu bawang besar - hiris
  • 2 sudu kecil lada putih - tumbuk
  • garam / perasa pilihan
  • hirisan daun sup
  • bawang goreng
Cara memasak:
  1. Masukkan ketulan kambing ke dalam slow cooker. Masukkan sekali lobak merah, batang saderi, tomato, rempah sup, daun pandan, halia, bawang putih, bawang merah dan lada putih.
  2. Tuangkan air. Air tak perlu lebih sebab kuantiti air tetap sama dari mula hingga selesai masak.
  3. Tekan butang 'high' dan biarkan masak selama 3 jam atau sehingga daging empuk.
  4. Buka periuk dan masukkan kiub pati lembu / daging serta tambahkan sedikit garam / perasa pilihan. Kacau beberapa kali. Tekan butang off.
  5. Hidangkan Sup Kambing bersama taburan daun sup dan bawang goreng.

Sup Kambing janaan ChatGPT.

Acar Peria & Mangga Muda

Encik Suami suka makan acar peria. Kebetulan pula jumpa peria warna hijau keputih-putihan. Biasanya peria warna hijau. Peria warna hijau keputih-putihan tidak pahit dan sesuai dibuat acar. Amie tambahkan cincangan dua biji mangga muda. Hendak lebih sedap bolehlah tambah hirisan bunga kantan, tapi pokok kantan kami tak berbunga pula!

Acar Peria & Mangga janaan ChatGPT
.

Ikan Jenahak Goreng Garam Kunyit

Ikan Jenahak Goreng Garam Kunyit ini pun minta ChatGPT kartunkan.... ahaks!

Ikan Jenahak Goreng Garam Kunyit janaan ChatGPT.


16 ulasan:

  1. Cantik betul gambar janaan chatgpt tu. Nampak menyelerakan!
    Sedap2 masakan akak tu.

    Lama juga tak merasa telur ikan. Saya suka sangat telur ikan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sudah nak jumpa telur ikan. Itu pun kalau kr pasar waktu penjual potong ikan, dapatlah sikit.

      Padam
  2. Sedap2 nampak semua menunya tu. Menarik juga peria dan mangga tu macam kerabu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Iya, betul tu acar mangga tu macam kerabu kalau ditambah ikan bilis dan hirisan bunga kantan.

      Padam
  3. Biasa telur ikan mayung buat goreng atau asam pedas. Yg lain tak pernah jumpa

    BalasPadam
  4. Aduh, semuanya sedap yakmat! Acar tu macam kerabu ye Kak Amie?

    BalasPadam
  5. Kalau gitu kayangan juga lah harga telur jenahak.
    Macam nak try lah acar peria tu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, semua harga ikan dan telurnya, jenis ikan apa pun sama saja.
      Silakan, try buat acar peria.

      Padam
  6. Cantiknya gambar semua ni Amie. Menyelerakan la.

    BalasPadam
  7. Lensa kamera kakak mungkin berembun Krn itu sedikit blur fotonya. Tp tetap menggugah selera kak 🤤🤤.

    JD teringin buat sup kambing . Ada slow cooker di rumah, tak pernah guna 🤣🤣

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, mungkin juga lensanya kotor sedikit.
      Saya memang selalu gunakan slow cooker ubtuk renih sup. Ada masa untuk berehat sementara bahan yang dimasak jadi empuk.

      Padam
  8. kecur tengok semua makanan ni. telur ikan tu paling menarik perhatian!

    BalasPadam
  9. Alhamdulillah, meriah sungguh lauk-pauk Kak Amie. Dari sup kambing tempatan sampai ke telur ikan jenahak, semuanya kegemaran SA. Terima kasih Kak Amie kongsi resipi sup cara 'lebur' dalam slow cooker tu, memudahkan kerja mak-mak kat dapur kan..Menariknya Acar Peria & Mangga Muda Kak Amie. Baru tahu peria yang warna hijau keputih-putihan tu kurang pahit. Memang gabungan yang mantap bila dimakan dengan sup kambing yang berlemak, dapatlah seimbangkan rasa masam dan pahit-pahit sikit

    BalasPadam