Pages

Selasa, 17 Mac 2026

Menjamu Selera Cara Palestin

Bismillahirrahmanirrahim.
Catatan 28 Disember 2025 - Jericho - Palestin.

Di hari pertama jejak kaki di bumi Palestin, kami mengutip pengalaman makan tengah hari yang terasa sedikit berbeza daripada kebiasaannya. Di atas meja tidak dihidangkan satu hidangan besar, tetapi beberapa mangkuk kecil yang tersusun rapi. Setiap satunya mempunyai warna dan rasa yang berbeza seperti hummus yang lembut, falafel yang rangup, salad timun yogurt yang segar, serta aneka salad sayur yang penuh warna.

Walaupun kelihatan sederhana, hidangan ini terasa sangat istimewa. Kami menikmati makanan dengan mencicah roti pita ke dalam hummus dan mengambil sedikit demi sedikit mezze dari setiap mangkuk. Cara makan sebegini membuatkan suasana terasa lebih santai dan mesra, seolah-olah mengajak semua orang berkongsi rezeki bersama.

Apa yang paling menyentuh hati ialah kesederhanaan hidangan tersebut. Kebanyakannya hanya menggunakan sayur-sayuran segar, kacang kuda, yogurt dan minyak zaitun. Namun rasanya cukup menyelerakan. Setiap suapan seakan membawa cerita tentang budaya dan kehidupan masyarakat Palestin yang sederhana tetapi penuh kehangatan.

Firdaus sedang mencicipi hidangan Palestin dengan penuh berselera!

Pintu masuk ke Al-Rawdah Restaurant & Park.

Ruang makan di bahagian luar.

Ada dua ruangan makan, iaitu di bahagian dalam dan bahagian luar. Kami masuk ke dewan makan di bahagian dalam.


Pekerja restoran membawa hidangan dari dapur. Tangan kiri membawa dulang makanan, tangan kanan membawa sebakul kecil roti Arab atau khubz.


Pekerja ini pula membawa dulang makanan di sebelah kanan dan memegang bakul khubz dengan tangan kiri.

Roti Arab @ Pita @ Khubz

Roti Arab @ Roti Pita  @ Khubz Arab ini lembut dan nipis. Biasanya dimakan bersama hummus, salad, atau dibalut dengan daging.

Mezze @ Hidangan Pembuka Selera

Mari berkenalan dengan hidangan sampingan @Mezze @ pembuka selera. Dalam gambar di atas dan di bawah terdapat beberapa jenis mezze termasuk salad Arab atau  fattoush  atau salad segar.  Ada  salad lobak merah pedas, salad yogurt timun, hummus dan falafel.


Mezze @ Hidangan Pembuka Selera

Roti Arab @ Pita @ Khubz

Roti pita @ khubz digunakan untuk mencedok hummus, mengambil salad yogurt dan membungkus daging atau falafel. Caranya ialah dengan mengoyak kecil roti  dan gunakan roti untuk cedok makanan. Jangan celup roti yang sudah digigit ke dalam hidangan bersama.

Falafel

Falafel ialah sejenis bebola goreng yang diperbuat daripada kacang kuda atau kacang fava, bawang, bawang putih, parsley dan rempah. Rasa falafel rangup di luar tetapi lembut di dalam.


Kita memang suka makan falafel. Setiap kali jumpa falafel mesti hendak makan sekurang-kurangnya dua biji. Makan falafel ini menjadikan perut cepat kenyang.

Falafel, rangup di luar lembut di dalam.

Fattoush @ Salad Daun Hijau

Salad Daun Hijau atau nama Arabnya Fattoush ini mengandungi lettuce, tomato, timun, parsley dan sumac.


Rasa masam segar dari lemon dan sumac.

Salad Yogurt Timun @ Tzatziki @ Khiyar bil Laban

Salad Yogurt Timun  atau Tzatziki  ini nama Arabnya Khiyar bil Laban. Salad ini terdiri dari campuran yogurt, timun, bawang putih dan herba. Rasanya segar, sejuk dan sedikit masam. Biasanya dimakan dengan falafel atau roti.

Salad Yogurt Timun yang nampak menyegarkan.


Hummus

Hummus adalah hidangan paling terkenal di Timur Tengah. Kita pun biasa jumpa di restoran Arab di negara kita. Hummus diolah dengan menggunakan kacang kuda, tahini (pes bijan), jus lemon, bawang putih dan minyak zaitun. Cara makan cicah dengan roti pita. Rasanya lemak, berkrim dan sedikit masam.

Hummus, hidangan terkenal di Timur Tengah.


Salad Lobak Merah

Salad lobak merah diolah dengan bawang putih, minyak zaitun, lemon dan parsley. Kadang-kadang ditambah cili. Rasanya masam, sedikit manis dan beraroma bawang putih.


Firdaus suka Salad Lobak Merah ini.

Salad Arab  @ Salata Arabiya - Salad Tomato & Timun 

Salad Tomato & Timun @ Salad Arab @ Salata Arabiya ini menggunakan  bahan tomato, timun, bawang, parsley, minyak zaitun dan lemon. Rasanya segar dan ringan.

Salata Arabiya

Salad Kobis Ungu

Salad Kobis Ungu dari kobis ungu yang dihiris halus, biasanya dicampur lemon, minyak zaitun dan sedikit garam. Rasanya rangup dan segar.

Ketika kami sedang 'belajar' makan roti Arab, tiba-tiba datang hidangan sepinggan nasi bersama lauk untuk setiap orang. Teruja hendak makan nasi, kami terus bungkus roti Arab yang baru dimakan dengan menggunakan tisu. Tidak sopan rasanya meninggalkan roti yang sudah dicubit dan digigit begitu sahaja.

Nasi Arab @ Nasi Timur Tengah

Nasi berlauk inilah rupanya hidangan utama kami! Jom lihat apa yang ada dalam pinggan ini. Nasi berlauk ini merupakan Nasi Arab @ Nasi Timur Tengah menggunakan beras panjang seperti basmati. Ada aroma rempah yang lembut seperti kayu manis, buah pelaga dan daun bay.

Lauknya terdiri daripada ayam panggang yang berempah seperti  chicken tikka atau grilled chicken. Ada kofta  atau bebola daging dan  kentang goreng. Biasanya kentang goreng ini selalu dijadikan side dish dalam hidangan Arab moden.

Hidangan makan tengah hari di Al-Rawdah Restaurant & Park, Jericho.

Dessert - Kurma

Pertama kali makan berhidang di Jericho, barulah kami faham cara menikmati hidangan Timur Tengah atau cara Palestin. Dalam hidangan Arab, biasanya makan ikut susunan atau turutan. Mula-mula ambil roti pita, kemudian cedok hummus atau salad dulu diikuti dengan pembuka selera yang lain. Kemudian makan nasi bersama ayam atau kofta. Akhir sekali minum teh Arab atau kopi Arab.

Kalau diikutkan makan penuh bersungguh-sungguh memang boleh pecah perut dibuatnya.... ahaks!

Teh Arab

Penutup hidangan pada tengah hari itu, kami dihidangkan dengan Teh Arab atau Shai bil na'na'. Walaupun hanya sedikit sahaja teh yang dituang ke dalam gelas kecil, tetapi teh panas ini penuh aroma rempah atau herba. Teh ini tidak manis dan dipercayai membantu penghadaman selepas makan berat.

Pengalaman makan tengah hari di sini membuatkan diri ini sedar bahawa makanan bukan sekadar untuk mengenyangkan perut tetapi turut menjadi jambatan yang menghubungkan manusia, budaya dan kenangan. Di Palestin, khususnya di Al-Rawdah Restaurant & Park yang terletak di Jericho ini walaupun hidangan ringkas tetapi meninggalkan pelbagai rasa yang sukar dilupakan


Selesai makan tengah hari kami tunaikan solat jamak di musollah bersebelahan restoran.



Di luar restoran, berderet pohon lemon dengan buahnya yang sedang menguning.




9 ulasan:

  1. Sederhana tetapi sedap tema makanan di Palestin ini ye. Cara Amie ambil gambar semua makanan membuatkan KSarie langsung kelaparan ini. Udah la baru 12.30 tengahari ini hehhehee

    BalasPadam
  2. meriah dan mengenyangkan...memang boleh pecah perut...makan roti pun dha kenyang..tambah pula makan nasi... segarnya lemon2 tu...

    BalasPadam
  3. makanan pembuka seler dia tu pun dah bermacam jenis.
    saya selalu jugak makan nasi arab, tapi tak pernah order falafel. next time kena cubalah

    BalasPadam
  4. Falafel dan hummus makanan kegemaran dana kak... kalau ke restaurant arab dua tu wajib ambil... nampak sedap betul semuanya walaupun sangat sederhana

    BalasPadam
  5. Daus makan internasional! Power!

    BalasPadam
  6. Melihat aneka menu palestin, saya sepertinya akan sukaa sangat. Apalagi banyak jenis salad. 😍😍😍.

    JD tahu juga urutan makan mereka. Sayapun blm bisa mengikuti porsi makanan timur tengah begini kak.. maklumlah, perut kita tak terbiasa makan sebanyak itu kan 😅.

    BalasPadam
  7. simple je nasi arab timur tengah ni ye.

    BalasPadam
  8. Bagus juga makan ikut turutan gitu... jadi boleh makan perlahan-lahan. Cuma kalau tak tau ada hidangan berat, jadi mungkin makan bersungguh-sungguh roti pita hingga kenyang. Tup-tup ada nasi pula...

    BalasPadam
  9. Nampak sedap dan simple je rupanya makanan diorang....

    BalasPadam