Pages

Jumaat, 22 Mac 2024

Ramadan ke-11 Penuh Air Mata!

Bismillahirrahmanirrahim.
Petang tadi, kita tidak dapat tumpukan sepenuh perhatian ketika menyediakan juadah di dapur. Fikiran kita berkecamuk, keliru dan sesekali mengalir air mata. 

Pagi tadi kita dapat berita, Aizat (cucu buah) Encik Suami meninggal dunia. Aizat yang tinggal di asrama dikatakan demam dan pulang ke rumah. Keluarganya bawa ke hospital tetapi meninggal di hospital. Begitulah ceritanya. 

Walaupun dalam keadaan terkejut dan menggigil, Amie cuba bertenang dan minta izin daripada pengetua untuk menziarahinya di hospital. Sampai di hospital, lain pula ceritanya. Ada tiga orang gurunya di situ. Menurut mereka, jenazah Aizat masih lagi di asrama. Pihak polis tidak membenarkan mereka membuat sebarang kenyataan. Katanya lagi, kereta ambulans tidak boleh membawa Aizat ke hospital, sebaliknya jenazah sedang diurus oleh polis dan ahli forensik.

Memandangkan agak lama juga untuk menunggu jenazah dibawa ke hospital, Amie pun pulang semula ke sekolah. Menjelang tengah hari, barulah jenazah sampai di hospital. Namun begitu, pengkebumian tidak dapat diuruskan kerana memerlukan pakar forensik untuk prosedur seterusnya.

Selesai sesi persekolahan, Amie pun bergegas ke hospital, bertemu dengan ibu Aizat. Allahu Akbar! Sesungguhnya Allah mengurniakan sebesar-besar ketabahan buat Siti, ibu arwah Aizat. Barangkali air matanya sudah kering menangis dari pagi. Nampak kesan kepedihan hatinya melalui matanya yang bengkak! Kita hanya mampu memeluk dan memberi kata-kata semangat kepadanya.

Airmata kita mengalir lagi!
Rupanya Aizat menjadi mangsa buli di asrama.
Tapi polis mengklasifikasikan sebagai kes bunuh!
Ya, Aizat dibunuh .... 15 pembunuhnya telah ditangkap polis dan 2 orang pembunuhnya berjaya melarikan diri! 
Hancur luluh mendengar rentetan ceritanya!
Menurut gurunya, memang Aizat demam dan kelmarin menyerahkan surat sakit kepada gurunya. Itu sahajalah maklumat yang diberi.

Malangnya, pada sebelah malam Aizat dibelasah dari pukul 10 hingga pukul 1 pagi! Kemudian Aizat dicampakkan dari tingkat atas hingga ke bawah. Aizat kemudian diambil semula, dimandikan, dipakaikan pakaian sekolah dan stoking!

Allahu Akbar!
Bayangkanlah entah bila nafasnya terhenti! Tanpa ibu dan orang dikasihi di sisi. Terpaksa pula disiasat dari pagi hingga tengah hari di dalam bilik asrama. Polis turut membawa anjing untuk mengesan tempat disembunyikan 'alat' yang digunakan untuk membunuh!

Berita ini mungkin akan tersebar dalam media sosial. Kalau tersiar berita seorang murid meninggal dunia  di salah sebuah sekolah di LD, itulah Aizat yang Amie maksudkan. Buat masa ini Amie tak dapat tuliskan semua kerana takut maklumat bercanggah kerana kes masih dalam siasatan. Jenazah masih lagi berada di hospital. Pakar forensik dijadualkan akan datang pada hari Ahad atau Isnin, tetapi petang tadi dapat berita mungkin akan datang esok setelah mereka selesai menguruskan kes kritikal di tempat lain.

Doakan ya kawan-kawan semoga dipermudahkan urusan Aizat dan keluarga. 

Hidangan Berbuka Puasa

Sebaik sahaja pulang dari hospital, waktu asar sudah tiba. Tidak ada semangat untuk masak di dapur. Tiba-tiba teringat hari ini hari ulang tahun Firdaus. Semua orang terlupa. Encik Suami terlupa, dan ketiga-tiga abang Firdaus pun lupa! Hanya Amie seorang yang teringat! Itu pun sudah petang.

Sempat beli ikan segar. Itu pun termenung di dapur tak tahu hendak masak apa. Teringat BLOGGER MULAN pernah paparkan menu sup fishball homemade dengan keropok lekor. Amie cuba cari di dapur Mulan tapi tak ingat tajuk dan tak jumpa pula. Tapi Amie masih terbayang sup tersebut dalam mangkuk berisi keropok lekor dan fishball air tangan Mulan.

Kebetulan Amie ada stok keropok lekor beli di Terengganu sewaktu bercuti di Malaya tempohari. Ikan yang kami beli (entah ikan apa namanya), Amie buat fishball. Samalah juga macam Mulan, rupa fishball memang tak berapa menjadi, tapi rasanya memang sangat sedap!

Tak tahulah nak bagi nama apa menu sup ini. Ada keropok lekor, ada fishball buatan sendiri yang tak berapa nak bulat, dan lain-lain.

Terung Sumbat

Lebihan bahan fishball itu Amie masukkan ke dalam hirisan terung dan juga dijadikan inti peria seperti di bawah ini. Sedap pula makan cecah sambal. Sebenarnya terlupa dengan buat kuahnya.

Peria Sumbat



Untuk Firdaus, Amie gorengkan samosa dan belikan puding soya inti cincau.


Inilah menu utama kami sewaktu berbuka puasa. Sup aneka rasa.


Walaupun Encik Suami berulang-alik ke hospital menemani keluarga arwah Aizat di sana, tetapi apabila Amie beritahu hari ini hari ulang tahun Firdaus, Encik Suami usahakan juga beli sebiji kek kecil untuknya. Sewaktu hendak berbuka puasa, Encik Suami letakkan kek di meja, dan Firdaus sangat terkejut.  Amie tanya, tahu tak hari ini hari lahirnya? Katanya, di sekolah seorang kawannya, Adam beritahu Teacher Patrick bahawa hari ini hari ulang tahunnya. Jadi Teacher Patrick suruh semua menyanyi dan bertepuk tangan untuknya.

Selamat ulang tahun ke-11 Firdaus.
Sudah tentu hari ulang tahunmu ini menjadi tarikh yang sentiasa dalam ingatan semua kerana pada hari ini berlaku peristiwa tragis yang menimpa keluarga kita. Salah seorang ahli keluarga besar kita telah pergi selama-lamanya dan tak akan kembali lagi.
Al-Fatihah buat Muhammad Nazmie Aizat.
Allahu Akbar!

24 ulasan:

  1. Innalillahiwainnailaihirojiun, semoga pelakunya akan menerima hukuman yg setimpal kak amie...

    BalasPadam
  2. إنا لله وإنا إليه راجعون
    اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَها وارْحمْها وعافِها واعْفُ عنْها ،
    وَأَكرِمْ نزُلَها ، وَوسِّعْ مُدْخَلَها واغْسِلْها بِالماءِ والثَّلْجِ والْبرَدِ ، ونقلها منَ الخَـطَايَا، كما نَقَّيْتَ الثَّوب الأبْيَضَ منَ الدَّنَس ، وَأَبْدِلْها دارا خيراً مِنْ دَارِها ، وَأَهْلاً خَيراً منْ أهْلها ، وزَوْجاً خَيْراً منْ زَوْجِهِا ، وأدْخِلْها الجنَّةَ ، وَأَعِذْها منْ عَذَابِ القَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّار   


    AllahuAkbar...
    membaca berita ini hati terasa sebak bercampur geram..
    Sementelah baru beberapa hari lepas menonton ",Project High Council"Terbayang keadaan Aizat seperti itu walaupun tidak kwnal Aizat.Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman..Perginya di malam Jumaat dibulan Ramadhan..🤲🤲

    BalasPadam
  3. Ya Allah. Walaupun bukan darah daging sendiri tapi remuk hati saya baca post Kak Amie ni. Moga Siti kuat dan tabah.

    Innalillaahi wa inna ilaihi rooji'uun. Moga rohnya Aizat dicucuri Rahmat, ditempatkan bersama mereka yang beriman.

    Kak Amie.. Menu kita sama hari ni, MI CALONG. Mi dengan fish ball homemade tu. Tapi tak sempat snap foto sebab malas.

    BalasPadam
  4. Semoga semua si pembuli dapat balasan yang setimpal.
    Selamat hari jadi firdaus

    BalasPadam
  5. Innalillahiwainnailaihirojiun . Al-fatihah untuk arwah aizat .. salam takziah juga untuk seluruh keluarga .

    Moga si pembuli dapat hukuman yg setimpal . Bederau darah bila baca rentetan kisah ni . Rupanya arwah aizat meninggal bkn sbb demam jerr kena buli . ..sanggup betul si pembuli buat gitu . Mujur polis dah dapat kesan suspek .

    BalasPadam
  6. Selamat Hari Lahir Firdaus.
    Semoga sihat² selalu.

    Membaca berita buli begini sangat menyedihkan. Semoga keluarga arwah Nazmie tabah menghadapi ujiannya.

    Harap balasan setimpal buat si pelaku.
    Allahu..

    BalasPadam
  7. Innalillahiwainnailahirajiun.
    Allahuakhbar. Moga Allah merahmati arwah Aizat.
    Terkejut saya baca punca kematian. Ingat meninggal demam biasa.

    BalasPadam
  8. Salam takziah.. Semoga keluarga arwah dan kak amie juga tabah...
    Semoga pelakunya mendapat balasan setimpal... Tak dpt bygkn umur semuda itu boleh buat perkra2 tak sepatutnya. Teringt kes tahfiz yg dibkar 5,6 thun lepas sehingga 23 org mati..

    Selamat hari lahir firdaus..

    BalasPadam
  9. Allahuakbar.sebaknya baca cerita sis Amie tentang kes buli di asrama tu.semoga ALLAH meletakkan roh beliau dalam kalangan solihin.Aamin

    BalasPadam
  10. Allahu Akbar!! Sedihnya Aizat diperlakukan begitu kejam. Remuk redam hati ibu bila hilang anak, pasti sukar terubat dgn masa. Semoga kematian Aizat dapat dituntut bela dengan hukuman sewajarnya kpd pelaku.

    Selamat hari lahir, Firdaus. Semoga Firdaus sihat, bahagia dan sejahtera selalu. Berjaya menjejakkan kaki ke menara gading sptmana abg² mu

    BalasPadam
  11. Dari petang semalam ternampak berita pelajar meninggal di dalam asrama.Allahuakbar rupanya cucu sedara kak amie...kesian aizat saya duk terbayang anak di asrama,sempit rasa dada.moga ibu ayah aizat tenang dan redha..
    selamat hari lahir firdaus...moga sentiasa sihat ceria selalu,moga yang baik2 sentiasa mengiringi firdaus sepanjang umurnya

    BalasPadam
  12. Allahu .. baca berita berkenaan kes ini di media sosial.. tapi kali ini kita baca dari ahli keluarga sendiri.. Kenapalah masih ada lagi kes membuli di asrama ini.. kita sudah berada di tahun 2024 Ya Allah.. Saya doakan sesiapa sahaja yg terlibat dgn pembunuhan aizat akan mati sehina-hinanya dan akan disiksa di dalam kubur dan dlm api neraka.. geram sgt.

    BalasPadam
  13. Nampak hidangan semua menyelerakan.

    Aizat? Macam baru terbaca pasal pelajar Kolej Vokasional kena buli. Kisah Aizat yang ni ke?.

    BalasPadam
  14. Eh..lupa nak wish..." Selamat Ulang Tahun Kelahiran Yang ke-11 untuk Daus" Semoga terus cemerlang di dunia & akhirat

    BalasPadam
  15. Innalilahiwainnailayhirojiuun.
    Ya Allah!. Baca sambil berdebar2.
    Takziah Ammie dan Puan Siti. 🥲

    Ulang2 baca dlm kehairanan, lepas dicampak lepas tu dimandikan, dipakaikan stokin?. Agaknya utk mengaburi keadaan ke apa tu?.

    Moga Allah memberikan ketabahan kpd keluarga arwah.

    BalasPadam
  16. Innalillahiwainnailaihirojiun...betul-betul tragis kisah arwah menemui ajal...moga si pembunuh mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka...apa-apapun...didoakan arwah mati syahid...aamiiin

    BalasPadam
  17. ya allah...ada baca pelajar meninggal akibat dibuli...masa baca tu pun dah sakit dada...bila tau pelajar tersebut cucu saudara suami akak, mengalir air mata saya. semoga arwah ditempatkan di kalangan para solihin dan kematian beliau mendapat pembelaan sewajarnya

    BalasPadam
  18. sedih dan sakit hati bila terbaca kisah buli ni... Apapun happy birthday adik Firdaus.. semoga jadi anak soleh kebanggaan ibu dan ayah

    BalasPadam
  19. Turut berduka bagi keluarga yang ditinggalkan
    dan selamat ulang tahun bagi yang sedang merayakan ulang tahun
    terus semangat

    BalasPadam
  20. Kak amiiieee 😭😭😭. Saya rasa nak menangis sangat baca ini. Terbayang ibu nya yg tahu kalo anaknya dibully semacam itu 😭😭😭.

    Sebenarnya kisah bully di asrama seperti ini banyaaak sangat di Indonesia. Dan yg lebih buat sakit hati, mostly pesantren atau sekolah agama yg melakukan itu. Beberapa THN ini ada kejadian berturut2 ttg siswa di bully di pesantren Indonesia bahkan salah satunya pesantren besar yg sangat terkenal. 😔. Korbannya sama, meninggal dibuat pelaku. Itulah kenapa saya tak mau masukkan anak ke asrama selama sekolah ini. Saya takuut mereka akan Alami hal sama.

    Untuk keluarga aizat, saya sangat doakan mereka kuat dan ikhlas 😔. Pasti berat trutama untuk ibu aizat. Semoga aizat selalu dilapangkan kuburnya.

    BalasPadam
  21. Selamat ulang tahun Firdaus. Entah-entah firdaus pun lupa harijadi dia. Semuga Firdaus menjadi anak yang soleh dan berjaya. Aamiin

    BalasPadam
  22. Dasyatnya sanggup dia orang campak Arwah dari tingkat atas hingga ke bawah. Ya Allah sadisnya pelaku yang membuat tersebut. Semuga mereka yang terlibat tak senang hidupnya. Akan sentiasa menghantui kehidupan mereka sampai bila-bila. Hish geramnya saya. Yang lari tu akan dapat di tangkap akhirnya dan terima lah kau hukuman yang sepatutnya. Aamiin. Masa depan mereka yang terlibat dah musnah.

    BalasPadam
  23. إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
    Allahuakbar. Cerita ni dah banyak tersebar di media sosial. Luluh hati ibu bila dengar berita ni. Sanggup mereka buat begitu pada arwah. Kejam betul pelaku²nya. Pelajar patutnya bersekolah belajar bukan buli anak orang sampai maut. Semoga pelaku²nya dapat balasan yang setimpal.

    Selamat ulangtahun Firdaus. Semoga Firdaus membesar menjadi anak yang soleh berjaya dunia akhirat. Aamiin...

    BalasPadam
  24. Pedihnya hati yang baca kak, pilu hiba, knapa makin ramai anak-anak muda nak jadi pembunuh , mereka tak takut dengan hukuman di dunia dan akhirat ke?

    BalasPadam