Pages

Sabtu, 22 Jun 2024

Kalau Rindu Pesan Saja di Awan Petang

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini Firdaus ikut aktiviti kokurikulum, samalah dengan Mommynya. Balik rumah, selepas makan tengah hari terus berehat sampai ke petang. Seperti biasa, kita pun terlelap. Bangun tidur, sudah masuk waktu asar.

Selepas solat asar, turun ke bawah. Firdaus sudah ke rumah jiran, bermain dengan Khalid. Encik Suami siram pokok dan kutip buah mangga manila jiran yang jatuh di belakang rumah kami.

Kita sendirian duduk di dapur. Tiba-tiba teringat anak-anak yang jauh di mata. Padahal sebelum tertidur, seisi keluarga sudah bervideo call. Rindu menjentik rasa. Cepatnya masa berlalu. Dahulu waktu petang sibuk di dapur sediakan juadah makan malam untuk anak-anak. Sekarang, segala kemeriahan hanya tinggal kenangan.

Ketika hati terkenang-kenang, tangan terus sediakan minum petang dengan apa yang ada:
  • Air Barli Panas + Serbuk Halia
  • Roti Bulan Sabit + Madu
  • Rempeyek Kacang Tanah
  • Kuih Bangkek
Minum Petang

Rempeyek Kacang Tanah & Ikan Bilis

Rindu hendak makan rempeyek air tangan Bonda. Memang beza sungguh rasa rempeyek yang ditemui hari ini. Rempeyek dulu-dulu walaupun digoreng di tepi kuali, tetapi sungguh enak. Gurih dan cukup rasa rempah-rempahnya seperti ketumbar dan jintan manis yang ditumbuk kasar. Kalau tergigit menambah rasa enaknya. Bukan setakat rempeyek kacang tanah, rempeyek kacang dal dan rempeyek kacang hijau pun sama : sedap!

Kuih Bangkek Kelapa

Kuih bangkek kelapa ini rasanya lemak manis. Sudah masuk angin tetapi Amie panaskan kembali selama lima minit di dalam air fryer. Aromanya semerbak memenuhi dapur seolah-olah Amie yang sedang buat kuih bangkek pula!

Roti Bulan Sabit

Roti bulan sabit ini Amie beli dalam perjalanan pulang dari menoreh tengah hari tadi. Ada baki tiga biji, dan sudah sejuk. Seperti kueh bangkek kelapa, Amie panaskan juga roti bulan sabit ini. Ketika hendak makan, cecah dengan madu. Aduhai!

Minuman Barli Panas + Serbuk Halia

Minum petang kami, air barli yang dimasak dalamn slow cooker. Beras barli menjadi sangat lembut dan boleh terus ditelan. Ditambah pula dengan serbuk halia dan sedikit gula batu. Aroma daun pandan menambah semerbak!

Firdaus masih bermain di rumah Khalid.
Kami berdua, Amie dan Encik Suami menikmati minum petang sambil mengimbas kenangan membesarkan anak-anak yang kini jauh di mata. Selamat menjadi ayah dan ibu buat Abang Farid dan Aseeyah. Kelmarin, genap 10 hari di NICU, Hamzah sudah pulang ke rumah.

Semoga Fuad dan Fairuz berjaya dalam kerjaya masing-masing dan utamakan perintah Allah dalam menempuh hari-hari yang dilalui. Doa Mommy dan Baba sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu wahai anak-anak.

Sudah pukul 6:13 petang. Waktu maghrib di LD pada pukul 6:22. 
Di langit petang, awan kelihatan temaram. Suasana senja sudah meliputi alam.
Undur diri buat seketika ya.


10 ulasan:

  1. Kak Amie di LD ya ? Wahhh. Takpernah sampai sana lagii. Hehe. Best menu minum petang harini. ;)

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah.. Si kecil sudah discaj.. Semoga sihat2 sahaja ibu dan anak

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah baby Hamzah dah discharge.
    Rebus barli dalam Noxxa pun tak lama kan.
    Menu minum petang, sama2 suka.
    Moga anak2 kita berjaya dunia akhirat, Aamiin.

    BalasPadam
  4. Tahniah, Kak Amie dah jadi nenda. Bila agaknya nak menjenguk cucu tu? Hihi.

    BalasPadam
  5. Lupa pulak nak komen pasal Roti Bulan Sabit. Baru tahu namanya begitu.

    BalasPadam
  6. Rempeyek style mak2 memang sedap sebab penggunaan rempahnya. Walaupun agak tebal tapi rangup. Compared yang sekarang ni walaupun nipis tapi tak boleh makan banyak-banyak sebab cepat muak.

    BalasPadam
  7. kuih bangkek yang dana pernah cerita tu dulu kak... sedapnya teringat-ingat yang kawan beli aritu... sekejapan dah habis.

    BalasPadam
  8. Isssh betuuuul kak Amie. Rempeyek dulu terasa lebih sedap dan crispy. Bumbunya pun meresap dan cukup. Kalo yg skr, dah lah tak banyak topping , kdg pun hambar 😄

    BalasPadam
  9. Alhamdulillah...Semoga Baby Hamzah membesar dengan sihat dan menjadi anak soleh untuk ibu bapanya...

    Tajuk posting macam bait bait lagu Rafeah Buang...🤭

    BalasPadam
  10. Syukur alhamdulillah baby Hamzah dah discharged...

    BalasPadam