Pages

Selasa, 24 Oktober 2023

Kurma Ayam Resipi Che Jah Memang Power!

Bismillahirrahmanirrahim.
Encik Suami kata, Firdaus suka makan nasi lauk yang berkuah seperti kari, asam pedas dan asam rebus. Bagi Amie pula, Firdaus meminati satu-satu masakan berdasarkan aromanya. Setiap petang kalau balik dari sekolah, Firdaus tidak sabar masuk dapur apabila terbau aroma masakan.

Petang tadi Amie masak Kurma Ayam Resipi Che Jah. Che Jah ini orang Penang, ibu mentua adik perempuan Amie. Amie sempat minta resipi masakan utara daripada beliau pada tahun 2013 sewaktu balik ke Selangor dan salah satunya ialah:

Sebelum itu Amie jarang makan atau masak kurma. Teringat sewaktu tinggal di asrama selama empat tahun, setiap seminggu sekali kami dihidangkan dengan masakan kurma daging kerbau. Barangkali terikut-ikut kawan-kawan yang kurang berminat dengan lauk tersebut, kita pun mengada-ngada sama tak mahu makan! 

Berbalik cerita tentang Che Jah, dikongsikannya masakan kurma daging dan juga masakan dalca. Melihat bahan-bahan dan cara masakannya, Amie pun teruja hendak masak kurma! Dan sudah tentunya perkara yang sangat menarik, sentuhan terakhir masakan kurma ialah ada perahan jus limau nipis. Sama seperti resipi masakan kari arwah emak mentua!

Kurma Ayam Resipi Che Jah yang Amie oleh hari ini kurang satu bahan iaitu daun pudina! Apabila bahan sudah tersedia, Amie keluar ke belakang dapur untuk ambil daun pudina, tetapi hanya tinggal sehelai di tangkai! Rupanya pokok pudina sudah mati! Jadi, Kurma Ayam resipi Che Jah ini tidak ada daun pudinanya. Bagaimanapun di hujung entri Amie kongsikan resipi asal yang lengkap bahannya. 

Satu lagi, Che Jah kisar bawang dan halia bersama rempah-rempahan seperti jintan putih, jintan manis, buah pelaga, bunga cengkih, bunga lawang dan kayu manis. Dan untuk rasa yang lebih enak, Che Jah tambahkan minyak dengan mentega atau minyak sapi atau marjerin.

Kurma Ayam Resipi Che Jah

Untuk masakan kali ini Amie tambahkan belahan tomato dan telur rebus. Teringat Mama Cella masak KURMA KAMBING KEGEMARAN ANAK JANTANNYA, ada bubuh telur. Telur memang sedap kalau dicemplung masuk dalam kuah kurma! Sewaktu makan nasi, Encik Suami tanya : Esok nak bawa bekal ke? Biasanya, kalau masak lauk sebelah petang, kita tinggalkan sedikit untuk dipanaskan esok paginya, buat bekal ke tempat kerja.
Kita jawab : Makan sajalah. Kalau ada lebih boleh simpan. Kalau habis tak payahlah bawa bekal.
Nampaknya habis lauk Kurma Ayam Resipi Che Jah kami makan bertiga termasuk telurnya sekali!

Kurma Ayam resipi Che Jah

Amie kongsikan resipi yang asal. Memang tak rugi cuba. Kalau hidangkan kepada tetamu, sekali cuba sudah tentu hendak tambah lagi! Terima kasih Che Jah yang budiman.

Resepi Kurma Ayam Che Jah
Bahan-bahan:
  • 600 gram daging ayam - potong 8
  • 3 biji kentang - belah 2
  • 3 sudu besar rempah kurma
  • 200 ml pati santan
  • segenggam daun pudina
  • 3 biji cili hijau - belah 2
  • 1 biji limau nipis - ambil jusnya
  • 3 sudu besar minyak dicampur dengan satu sudu besar minyak sapi / mentega / marjerin
  • garam / gula / perasa pilihan
  • 3 cawan air
Bahan tumbuk halus / kisar :
  • 5 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 cm halia
  • 1 sudu kecil  jintan manis kasar
  • 1 sudu jintan putih kasar 
  • 3 biji buah pelaga
  • 1 batang kulit kayu manis - 3 cm
  • 3 kuntum bunga cengkih 
  • 2 kuntum bunga lawang
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak dan campurkan dengan satu suudu besar  minyak sapi / mentega / marjerin.
  2. Tumis bahan kisar hingga wangi.
  3. Masukkan rempah kurma, dan gaul sebati menggunakan api perlahan.
  4. Masukkan daging ayam bersama kentang. Tambahkan air.
  5. Masak hingga daging ayam dan kentang empuk.
  6. Tambahkan santan, dan biarkan sehingga kuah agak pekat.
  7. Masukkan garam / gula / perasa pilihan, cili hijau dan daun pudina.
  8. Perlahankan api supaya terbit minyak.
  9. Sebelum kurma ayam diangkat, perahkan jus limau nipis ke atasnya.
Kurma Ayam Resipi Che Jah

Beginilah keadaan Firdaus setiap kali balik dari sekolah agama. Tidak sabar untuk makan. Mungkin sangat lapar. Dia sediakan nasi dan pinggan makan di atas meja. Amie dengan Encik Suami selalu tertawa melihat Firdaus makan dengan songkok terletak di kepala tapi tidak berbaju! Amie selalu ingatkan supaya buka baju sekolah agama sebelum makan takut nanti kotor terkena kuah. Hurrrmmm... betul dia tanggalkan bajunya, tapi dia pakai songkoknya semula!

12 ulasan:

  1. Adoi...lawak la Daus...🤣
    Pasti sedap kurma ayam resipi Che Jah...kaya aroma rempah dan herba...Sampai tak menyempat Daus ....siap.ada nasi kat dagu tu...sweet memory

    BalasPadam
  2. Nampak berselera sungguh daus makan
    Mesti sedap sangat emak dia masak ni

    BalasPadam
  3. suka tengok firdaus, suka makan masakan ibu, kalau anak perempuan saya, memilih sgt. sampai blur taktau apa nak masak tuk dia bekal ke sekolah
    kurma tu pasti sedap 😋

    BalasPadam
  4. Daus dah macam Pendekar Bujang Lapok 🤣.

    Oh, kena try resepi ni. Dia tak ada rasa mcm ubat gigi kan kalau letak daun pudina tu. Menarik untuk dicuba ni.

    BalasPadam
  5. Hahaha macam Bujang Lapok la Firdaus 😂😂😂
    Kak Amie tunggu ye, tak lama lagi mesti kurma ala che jah ni hadir di rumah sy :D nak kena cari daun pudina dulu hehe...
    BTW, resepi kurma orang Penang mmg guna daun pudina & minyak sapi kan... tgk Dato' Rizalman masak pun macam ni gak

    BalasPadam
  6. Berselera betul Firdaus makan. Mesti sedap tu!

    BalasPadam
  7. sedap betul tengok firdaus mkn tu hehehe

    BalasPadam
  8. Kelakar la awak ni Daus...hehehe...nampak sedap kurma ayam tu..lama x buat

    BalasPadam
  9. Makan pun comel lah Firdaus ni..
    Kalau ada nasi tak masuk mulut, mak tegur "dayohnya tak dipelawa masuk".
    Menarik juga bila 6 sekawan tu diblend sekali.. tak adalah tergigit buah pelaga huhu

    BalasPadam
  10. Saya save dulu resepnya kak Amie, soal nya nak cari rempah kurma dulu 😄. Semoga ada jual di toko2 rempah timur tengah.

    Memang lah kliatan menarik. Sedap sangat pasti, sampe firdaus makan lahap yaa 😄👍👍

    BalasPadam
  11. Saya langsung cari di market place rempah kurma, tapi memang tak banyak yg jual..tapi ada 1 toko, yg jual bumbu2 Malaysia, hanya lokasinya di BATAM 🤣🤣🤣🤣. Ada pula dia jual kurma mix. Langsung lah saya beli kak. Beserta bubuk2 kari lainnya 😄. Memang langka rasanya penggunaan kurma di sini

    BalasPadam