Pages

Khamis, 18 April 2024

Resipi Mi Rebus Jawa

Bismillahirrahmanirrahim.
Jom masuk dapur masak Mi Rebus Jawa. Orang kata Mi Jawa itu Mi Rebus. Ada yang sebut Mi Rebus Jawa. Amie pun belum berapa mahir hendak membezakan di antara Mi Rebus dengan Mi Jawa apatah lagi kalau di sebut Mi Rebus Jawa. Entah dari mana nama Mi Jawa diperoleh. Sudah tiga kali ke Pulau Jawa, tapi tak pernah jumpa Mi Jawa di sana. Begitu juga dengan Mi Bandung! Tiada Mi Bandung di Bandung tetapi Mi Bandung ada di negara kita pula.

Ada yang masak kuah dengan cara tumis perencah terlebih dahulu dan ada yang terus lebur rebus dalam periuk atau kuali! Ada yang tambahkan biskut Marie untuk pekatkan kuah, dan ada yang tambahkan bancuhan tepung jagung pula. Nampak meriah sungguh resipi Mi Rebus Jawa dengan pelbagai versinya yang tersendiri. Yang penting, antara bahan utama wajib ada untuk menghasilkan kuah Mi Rebus Jawa yang sedap sudah tentulah ada keledek kuning dan kacang tanah.

Satu lagi bahan pelengkap Mi Rebus Bandung sudah tentulah ada Cucur Udang Rangup. Sayangnya Amie tidak sempat untuk membuatnya sebab mula masuk ke dapur hampir pukul lima petang, dan waktu berbuka pukul 6:15 petang. Nanti Encik Suami hendak berbuka, Mi Rebus Jawa tak siap pula. Hidanglah apa yang ada sahaja. 

Mi Rebus Jawa

Mi Rebus Jawa & The Gang


Mi Kuning


Amie kongsikan resipi Mi Rebus Jawa di sini. Amie gunakan daging segar yang direbus sehingga empuk. Air rebusan daging tadi Amie jadikan kuah, yang ditambah dengan keledek oren dan kacang tanah kisar. Kacang tanah Amie goreng terlebih dahulu. Ikut resipi keluarga Amie, untuk menambah pekat dan menyedahkan kuah, biasanya kami tambahkan biskut Marie. Terpulanglah hendak ikut cara mengikut cita rasa sebab ada yang gunakan bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuah.

Psstttt... ! Kuah Mi Rebus Jawa rasanya sangat sedaplah. Mungkin sebab Amie gunakan air rebusan daging segar. Terasa manis air rebusan daging ditambah dengan keledek oren! Memang mantap... ahaks! Encik Suami simpan baki kuah dan mi kuning. Katanya hendak ulang makan waktu sahur nanti.

Resipi Mi Rebus Jawa
Bahan-bahan untuk kuah:
  • 400 gram daging segar - rebus hingga empuk - simpan air rebusan
  • 500 gram keledek oren - rebus - kisar halus dengan air
  • 1 cawan kacang tanah - goreng - kisar halus dengan air
  • 7 keping biskut Marie - kisar halus
  • 1 sudu kecil pati asam jawa
  • 2 sudu besar rempah kari daging
  • garam / gula melaka / perasa pilihan
  • 4 sudu besar minyak
        Bahan kisar:
  • 5 tangkai cili kering - jika suka pedas boleh tambahkan cili padi
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 labu bawang besar
  • 3 hiris halia
  • 3 hiris lengkuas
  • 1 cawan udang geragau - boleh gunakan udang kering

    Cara memasak:
  1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
  2. Masukkan serbuk rempah kari daging. 
  3. Seterusnya masukkan pati asam jawa, tuangkan keledek dan kacang tanah kisar.
  4. Tambahkan air rebusan daging secukupnya. Kuah hendaklah pekat, dan tidak cair.
  5. Masukkan biskut Marie. Jika tidak mahu tidak mengapa. Yang penting kuah tidak cair.
  6. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
  7. Daging yang direbus tadi boleh dibahagi dua. Sebahagiannya masukkan ke dalam kuah yang sedang mendidih dan sebahagian lagi untuk hidangan.
  8. Kuah Mi Rebus Jawa ini akan menjadi lebih pekat apabila api dapur dipadamkan.
  9. Untuk rasa kuah yang lebih enak ketika dinikmati, pastikan kuah dalam suhu panas.
        Bahan hidangan:
  • 500 gram mi kuning - celur seketika - toskan
  • hirisan daging rebus
  • telur rebus
  • tauhu goreng
  • hirisan cili hijau / merah / cili padi
  • taugeh - terpulang hendak dicelur atau biar mentah sahaja
  • limau kasturi
  • sayur sawi celur
  • bawang goreng
  • hirisan daun sup / daun bawang

Aksesori Mi Rebus Jawa

Mi Rebus Jawa

14 ulasan:

  1. Tgk gambar dah tertelan air liur...
    Sebab cantik je susunan nya... Hihihii

    BalasPadam
  2. Mee Jawa ka mee rebus ka..memang nampak sedap menyelerakan..

    1st time makan mee rebus masa dok asrama tingkatan 2 .Dewan makan masak mee rebus untuk moreh lepas terawikh..Tapi masa tu tak minat sebab tak pernah makan.Sekarang ni cuba la hulur kalau nak tau saya makan ka dak....belum toleh belakang pinggan dah licin🀣

    BalasPadam
  3. Saya pun tak pandai nak bezakan mi jawa dan mi rebus. Nampak serupa je. Bahan-bahannya yang membezakannya kot kan. Confirm sedap sebab guna daging segar. Rencah pun penuh mangkuk tak nampak mi. Puas hati makan.

    BalasPadam
  4. Lapar terus perut SA tfok mee jawa kak amie..SA pun suka mee jawa ni...part daging tu letak yg ada tetel..dapnyaaa...

    BalasPadam
  5. mee fav saya ni. boleh la nanti refer resipi kak amie

    BalasPadam
  6. Telioq tengok 😁
    Nak simpan dulu resepi ni, kena cari bahan²nya...

    BalasPadam
  7. 1st time dengar nama makanan mee rebuh jawa.. :)

    BalasPadam
  8. yang penting rupa dia helok kak, nampak pekat ah sedapnya

    BalasPadam
  9. wah sedapnya hidangan berbuka puasa

    BalasPadam
  10. Kelihatan sedap bangat.mie rebus dengan kuah hangat dimaem pas hujan...juga ada telur rebus dengan yolk masih kuning belom matang banget...itulah kenikmatan yang dirasa

    BalasPadam
  11. Terserlah keenakan mee rebus jawa dalam gambar Kak Amie. Memang sedap tu jika guna air rebusan daging segar, Kak Amie.

    BalasPadam
  12. Yang saya perasan kalau kat utara mereka panggil mi rebus tapi kat sini kami panggil mi jawa.
    Rasa macam nak sama keduanya. Mungkin orang yang memasak lebih tau apa yang membezakannya sebab saya tukang makan rasa macam nak sama.

    BalasPadam
  13. Itulaah kak Amie. Saya pun sempat bingung denger istilah mee rebus Jawa dan mee bandung waktu tuh 🀣. Krn di Jawa dan di bandung tak ketemu pula kuliner macam tuh πŸ˜….

    Tapi lihat penampakan, memang lah saya teringin sangat nak rasa 😍😍.kuahnya pasti gurih sangat Krn dari daging kan.

    BalasPadam