Pages

Selasa, 8 Ogos 2023

Udang Nestum Minyak Sapi Yang Sangat Sedap!

Bismillahirrahmanirrahim.
Kelmarin, Fairuz dan Haziq dalam perjalanan pulang dari Kota Kinabalu ke LD bersama Abang Aznan. Ibu saudara Abang Aznan yang baru tiba dari Hong Kong ikut serta ke LD untuk menziarahi kubur ibunya. Mereka ikut jalan darat tetapi bukan laluan biasa Kota Kinabalu - Ranau - Telupid - Lahad Datu, sebaliknya dari Kota Kinabalu terus ke Keningau dan ikut jalan Kalabakan untuk sampai ke Tawau. 

Setibanya di Tawau, Fairuz telefon. Kebetulan Amie sedang masak di dapur. Fairuz tanya : Mommy masak apa? Kita kata masak udang nestum, buat acar mentah serta goreng ikan temparing @ kutambak. 

Bolehkah Mommy masak esok sahaja? Tanya Fairuz.

Kenapa pula dik?

Malam ini kami menginap di Merotai (Tawau). Esok pagi sambung perjalanan ke LD, kata Fairuz.

Tak apa. Esok Mommy masakkan lagi udang nestum untuk kamu.

Petang tadi, dapatlah Fairuz makan bersama kami dengan hidangan menu yang lebih kurang sama dengan kelmarin.


Udang Nestum Minyak Sapi 


Biasanya perencah Udang Nestum digoreng dengan mentega tetapi Amie gunakan baki minyak sapi yang ada. Aromanya sudah tentulah semerbak! Ditambah pula dengan bau daun kari dan bawang putih. Resipi Udang Nestum ini sebenarnya pelbagai versi. Amie hanya gunakan bahan yang ada sahaja, dan itu pun sudah cukup sedap! Gaul perencah Udang Nestum dengan nasi putih pun sudah terasa keenakannya!

Hidangan kelmarin : 
Udang Nestum
Acar Mentah
Sambal Belacan Mangga
Ikan  Temparing @ Ikan Kutambak Goreng
Nasi Putih

Menambah juga nasi dalam pinggan!


Ikan Temparing @ Kutambak Goreng ini Amie bubuh rempah ketumbar dan jintan. Teringat pernah makan ikan goreng ini di Mekah, makan dengan nasi Arab. Sedap! Lain kali kena goreng lebih garing, rasanya lagi sedap kot.


Entah berapa hari dapur tak berasap. Petang kelmarin berasap semula sebab goreng ikan. Yang lain tak perlukan api untuk menyediakannya terutamanya acar dan sambal belacan mangga.

Ikan Temparing @ Kutambak Goreng Berempah.

Fairuz berganti memandu dengan Abang Aznan dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu.

Ikan Layar Panggang

Petang tadi Amie panggang sekeping ikan layar. Encik Suami suka beli banyak ikan layar. Jadi masih ada baki beberapa keping. Panggang sahajalah sebab lebih mudah.


Kalau kami makan ikan layar, Encik Suami selalu teringat anak-anak terutama Fuad, si Raja Ikan itu! Kami selalu usik Fuad sewaktu makan ikan layar, tangannya menyuap nasi ke mulut tetapi matanya asyik memandang ikan layar dalam pinggan lauk. Agaknya risau kalau terlepas pandang, ikan layar akan habis masuk ke pinggan orang lain!

Acar Mentah

Ini Acar Mentah yang Amie buat kelmarin. Sudah habis tidak tersisa sebab Encik Suami suka sangat makan acar begini iaitu campuran mentimun, sengkuang dan lobak merah.

Bahan-bahan untuk acar mentah.

Perang tadi Encik Suami bantu buat acar lagi. Selain timun, sengkuang dan lobak merah, kali ini ditambah dengan hirisan nanas. Seperti biasa, kami gunakan perahan jus limau nipis sebagai pengganti cuka. Cilinya pula Encik Suami hiriskan cili padi Siam yang kurang pedas itu. Encik Suami tambahkan gula pasir dan sedikit garam. Siap!

Acar Mentah hasil air tangan Encik Suami.

Sambal Belacan Mangga

Kelmarin ada Sambal Belacan Mangga. Hari ini tidak ada sambal.

Udang Nestum Minyak Sapi

Amie kongsikan resipi Udang Nestum Minyak Sapi. Amie masak campak-campak sahaja. Jika suka buanglah kulit udang dan tinggalkan bahagian ekor supaya nampak lebih cantik dan tak perlu buang kepala dan kulit sewaktu makan. Ada yang salut udang dengan telur dan tepung jagung sebelum digoreng. Amie hanya tambahkan satu sudu kecil serbuk Maggi Cukup Rasa sahaja dan kemudian goreng hingga berubah warna atau sehingga udang masak. Firdaus pesan supaya bubuh serbuk nestum banyak-banyak. Cili padi pun Amie bubuh banyak sebab jenis cili padi yang tak pedas.

Resipi Udang Nestum Minyak Sapi
Bahan-bahan:
  • 20 ekor udang kertas  - bersihkan
  • 7 ulas bawang putih - cincang
  • 12 tangkai cili padi Siam - hiris / cincang
  • 2 pelepah daun kari - lurutkan
  • 2 cawan serbuk nestum original
  • minyak untuk menggoreng udang
  • 2 sudu besar minyak sapi
  • gula / serbuk Maggi Cukup Rasa
Cara memasak:
  1. Gaul udang dengan satu sudu kecil serbuk Maggi Cukup Rasa.
  2. Goreng udang sehingga masak. Angkat dan toskan.
  3. Panaskan minyak sapi.
  4. Goreng bawang putih, cili padi dan daun kari hingga garing.
  5. Masukkan serbuk nestum dan kacau sebati.
  6. Seterusnya masukkan udang. 
  7. Tambahkan satu sudu kecil serbuk Maggi Cukup Rasa dan satu sudu kecil gula pasir.
  8. Gaul rata dan padamkan api dapur.

Udang Nestum Minyak Sapi


10 ulasan:

  1. Udang nestum minyak sapi…tak pernah makan.
    Suka tengok kak Amie hidang makanan, menarik!

    BalasPadam
  2. Pasti dua-dua pun sedap samada guna butter atau minyak sapi.

    BalasPadam
  3. kalau guna minyak sapi lagi harum semerbak tu k.amie..sedapnya lauk semua..

    BalasPadam
  4. lauk-lauk kak amie dah macam makan di restoran mewah...nampak sedap semuanya

    BalasPadam
  5. Sedapnya makan panas² ni...ratah pun sedap udang masak gini...

    BalasPadam
  6. Sedapnya udang masak gini...ratah pun sedap ni :)

    BalasPadam
  7. Wah..menarik..saya belum pernah masak macam ni...
    Udang ada ni...daun kari semua ada..nak selongkar tong bakery cari nestum lah macam ni

    BalasPadam
  8. Sedap dimakan rangup rangup nestum tu. Sudah tentu lah bertambah nasi dibuatnya. Kelakar pula baca gelagat si Raja ikan tu. Betul betul suka ikan ye. Terima kasih untuk resipinya kak Amie.

    BalasPadam
  9. ikan layar tu menggugat laa kak... udang sini mahal... kalau betul2 teringin nk makan baru beli

    BalasPadam
  10. Ikan layar tu yg ada sirip macam kapal layar kan kak amie. Uiiu.. sedapnya odang nestum aroma minyak sapi.

    BalasPadam