Pages

Isnin, 16 Mac 2026

Iftar 26 Ramadan 1447H - Makan Nasi Lauk Ikan Bolu Goreng

Bismillahirrahmanirrahim.
Ramadan mula samar-samar akan meninggalkan kita. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Semoga di penghujung bulan nan mulia ini kita terus dianugerahi keberkatan dan rahmat dari-Nya. In syaa Allah.

Hari ini, balik dari ladang terus renih ayam dengan betik mengkal, tambahkan setongkol jagung potong tiga dan segenggam kurma merah. Bubuh bawang merah, bawang putih dan halia. Tekan butang slow. Kita tinggalkan slow cooker bekerja sendiri di dapur. Seperti hari-hari sebelumnya, kita rehatkan diri dalam bilik dan ngorok seketika.

Selepas solat asar, kita masuk dapur semula. Sebelum tinggalkan dapur tadi, kita sudah keluarkan dua ekor ikan bolu. Letak saja atas sinki, tak rendam dengan air. Biar ikan bolu nyahbeku sendiri. Ikan bolu ini memang dibeli siap bersih segala perut, sisik dan tulang. Selalunya Amie suka panggang, tapi kali ini goreng sajalah. Lumur dengan garam, kunyit dan sedikit tepung jagung. Goreng sampai kuning keemasan. Ekornya garing, dan boleh dikunyah.

Ikan Bolu Goreng

Di tengah-tengah ikan bolu, bahagian perutnya yang hitam itulah terletak lemaknya. Yang biasa makan ikan bolu mesti tahu di mana letak keenakan ikan ini kalau bukan di bahagian perut! Itu sebabnya ikan bolu sedap dimasak singgang atau masak kuning sebab bahagian perutnya yang berlemak itu kekal lembut. Kalau digoreng memang garinglah dan kuranglah bahagian lemaknya.

Hidangan Berbuka Puasa

Nasi Putih

Biasanya kalau makan nasi lauk ikan bolu goreng atau panggang memang sedap ditemankan dengan sayur bening dan sambal belacan atau sambai kemangi. Jadi, Amie masak sup ayam dengan betik untuk gandingannya. Cuma Amie tidak ada daun kemangi untuk tambah aroma sup. 

Sup Ayam dengan Betik Mengkal.

Sup Ayam dengan Betik Mengkal ini memang cukup menggoda selera kami. Ditambah dengan jagung segar dan kurma merah, bertambahlah menyerlah aromanya ketika direnih dalam slow cooker. Tak perlulah tambah lada putih atau hitam atau rempah lain. Cukuplah bubuh hirisan bawang putih, bawang merah dan hirisan halia. Proses masak perlahan menjadikankuah supnya bertambah manis! Tambahkan sedikit garam atau perasa pilihan. Cukup!

Sewaktu berbuka, Amie tidak minum air sebaliknya hirup kuah Sup Ayam dengan Betik Mengkal saja.

Tauhu Telur Sos Hitam Pedas

Ada  tiga bungkus tauhu telur baki Amie buat tauhu berlauk tempoh hari. Amie goreng kesemuanya. Kemudian Amie tumiskan cendawan shiitake dengan sos hitam baki kuah yong tau foo kelmarin dan kemudian Amie letakkan gorengan tauhu telur. Selepas itu tuangkan baki sos pedas yong tau foo pula. Ratah begitu saja. Cukup sedap!

Sambal Siram Minyak Panas

Firdaus asyik bertanya, masih adakah lagi Sambal Siram Minyak Panas? Apabila Amie kata sudah habis, dia terus sebut bahan-bahan yang digunakan untuk buat sambal. Katanya nanti dia akan buat sendiri. Jadinya, sebelum Firdaus pulang dari sekolah Amie sempat minta tolong Encik Suami untuk buatkan Firdaus Sambal Siram Minyak Panas.

Sukanya Firdaus apabila melihat ada sambal kesukaannya di atas meja sewaktu hendak berbuka. Berkali-kali Firdaus tambah nasi dan habis ikan bolu goreng dicecah dengan sambal. 

Ikan Bolu Goreng

Kerabu Mangga Udang

Ikan Bolu Goreng memang sangat serasi dinikmati bersama kerabu atau acar mangga. Ada sebiji mangga udang yang Encik Suami petik dua hari lepas. Amie kupas dan sagat sedikit. Bubuh hirisan bawang dan bunga kantan serta cili merah dan hijau. Tambahkan sedikit garam, gula dan perahan limau nipis campur limau kasturi. Siap!

Ketika hendak berbuka puasa, kita ambil Sup Ayam dengan Betik Mengkal dari slow cooker ke dalam mangkuk. Tiba-tiba terdengar suara Encik Suami dari belakang : Sedapnya bau sup!

Mendengar suara Encik Suami, terus kita teringat sesuatu : Alamak! terlupa hendak sediakan salad! Sorry! Sorry!
Tak apalah, kata Encik Suami.
Pada masa yang sama, azan maghrib berkumandang.
Kami terus ke meja makan untuk berbuka anak-beranak.
Bismillah.

10 ulasan:

  1. Sedapnya kerabu mangga kegemaran.

    BalasPadam
  2. Ramai menunya.
    Selamat berbuka puasa

    BalasPadam
  3. Tak tahu nak pilih yg mana satu, sebab semuanya sedap!

    BalasPadam
  4. Sedapnya kerabu mangga ikan bilis. Selalu ikan bilis macam mana pilihan Amie ye? Sebab KSarie selalu beli bilis yang bila digoreng tidak garing huhuhuhu. Macam tak pernah makan ikan bolu rasanya. Semua lauk nampak awesome

    BalasPadam
  5. ikan bolu ni glemer kat sabah. saya pun tak sempat merasa lagi walaupun 2 kali datang sabah

    BalasPadam
  6. Terbayang pula sedapnya ikan goreng makan dengan sambal minyak panas 🤩🤩🤩. Lihat bentuk sambalnya, memang kliatan pedas mantap kak 🤤👍👍👍. Dah pernah kakak tulis resepnya? Saya nak cari juga

    BalasPadam
  7. Kalau ada ikan bolu frozen jual kat sini dapatlah kami merasa.

    BalasPadam
  8. Berbunyi perut SA tgok entry ni...SA x peenah jumpa ikan Bolu ni...maybe ada kat sana aje kot kak

    BalasPadam