Pages

Sabtu, 23 November 2024

Kuih Takir Pengubat Rindu Pada Tepung Pelita

Bismillahirrahmanirrahim.
Sewaktu sarapan bersama gang nasi sejuk beberapa hari lepas, Nano bawa kuih takir. Katanya ada orang Sarawak yang tinggal berhampiran kediamannya jual kuih tersebut. Harga sebungkus RM1.50 sen dan disusun empat dalam sebuah bekas dengan harga RM6.00. Nano beli dua bekas. Habis licin kami kerjakan di kantin!

Hari Jumaat Nano tolong belikan kuih takir untuk kami. Ada yang beli sehingga enam bekas. Amie beli dua bekas dengan harga RM12.00. Kuih takir ini dimakan sejuk pun sedap, tak disejukkan pun tetap sedap.

Kuih Takir

Kuih Takir @ Kuih Perahu

Melihat dan menikmati kuih takir, teringat pula kuih tepung pelita. Sekilas pandang, kuih takir seakan-akan kuih tepung pelita, tetapi bukan! Kuih takir juga dikenali dengan nama kuih perahu. Secara tradisinya pembalut kuih takir diperbuat dari daun nipah dan bentuknya memanjang segi empat tepat, dicantumkan dengan lidi dan kelihatan seperti perahu. Bahan adunan kuih takir diperbuat daripada tepung beras, santan dan gula apong. Namun begitu, ada juga pembalut Kuih Takir diperbuat daripada daun pisang seperti dalam entri ini.

Bentuk kuih takir lebih panjang berbanding kuih tepung pelita. Tepung pelita terdiri daripada dua lapisan, iaitu bahagian atas dikenali sebagai kepala, diperbuat daripada campuran tepung beras serta santan dan berwarna putih. Bahagian bawahnya pula dibuat dari adunan tepung beras dan biasanya ditambah jus pandan serta  berwarna kehijauan. Di bahagian bawah sekali diletakkan gula pasir.


Sesetengah orang mengatakan rasa Kuih Takir Sama dengan Tepung Pelita. Namun sebenarnya tetap ada perbezaannya terutama dari segi rasa gula apong dengan gula pasir. Gula apong rasanya lemak-lemak manis. Begitu juga dengan adunan yang digunakan, Kuih Takir hanya selapis tetapi Tepung Pelita dua lapis.


Kuih Takir ini Amie simpan semalaman dalam peti sejuk.
Memang tak cukup sebungkus! Tambah lagi sebungkus dan sebungkus lagi!



Uniknya makanan tradisional di negara kita. 
Semoga kita terus kekalkan sebagai identiti budaya dan bangsa.

1 ulasan: