Pages

Khamis, 6 April 2023

Sup Ikan Sarawi & Peria Tumis dengan Udang

Bismillahirrahmanirrahim.
Baru ada kesempatan untuk menulis entri hidangan berbuka puasa hari ke-14. LD masih lagi mendung dan hujan setiap hari. Firdaus pula sudah tiga hari tidak hadir ke sekolah. Hari Isnin Encik Suami bawa ke klinik dan dapat cuti dua hari tetapi keadaannya masih kurang sihat. 

Apabila suhu dingin setiap petang, eloklah masak sesuatu yang boleh panaskan badan. Amie teringat tiga ekor ikan sarawi yang kami beli di Tamu Kinarut. Belum dimasak rupanya! Terjumpa dalam timbunan ikan-ikan yang Abang Aznan bekalkan kami dulu. Ikan sarawi ini jenis ikan sungai, dan banyak tulang. 

Amie masak sup ikut citarasa sendiri. Bubuh lebih lada putih. Gunakan lada putih biji, dan tumbuk kasar-kasar. Barulah rasa pedasnya apabila tergigit sewaktu makan... ahaks! Tambahkan beberapa biji cili padi. Kalau hendak pedas lagi, sewaktu makan bolehlah picit cili padi! Untuk aromanya, Amie tambahkan serai dan daun limau purut. Daun limau purut itu pula masukkan waktu akhir setelah ikan masak. Sewaktu hendak padamkan api dapur, ramaslah sedikit daun limau purut dan masukkan dalam periuk.

Sup Ikan Sarawi @ Serawi.

Ikan Sarawi @ Serawi

Kedinginan senja sewaktu berbuka menambah lazatnya hirup kuah Sup Ikan Sarawi. Nyaman bah!

Ikan Sarawi Goreng

Seekor lagi ikan sarawi Amie goreng saja dengan garam kunyit. Amie sediakan kicap lada, tumbuk cili padi dengan bawang putih, hiriskan daun ketumbar jawa, perahkan jus limau kasturi dan tuangkan kicap pedas manis. Bolehlah cicah dengan ikan sarawi goreng.

Peria Tumis dengan Udang

Akibat terkenang-kenang sayur peria sewaktu makan di kedai mamak, akhirnya termasaklah peria ala-ala mamak! Kita bubuh serbuk kunyit dan biji sawi. Apabila siap masak, udangnya pula yang menyerlahkan diri. 

Sup Ikan Sarawi

Resipi Sup Ikan Sarawi
Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan sarawi- bersihkan - kerat 2
  • 1 labu bawang besar - mayang kasar
  • 2 ulas bawang putih - ketuk
  • 2 cm halia - ketuk
  • 1 batang serai - ketuk
  • 1 keping asam gelugur
  • 7 biji cili padi
  • 1 sudu kecil lada putih -  tumbuk 
  • 2 helai daun limau purut - buang urat belakang 
  • 600 ml air
  • garam / perasa pilihan
Cara memasak:
  1. Jerang air di dalam periuk.
  2. Masukkan bawang besar, bawang putih, halia dan serai.
  3. Setelah air mendidih, masukkan ikan sarawi, asam gelugur, cili padi dan lada putih.
  4. Biarkan sehingga ikan masak.
  5. Kemudian masukkan garam / perasa pilihan.
  6. Akhir sekali masukkan daun limau purut dan padamkan api dapur.


Resipi Peria Tumis dengan Udang
Bahan-bahan:
  • 1 batang peria anggaran 300 gram - bersihkan - hiris 
  • 15 ekor udang kertas - bersihkan
  • 1 sudu kecil biji sawi
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 4 sudu besar minyak
  • garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk :
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 7 biji cili padi
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak.
  2. Masukkan biji sawi dan kacau seketika.
  3. Seterusnya masukkan bahan tumbuk. 
  4. Setelah terbit aroma, masukkan pula udang diikuti dengan peria.
  5. Masukkan serbuk kunyit.
  6. Gaul rata.
  7. Setelah peria kelihatan layu, tambahkan garam / perasa pilihan.
  8. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.
Telur dadar.

Minuman Lo Han Kuo Panas.

Oleh kerana hendak berbuka puasa dengan menu 'panas' jadi minuman yang disediakan pun minuman lo han kuo panas juga. Memang berpeluh-peluhlah selepas berbuka puasa. Hirup Sup Ikan Sarawi panas dengan lada putihnya, dan minum lo han kuo panas lemak manis!

Sekian, cerita tentang ikan sarawi diakhiri dengan cerita secawan lo han kuo panas!

16 ulasan:

  1. Sedap tu dalam kedinginan petang makan yang panas-panas.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, betul Faizah. Berpeluh-peluh tambah sihat badan.

      Padam
  2. Ikan serawi tu ada rupa macam ikan kelah la..
    Semoga Daus dikurniakan kesembuhan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ada rupa ikan kelah, tapi kurus sikit.
      Amin. Alhamdulillah. Firdaus mulai sembuh.

      Padam
  3. Namak menarik plak peria tumis dengan udang tu...ikan tu banyak tulang x kak amie?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ada tulang halus, taklah sebanyak tulang ikan lampam.

      Padam
  4. ikan serawi macam ikan terubuk...menu kak amie mengundang masak nasi lebih

    BalasPadam
  5. 1st time dgr nama ikan sarawi .. bila tgk rupa..oo..pernah nampaks

    BalasPadam
  6. Ada peria di sebalik udang tu, namanya, Kak Amie.
    Sy nampak sedap sangat isi ikan sarawi tu. Lagi2 bila ia digoreng, pasti rangup di luar dan lunak di dalamnya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau dimasak sup, terasa manis isinya.
      Kalau digoreng, memang rangup di luar, lembut di dalam.

      Padam
  7. ikan sarawi gorng tu lagi menggoda kak dek kerana garing tu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah nak tahu rasanya, masak dua jenis. Memang yang digoreng tu sedap!

      Padam
  8. Lamanya tak singgah dapur kak Amie. Menyelerakan menu berbuka Kak Amie dan keluarga. Kat sini kadang mendung kadang panas. Cuaca tak menentu. Mungkin sebab tu juga Firdaus kurang sihat kot. Semoga cepat sembuh. Aamiinn...

    Cuaca macam tu memang syoklah hirup sup panas. Kak Amie sebut cili picit tu teringat ingat pulak ikan kembung singgang rasa pedas pedas sikit. Hari ni baru kenal ikan sarawi.

    BalasPadam
  9. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam