Pages

Isnin, 24 Julai 2023

Makan Nasi Lauk Ikan Layar Masak Lada Putih & Acar Mangga Daun Pudina

Bismillahirrahmanirrahim.
Bosan rasanya asyik makan ubat dan tidur saja sepanjang hari dan sepanjang malam. Mulut terasa pahit tapi tekak hendak makan sesuatu sebab lapar. Teringat keluarga sebelah Encik Suami suka sebut 'mati liur' yang bermaksud tidak ada selera makan. Teringin hendak makan air tangan MIL, atau setidaknya kakak ipar pengasuh Firdaus, namun apakan daya MIL dan kakak ipar sudah lama tiada. Jadi, bangkitlah dari tempat pembaringan menuju ke dapur. Awal paginya Encik Suami belikan kita sebungkus bihun goreng Singapura dengan peha ayam goreng untuk kita. Tak tahulah Encik Suami sarapan apa dan di mana. Tak nampak kesan bekas makanan atau minuman di dapur. Pandai-pandailah Encik Suami urus perut sendiri sebab kita pun tak larat nak urus diri.

Apabila ada ikan layar, tak ada resipi lain kita gunakan melainkan resipi MIL. Tumbuk bawang putih, bawang merah, halia dan lada putih sahaja. Itulah bahan perencahnya. Lada putih kena bubuh lebih seperti MIL selalu buat. MIL akan ambil segenggam dan tumbuk dalam lesung bersama bahan perencah yang lain. Hasil masakan ikan layar gunakan bahan perencah kisar dengan bahan perencah tumbuk memang berbeza. Sudah tentulah lebih sedap kalau ditumbuk dalam lesung. Barangkali sudah biasa makan ikan layar yang dibubuh banyak lada putih, jadi kalau bubuh sedikit seperti ada yang kurang pula. Untuk masakan ini, MIL tidak gunakan jus limau nipis, sebaliknya MIL gunakan asam jawa dalam paket dan bancuh dengan air. Amie pernah gunakan asam keping dan juga pati asam jawa, tetapi lebih sedap kalau gunakan asam jawa dalam paket. 

Setelah berpeluh-peluh di dapur (mungkin cuaca panas) atau mungkin kebah dari demam, menjelang pukul dua petang, makanlah kami berdua dengan Encik Suami:
  • Nasi Putih
  • Ikan Layar Masak Lada Putih
  • Acar Mangga Daun Pudina
  • Sambal Belacan

Nasi Putih, Ikan Layar Masak Lada Putih, Acar Mangga Daun Pudina & Sambal Belacan

Ikan Layar Masak Lada Putih

Masih teringat hasil air tangan MIL, kuahnya berlinang-linang dengan minyak yang datangnya dari lemak ikan layar. Apabila makan,  tergigit lada putih yang agak kasar tapi terasa pedasnya. Masakan MIL cukup rasanya, walaupun hanya gaul nasi putih dengan kuahnya saja sudah terasa enaknya!

Marilah cuba resipi tinggalan MIL.
Tidak ada ikan layar, boleh gunakan ikan tuna. Aduhai....enaknya!


Resipi Ikan Layar Masak Lada Putih.
Bahan-bahan:

  • 500 gram ikan layar - bersihkan - potong ikut saiz yang disukai
  • 4 sudu besar minyak
  • 2 sudu besar asam jawa - bancuh dengan satu cawan air
  • garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 1 sudu besar ada putih
  • 3 cm halia
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak.
  2. Tumis bahan tumbuk hingga pecah minyak. 
  3. Masukkan ikan layar dan gaul dengan bahan perencah. Biarkan hingga layu.
  4. Tuangkan air bancuhan asam jawa.
  5. Setelah terbit minyak sekali lagi, taburkan garam / perasa pilihan.
  6. Kalau beberapa kali dan padamkan api dapur.


Ada mangga air yang sudah tua tapi hanya beberapa biji yang masak. Amie hendak buat acar mangga. Jadi Amie pilih mangga yang belum masak.

Kelmarin, Encik Suami kata mangga yang sudah masak manis rasanya. Tapi Amie tak makan lagi. Hari ini terasa ingin makan mangga tua yang masih ada rasa masam-masam sikit.

Acar Mangga Daun Pudina

Teringat acar timun daun pudina sewaktu makan di sini: MENJAMU SELERA DENGAN WEDDING RICE DI HAWA'S ARTISAN KITCHEN. Jadi, Amie tambahkan daun pudina di dalam acar mangga yang juga ditambah nanas serta timun. Berebut meratah acar dengan Encik Suami! Habis licin tak tinggal baki.


Resipi Acar Timun Daun Pudina
Bahan-bahan:

  • 2 biji mangga air - kupas kulit - cincang / hiris
  • 1/2 batang timun jepun - buang sedikit kulit - potong bulat
  • 1 cawan hirisan nanas masak 
  • 1 labu bawang besar - mayang
  • 7 tangkai cili padi - kalau tak mahu pedas hiriskan cili besar saja
  • 12 helai daun pudina
  • garam  dan gula secukup rasa
  • jus limau kasturi secukupnya
Cara:
  1. Sediakan sebuah bekas.
  2. Masukkan hirisan mangga, timun, nanas, bawang besar dan cili padi.
  3. Taburkan garam dan gula serta tuangkan jus limau kasturi.
  4. Gaul rata.
  5. Ramas daun pudina dan masukkan ke dalam bekas berisi acar dan gaul.
  6. Terus hidangkan.
Tak perlu tunggu lama sehingga acar berair-air. Makan begitu saja pun sudah cukup sedap! Rangup!

Ikan Layar Mask Lada Putih, Acar Mangga Daun Pudina dan Sambal Belacan sedang memanggil-manggil! Jom makan. 


Mudah-mudahan esok dan hari-hari seterusnya terus berselera untuk makan.

Terima kasih MIL, tinggalkan resipi Ikan Layar Masak Lada Putih.



12 ulasan:

  1. Cantiknya kombinasi masakan Cikgu Amie.... so colourful 🥰
    Happy eating!

    BalasPadam
  2. Masyaa Allah...sedapnya lahai ikan layar yang lemak isinya ni...terbayang juga sisikmya yang halus tajam macam jarum tu..

    Semoga Allah kurniakan kesembuhan untuk Cikgu Amie🤲

    BalasPadam
  3. Semoga cepat sembuh Kak Amie. Demam2 pun masih gagahkan diri ke dapur. Salute dengan Kak Amie 👍🏻

    BalasPadam
  4. Ini kali pertama seumur hidup saya tau mengenai ikan layar.. ikan apa yea kak Amie? Resipi yang dikongsikan nie nampak seperti senang untuk diikuti..

    BalasPadam
  5. Supaya dah kebah demam Kak Amie. Walaupun mengidam masakan org yg dah tiada, mujur sempat menuntut ilmunya, Kak Amie. Dapatlah dimasak sendiri.

    BalasPadam
  6. Save dulu resepi Acar Mangga ni ... Selalu buat acar timun + Nenas je. Rupanya mangga pun boleh dibuat acar ye...
    Cepat sembuh ye Kak Amie 🤲

    BalasPadam
  7. Daun pudina tu campur sikit dalam teh O

    BalasPadam
  8. moga cepat sembuh amie ubat tekak demam menu menyelerakan

    BalasPadam
  9. Tengok hidangan ni, auto berselera kak Amie. tergigit lada tu kadang best juga extra pedas. Hihi...Meriah acarnya berwarna warni. Dari makan begitu saja, sedap juga buat acar kan.

    BalasPadam
  10. Saya hanya lihat saja, dah nak terliur kak Amie 🤤🤤😄. Terutama resep ikannya, jadi ingin nak coba. 👍. Jadi bisa diganti ikan tuna yaaa. Rasanya itu yg lebih banyak di tempat saya

    BalasPadam
  11. Terliur plak tengok lauk ikan layar dan acar mangga tu...terliur

    BalasPadam
  12. sedap ni kak buat l;auk berbuka sbb simple sangat...

    BalasPadam