Pages

Jumaat, 17 April 2026

Makan Malam di Harmony City Hotel Jerusalem

Bismillahirrahmanirrahim.
Malam di Jerusalem terasa begitu dingin. Angin sejuk menyelinap hingga ke tulang. Rasa letih mula terasa apatah lagi selepas seharian berjalan, bermula dari Amman, Jordan dan melalui proses imigresen Israel di sempadan Palestin, singgah di Jericho,  lawatan ke Masjid dan Makam Nabi Musa dalam perjalanan dari Jericho ke Jerusalem dan sebelah petangnya pula menyusuri lorong-lorong batu menuju Masjidil Aqsa. Ketika melangkah masuk ke hotel, kehangatan ruang makan terasa seperti satu pelukan yang menenangkan.

Alhamdulillah.
Sebaik sahaja kembali dari Masjidil Aqsa, kami terus ke dewan makan. Di hadapan kami terhidang makan malam yang sederhana. Ada nasi putih yang dimasak gaya Timur Tengah bersama lauk ayam panggang berempah, dan satu hidangan berkuah yang pada awalnya Amie sangkakan ayam. Namun apabila dicuba, rupanya isi ikan yang lembut, putih dan hampir tiada tulang, seakan ikan dory.

Amie hanya mengambil sedikit nasi bersama sepotong ayam panggang dan sekeping ikan sahaja dan serba sedikit mezze. Setiap suapan terasa menghangatkan. Bukan sekadar kerana makanannya panas, tetapi kerana tubuh yang keletihan akhirnya dapat berehat. Keinginan besar pada masa ini hanyalah untuk meluruskan pinggang setelah menjamah sedikit makan malam.

Dan tidak lepaskan peluang ambil beberapa hirisan limau yang manis dan menyegarkan sebagai pencuci mulut!


Amie - hidangan makan malam - nasi, ayam panggang dan ikan.

Hirisan limau.


Di meja buffet, tersusun pelbagai hidangan mezze seperti salad segar dan sayur-sayuran yang diolah dengan penuh rasa. Tertarik pula melihat tabbouleh, warnanya hijau segar dengan taburan tomato merah, disimbah perahan lemon yang menaikkan selera. Rasanya ringan, masam-masam segar, sesuai benar dimakan dalam cuaca sejuk di Jerusalem.

Ada juga salad kobis yang lembut, serta hidangan sayur tumis yang dimasak dengan minyak zaitun, ringkas tetapi cukup rasa. Di satu sudut, terhidang sayur goreng seperti terung dan kentang, dihiasi hirisan lemon dan daun herba. 

Seperti biasa, Amie tidak lepaskan peluang untuk mengenali dan berkongsi hidangan Timur Tengah iaitu mezze atau hidangan pembuka seperti di bawah ini.

Makdous - Sayur Goreng Campur

Makdous ini berupa sayur goreng campur yang terdiri daripada terung, kentang goreng, dan zucchini. Masakan ini digaul dengan tomato, herba dan lemon untuk menimbulkan lebih rasa comfort food Timur Tengah.


Hidangan mezze yang biasa disajikan dalam menu Arab  ini berupa terung bakar dengan topping herba dan tomato dan disajikan dengan lemon, parsley serta  minyak zaitun.


Sayur tumis gaya Arab ini terdiri daripada  kacang bendi dan lada hijau dengan rempah. Sayur ini dimasak dengan minyak zaitun, bawang, dan rempah ringan serta ditambah tomato untuk rasa sedikit masam-manis.


Ini salad campuran berupa acar, ada timun, tomato, cili, dan hirisan lemon

Salad Kobis

Salad Kobis ini kiranya macam gaya Coleslaw Timur Tengah. Kobis dihiris halus digaul dengan mayonis atau dressing ringan dihidang bersama hirisan lemon. Versi ini  kurang manis berbanding gaya Barat

Tabbouleh


Tabbouleh diperbuat daripada bulgur, daun parsley, tomato cincang dan disiram dengan jus lemon serta minyak zaitun. Rasanya segar, sedikit masam. Tabbouleh merupakan mezze atau  pembuka selera yang sangat popular di sini.

Salad Kobis Merah


Salad ini diperbuat daripada kobis ungu tetapi di sini dipanggil kobis merah. Hirisan kobis ungu biasanya digaul dengan air lemon dan sedikit minyak zaitun, ditambah sedikit garam dan kadang-kadang cuka.


Ada minuman berais.


Amie lebih suka ambil air panas, biarkan menjadi hangat sedikit dan minum sedikit demi sedikit.

Mesin minuman panas automatik.

Firdaus di sebelah daun pintu lift.

Selesai mengalas perut, kami terus hendak naik ke bilik. Ada tangga dan lift tapi kami lebih memilih lift. Di sini, lift agak berbeza dengan lift di tempat kita. Di sebelah Firdaus itulah lift. Lift di sini mempunyai pintu yang perlu dibuka sendiri. Kalau ada orang dari tingkat atas turun ke bawah, mereka akan buka pintu. Tetapi kalau kita tunggu lift  bawah tetapi tidak ada orang turun, kadang-kadang kita tidak perasan lift sedang menunggu kita sebab kita tidak buka daun pintunya!

9"C

Hari ini, 28 Disember 2025 - lebih kurang pukul 7:40 kami sudah berada di bilik. Waktu di sini lebih cepat berpandukan waktu solat maghrib pada pukul 4:50 dan waktu isya pukul 6:10. Jadi sebelum pukul 8 malam, kami sudah boleh berehat di bilik. Sempat melihat suhu ketika ini pada tahap 9'C.

Walaupun sejuk, kami tetap bersihkan badan dan mandi air panas. Rimas rasanya tidak mandi sebab dari awal pagi berjalan sejauh dari Amman, Jordan sehinggalah ke Masjidil Aqsa. Mudah-mudahan dapat kembali tenaga, tidur lena sepanjang malam dan tidak terlewat bangun pagi untuk solat subuh keesokan pagi di Masjidil Aqsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan