Pages

Isnin, 1 Mei 2023

Rindu Nasi Goreng ala Kampung

Bismillahirrahmanirrahim.
Selamat Hari Pekerja dan selamat sambung cuti. Boleh pergi beraya lagi. Hari ini merupakan hari ulang tahun arwal FIL, dan esok pula ulang tahun arwah Ayahanda kita. Semoga kedua-duanya tergolong dalam kalangan hambanya yang beriman dan beramal soleh.

Pagi ini Amie goreng nasi, tambah hirisan kacang panjang. Apabila nasi goreng dalam kuali dicampur kacang panjang segar, naik aroma yang sungguh menyelerakan. Ada dua bahan yang Amie suka sangat tambah dalam nasi goreng iaitu kacang panjang dan hirisan timun. Apabila nasi goreng dari kuali sudah dipindahkan ke dalam mangkuk, taburkan hirisan timun yang dipotong kecil-kecil panjang. Aroma tambah semerbak sekiranya nasi goreng tadi sudah direnjis dengan minyak bijan!
Selain Nasi Goreng ala Kampung tapi tidak berkangkung, iringan lain termasuklah popia dan samosa serta nasi himpit sambal kacang sotong kembang. Encik Suami pula asyik meratah sambal goreng jawa. Kita leka menambah itu ini dalam pinggan sampai terlupa tengah hari nanti ada jemputan ke rumah terbuka. Apabila perut sudah penuh, mana nak letak makanan di rumah terbuka nanti.... ahaks!

Nasi Goreng ala Kampung

Popia & Samosa

Nasi Himpit & Sambal Kacang Sotong Kembang

Sambal Goreng Jawa

Walaupun tanpa kehadiran sayur kangkung dan telur goreng mata kerbau, tapi Nasi Goreng ala Kampung ini sudah cukup sedap dengan setiap gigitan ikan bilis mata biru yang rangup!


Resipi Nasi Goreng ala Kampung
Bahan-bahan:

  • 4 cawan nasi putih sejuk
  • 1 cawan hirisan kacang panjang
  • 1/2 cawan hirisan lobak merah
  • 7 tangkai cili padi - potong tiga setiap biji
  • 3 ulas bawang putih cincang
  • 1 labu bawang besar cincang
  • 1 cawan ikan bilis mata biru goreng
  • 3 sudu besar minyak
  • garam / perasa pilihan
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak.
  2. Goreng bawang besar dan bawang putih cincang hingga layu.
  3. Masukkan cili padi dan lobak merah. Kacau beberapa kali.
  4. Kemudian masukkan nasi putih bersama hirisan kacang panjang.
  5. Gaul sebati dan perasakan dengan garam / perasa pilihan.
  6. Akhir sekali masukkan ikan bilis mata biru goreng.
  7. Gaul dua tiga kali dan padamkan api dapur.

10 ulasan:

  1. Pagi tadi sarapan nasi goreng buatan air tangan isteri. Kebetulan kakak dari Terengganu datang bertandang ke rumah saya.

    BalasPadam
  2. Oh..menu yang dirindu selepas raya banyak berketupat lemang..

    Cikgu,sambal goreng jawa tu menariknya ada kacang tanah.Saya belum pernah makan versi ni.Nampak menyelerakan.Nanti kalau ada kelapangan sudilah kiranya share resipi🥰

    BalasPadam
  3. Agaknya bila hidang nasi goreng kampung dengan tetamu yang datang beraya, mesti licin! Ramai yang dah mula bosan makan rendang dan ketupat hehe

    BalasPadam
  4. Sambal sotong kembang memang kegemaran saya. Tapi kat rumah ni saya sorang aje yang makan. tu yang malas nak masak

    BalasPadam
  5. Wah kenyang bersarapan nasi goreng kampung

    BalasPadam
  6. Sy berangan2 nak buat Sambal Kacang Sotong Kembang. Tuari masukkan tetel. Setakat ni, sy belum lagi ke mana2 rumah terbuka.

    BalasPadam
  7. Saya pun rasa macam tu juga. Nasi goreng paling sedap bila kita letak kacang panjang. Mesti bertambah, tak cukup sepinggan. :D

    BalasPadam
  8. Saya pertama kali coba nasi goreng kampung, saat masih kuliah di Penang. Coba di kampus college. Rasanya, enaaaaak sangat 😍. Sejak itu suka dengan nasi goreng kampung. Tiap balik Malaysia, pasti kuliner itu selalu saya cari.

    Nanti saya nak coba recipe kak Amie ini 👍🏿

    BalasPadam
  9. nasi goreng kampung bumbu nya ditumbuk tak pakai perencah , msa tumis tu mmg bersin2 lah dek kerana rempah tu kak oi.

    BalasPadam
  10. Sedapnya nasi goreng ala kampung..letak kangkung pun sedap kan kak amie

    BalasPadam