Pages

Sabtu, 9 September 2023

Resipi Daging Rusa Masak Ungkep Yang Sangat Sedap!

Bismillahirrahmanirrahim.
Cerita kelmarin, petang Jumaat. Tiba-tiba mambang rajin tenggek di tepi tingkap dapur. Entah mimpi apa dia tinggalkan tuannya di Tanah Jauhar sanun. Memandangkan kunjungan si mambang hanya sekali-sekala, jadi kita cepat-cepat ambil aura dengan mengasapkan dapur sebelum si mambang pulang ke pangkuan tuannya!

Sebelum Firdaus dengan Encik Suami sampai ke rumah, siaplah hidangan makan malam kami, nasi putih berlaukkan Daging Rusa Masak Ungkep. Kombinasi rempah dan bahan-bahan segar yang digunakan termasuk serai, hidup, halia, ketumbar biji, jintan putih dan jintan manis menimbulkan aroma yang sungguh menggugah selera! Aromanya mengikut ke mana kita bergerak. Kita tinggalkan dapur menuju ke ruang tamu, aroma Daging Rusa Masak Ungkep mengiringi kita!

Tak sabar menunggu Firdaus dan Encik Suami sampai untuk makan bersama!

Daging Rusa Masak Ungkep

Bahan-bahan:
  • 500 gram daging rusa - potong ikut saiz yang digemari - lumur dengan 1/2 sudu kecil garam dan 1 sudu kecil serbuk kunyit - perap seketika
  • 2 batang serai - dititik
  • 2 cawan air
  • 1/2 cawan minyak
  • 1 sudu besar gula pasir / gula melaka
  • 1 sudu kecil pati asam jawa / 1 keping asam gelugur
  • garam / perasa pilihan secukupnya
Bahan tumbuk  / kisar:
  • 3 ulas bawang putih
  • 10 biji bawang merah
  • 2 sudu besar ketumbar biji
  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu kecil jintan putih
  • 3 cm kunyit hidup
  • 3 cm halia
  • 15 tangkai cili padi
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
  2. Masukkan serai dan daging rusa dan kemudian gaul rata hingga daging kelihatan layu atau berubah warna.
  3. Tambahkan air, pes asam jawa / asam keping, garam, gula  / perasa pilihan. 
  4. Tutup kuali rapat-rapat.
  5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging rusa tidak hangus kekeringan atau hancur.
  6. Apabila kuah kering (jika suka kuahnya, tak perlu masak sampai kering) dan daging empuk, matikan api.
Jika ada mambang rajin, bolehlah sangan ketumbar dan jintan terlebih dahulu sebelum ditumbuk / dikisar. Tujuannya supaya akan terbit aroma rempah yang lebih menyerlah.

Daging Rusa Masak Ungkep

Firdaus asyik memuji-muji keenakan Daging Rusa Masak Ungkep. Menambah-nambahlah nasi masuk ke pinggannya. Digaul-gaulnya nasi dengan kuah masakan ungkep. Suka sangat dia dengan rasa pedas dari cili padinya.  Memang sedap sangatlah masakan orang Jawa yang satu ini. Sumpah.... tak tipu punya!

12 ulasan:

  1. OM tak pernah cuba lagi daging rusa, mcm mana rasanya?

    BalasPadam
  2. mbul belum pernah santap daging rusa...seperti rendang ya kak amie, kuahnya pekat dan nikmat....

    BalasPadam
  3. Terbaiklah menu kali ni Kak Amie 👍
    Tapi, serammm la pulak dok bayang mambang bertenggek tepi tingkap 😅

    BalasPadam
  4. Uishhh.. senang pula dapat daging rusa tu Kak Amie.
    Saya pun suka masakan ungkep ni.. paling suka daging ungkep sebab masa kecik kalau ada daging mak akan masak ungkep.

    BalasPadam
  5. Tak pernah lagi makan daging rusa..

    BalasPadam
  6. ungkep tempe pun dah sedap... apalagi daging rusa...bertambah tambahlah sedapnya

    BalasPadam
  7. Wahhh sedapnya! Kalau saya makan pun jadi macam Firdaus memuji muji lauk sedap. Daging rusa dahlah sedap lembut tak banyak lemak, masak pula ungkep. Sedap betul!

    BalasPadam
  8. Aduhai, sepatutnya, kirimkanlah Ungkep Daging Rusa tu melalui mambang untuk tuannya, Kak Amie 😝

    BalasPadam
  9. masak ungkep memang sesuai sangat lah kan kak... ni yang teringin cari daging rusa

    BalasPadam
  10. Susah cari daging rusa di sini kak. Tak banyak yg menjual. Saya pernah coba daging rusa saat di Serbia. Memang sedap. Tapi saya yakin kalo diolah dengan banyak rempah seperti resep di atas, pasti dianya lebih nikmat 😄🤤👍

    BalasPadam
  11. alahaiiiii sedapnyaaaa daging rusa...lama betul tak makan....

    BalasPadam
  12. Kat Seremban ni daging rusa mahal betul...kalau betul2 teringin baru beli dan masak..selalunya buat rendang aje..

    BalasPadam