Pages

Selasa, 12 November 2024

Sayur Lemak Labu Pulut dengan Bayam & Ikan Sapi-Sapi Goreng

Bismillahirrahmanirrahim.
Lama tak masak lemak labu kuning. Nampak hampir melimpah kuahnya dari mangkuk! Mungkin jenis labu pulut. Rasanya sedap sangat. Baik labunya mahupun kuahnya. Kita tambahkan sayur bayam, suhun dan udang kertas. Tambah rasa enak apabila kita bubuh udang kering bersama bawang putih dan bawang merah tumbuk. Kuahnya pula santan putih tanpa kunyit. Hanya letak serai untuk timbulkan aromanya. Warna kuning masak lemak ini timbul dari warna labu tadi.

Sayur Lemak Labu Pulut dengan Bayam


Selain Sayur Lemak Labu Pulut dengan Bayam, kita panggang seekor ikan mabung. Encik Suami tolong buatkan kicap lada. Kita juga goreng kepala ikan sapi-sapi. Jom tengok gambar ikan sapi-sapi di bawah ini. Ada saiz kecil dan saiz besar. Kita beli seekor seberat 1.3 kilogram dan minta peniaga ikan bersihkan sekali.

Ikan Sapi-Sapi


Besar panjang pula potongan ikan sapi-sapi. Balik rumah kita potong lagi bahagian isi supaya muat bekasnya. Kita goreng bahagian kepala dan ekornya.

Ikan Sapi-Sapi Goreng

Encik Suami ambil bahagian ekor, kita ambil bahagian kepala sebelah dan Firdaus ambil pula kepala yang sebelah lagi. Adalah juga isinya. Ingatkan Firdaus makan ikan mabung panggang! Rupanya sampai habis makan, tidak ada yang usik ikan mabung. Alhamdulillah, esok bolehlah dijadikan bekal menoreh, makan dengan gang sarapan nasi sejuk di ladang!

Ikan Mabung Panggang

Sambal Tahi Minyak & Kicap Lada

Sebelah kicap lada itu sambal tahi minyak pemberian jiran sebelah. Rupanya jiran kami jual sambal. Belum tahu berapa harganya sebotol. Sambal tahi minyak ini gunakan cili padi, bawang putih, bawang merah dan gula merah serta santan. Dimasak lama sehingga terbit minyak dari santannya. Itulah dipanggil sambal tahi minyak.

Sayur Lemak Labu Pulut dengan Bayam

Amie kongsikan Sayur Lemak Labu Pulut dengan Bayam. Walaupun masakan biasa-biasa tapi hendak tepek juga di sini. Kali ini hanya gunakan santan kotak sahaja. Kalau ada santan segar tentu terus terimbau kampung laman!

Bahan-bahan:
  • 400 gram labu pulut - kupas kulit dan potong ikut saiz yang digemari
  • 10 batang bayam - ambil pucuk dan daun serta batang yang lembut
  • satu cawan suhun yang sudah direndam
  • 10 ekor udang kertas - bersihkan
  • 1 batang serai - diketuk
  • 1 kotak santan
  • 3 cawan air
  • garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut
Cara memasak:
  1. Masukkan air bersama labu pulut dan bahan tumbuk serta serai ke dalam periuk.
  2. Setelah labu pulut empuk, masukkan santan pekat.
  3. Setelah kuah mendidih, masukkan pula sayur bayam bersama udang kertas dan suhun.
  4. Setelah sayur bayam dan udang berubah warna, perasakan dengan garam / perasa pilihan.
  5. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.

Bismillah.


6 ulasan:

  1. Kapan2 saya nak buat sayur labu itu. Pasti guriiih terasa Krn pakai santan. Tp Krn saya dah lama tak makan santan, saya ganti dengan fiber creme kak, pengganti santan untuk yg tak bisa makan santan 🤭.

    Daus lebih suka ikan goreng yaa. Saya pun iya juga. Goreng terkadang lebih enak dan gurih. Apalagi kalo ikannya berdaging tebal.

    BalasPadam
  2. menarik juga ikan sapi tu nanti nak cari la. macam tak pernah nampak ada jual kat sini.

    BalasPadam
  3. Daus pandai makan kepala ikan ya? Ish, budak kecik ni betul2 macam orang tualah, hahaha. Mulanya saya pelik ingatkan Kak Amie masukkan pulut ke dalam lemak labu. Tak tahu pulak labu pun ada jenis-jenisnya sebab semua sy panggil labu kecuali labu sayong, tapi labu sayong bukan buah la, hahaha.

    BalasPadam
  4. cicah sampai 2 jenis... sedap menu akak

    BalasPadam
  5. Memang ngam lah masak lemak dengan ikan goreng ditambah pula ada sambal.
    Yummehhhh

    BalasPadam
  6. Lama tak dengar labu pulut..Dulu banyak yang namanya pulut kan cikgu .
    ubi pulut...jagung pulut..
    Sekarang semua dah nama madu..ubi madu..jagung madu..
    Nasib baik bukan cheese🤭

    BalasPadam