Pages

Isnin, 19 Jun 2023

Sotong Masak Kari Tanpa Santan

Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini keluarkan sedikit asap dari dapur. Amie masak sotong. Biasanya goreng kunyit sahaja tetapi kali ini masak kari pula. Tanpa santan. Sedap sungguh Sotong Masak Kari Tanpa Santan. Encik Suami suka, Firdaus lagilah terlebih suka! Maklumlah balik sekolah, penat dan perut lapar! Terbau aroma Sotong Masak Kari Tanpa Santan, melompat-lompat gembiralah budak kecil itu.

Amie gunakan sotong torak untuk masakan ini. Amie tambahkan hirisan kacang panjang. Sebaiknya bubuh tomato atau kacang bendi, tapi hanya kacang panjang saja yang ada. Itu pun sudah cukup enak dinikmati dengan nasi putih!


Resipi Sotong Masak Kari Tanpa Santan
Bahan-bahan:
  • 500 gram sotong torak - bersihkan - potong ikut suka
  • 5 batang kacang panjang - hiris serong
  • 2 pelepah daun kari - lurutkan daunnya
  • 2 sudu besar rempah kari ikan
  • 2 sudu besar rempah kari daging
  • 2 sudu kecil halba campur
  • 2 sudu kecil pati asam jawa
  • 2 sudu kecil gula
  • 3 ulas bawang putih - hiris
  • 3 biji bawang merah - hiris
  • 1 labu bawang besar - hiris
  • 10 biji cili padi / hirisan cili merah / hijau - pilihan
  • 1/2 cawan minyak
  • 2 cawan air
  • garam / perasa pilihan
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan hiris, daun kari dan halba campur hingga terbit aroma.
  2. Kemudian masukkan serbuk rempah kari. Perlahankan api dapur.
  3. Apabila bahan tumisan mulai garing, tambahkan air sedikit demi sedikit dan biarkan mendidih sehingga pecah minyak.
  4. Setelah kuah agak pekat, masukkan gula dan pati asam jawa. Biarkan seketika.
  5. Kemudian masukkan sekali sotong, cili padi dan kacang panjang.
  6. Taburkan garam / perasa pilihan. 
  7. Kacau rata.
  8. Apabila sotong sudah mengembang / menggeliat dan kacang panjang berubah warna, padamkan api dapur.
Oleh kerana sotong akan mengeluarkan air, sebaiknya biarlah kuah kari menjadi pekat dahulu sebelum masukkan sotong. Masak sotong sekejap antara satu hingga dua minit sahaja supaya tidak liat.
Amie sengaja masukkan cili padi sebiji-sebiji sebab Encik Suami kurang menggemari rasa pedas. Jadi, sewaktu makan bolehlah picit cili padi untuk rasa lebih pedas.

Sotong Masak Kari Tanpa Santan

4 ulasan:

  1. Sedapnya nampak kari sotong tu, mari jom tukar dengan kari rusuk lembu sy.

    BalasPadam
  2. terliur nengok rupa sotong tu kak oi

    BalasPadam
  3. Aduhai sedapnyaaaa...terus rasa lapar perut SA

    BalasPadam
  4. janji ada sotong kak. ada santan ke tak belakang cerita. janji sedapppp😁

    BalasPadam