Pages

Jumaat, 22 November 2024

Dari Mehdi Colony ke Skardu International Airport

Bismillahirrahmanirrahim.
Tibalah saatnya kami berangkat ke Skardu International Airport yang terletak di Gilgit-Baltistan. Pertama kali jugalah kami melihat ejaan ringkas di lapangan terbang : SKARDU INT'L AIRPORT. Mungkin hendak jimatkan ruang. Walaupun lapangan terbang antarabangsa tetapi kecil sahaja.

Skardu International Airport

Pukul 11:36 pagi Mumtaz Khan memandu van dari Mehdi Colony dan sampai di pintu masuk Skardu International Airport pada pukul 12:05 minit tengah hari.

Sebelum itu Amie paparkan gambar-gambar terakhir sepanjang perjalanan dari Mehdi Colony ke lapangan terbang:
  • Mehdi Colony
  • Kushmarah
  • Gamba Skardu
  • Airport Skardu
Melalui jalan-jalan di segenap penjuru tempat lawatan, ia bukan satu perjalanan biasa tetapi merupakan pengembaraan yang membawa kami ke dunia yang berbeza berbanding negara sendiri. Dalam fikiran ini, ligat merenung bagaimana Allah Yang Maha Pengatur menemukan kami dengan manusia di tempat yang jauh dan secara tidak langsung berkongsi pengalaman dan rutin hidup berdasarkan apa yang dilihat oleh mata kami.

Hakikatnya perjalanan yang kami lalui adalah satu proses untuk mengenali-Nya dan diri sendiri sebagai hamba-Nya. Allah anugerahkan semuanya untuk muhasabah diri melalui jalan cerita atau plot yang kami tempuhi. 

Maka, cerita perjalanan dalam satu pengembaraan dengan halangan serta dugaan yang ada kalanya tidak terjangkau oleh akal fikiran merupakan peluang untuk membuka mata dan minda terhadap dunia yang lebih terpencil.


Hasil pengalaman berkembara di negara orang, kita dapat membuat perbandingan dalam banyak perkara termasuklah sikap manusia yang kita temui, budayanya yang merangkumi cara hidup serta norma masyarakatnya, kepelbagaian bahasa, keturunan, jati diri serta identiti nasional mereka, dan yang paling penting kita dicipta untuk saling kenal-mengenal dan memahami di antara satu sama lain.

Teringat lagu nasyid zaman kanak-kanak dahulu bertajuk Manusia Sama di Sisi Tuhan:

Tuhan telah menjadikan manusia
Dari laki-laki dan wanita
Bersuku-suku dan berbangsa
Untuk saling kenal-mengenal sesamanya


Gambar-gambar yang sempat dirakam ini dapat memberi pelbagai tafsiran tentang cara hidup mereka di Skardu. Apakah ibrah yang tersirat di sebalik paparan gambar-gambar di bawah ini?












Sepanjang berada di Pakistan, memang sentiasa rasa kagum dengan jati diri rakyatnya yang mengekalkan identiti dari segi berpakaian. Kaum lelaki dan wanita sentiasa berpakaian salwaar-khameez yang merupakan pakaian kebangsaan mereka. Kaum wanitanya pula sopan dengan memakai kerudung atau pashmina yang menutup aurat.




Namun begitu di sebalik keistimewaan mengekalkan identiti, ada juga kekurangannya terutama dari segi pembangunan negaranya. Mudah-mudahan Pakistan terus membangun dan mencapai kemajuan seperti negara-negara lain.














Apa pun, Amie sentiasa mengharapkan agar suatu hari nanti Allah rezekikan untuk berkunjung lagi ke negara seagama dengan kita ini.  Tempatnya aman. Makanan halal ada di setiap tempat dan sedap-sedap pula. Mana tahu, lain kali dapat berkunjung ke perkampungan di mana-mana wilayah di Pakistan. Dapatlah mengenali budaya hidup dan norma masyarakat Pakistan dengan lebih dekat.

Banyak pengalaman manis yang terlekat di minda! Banyak iktibar yang kami kutip sepanjang perjalanan biar pun sekadar gunung-ganang yang tiada sebarang tumbuhan. 



Van yang dipandu Mumtaz Khan sudah menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Skardu.


Pintu masuk ke Skardu International Airport.

Dari Skardu International Airport, kami akan terbang ke Islamabad.
Mudah-mudahan penerbangan kami berjalan seperti yang dijadualkan, dan tidak ditunda-tunda lagi.

2 ulasan:

  1. Banyak ibrah yang diperolehi sekiranya kita berjalan dengan niat yang betul.. Insya-Allah

    BalasPadam