Pages

Ahad, 16 April 2023

Pindang Tumis Ikan Kayu

Bismilllahirrahmanirrahim.
Kalau Mama Cella hari ini mandi empat kali, kita mandi lima kali!
Sebelum subuh sudah mandi sebab setelah bersihkan sotong kering yang direndam, aromanya ya ampun!
Balik dari pasar, mandi kali kedua sebelum solat zohor. Macam-macamlah yang dipijak ketika meronda segala pasar ikan, pasar sayur dan pasaraya!
Kemudian, bersihkan lima kilogram ikan di dapur. Mandi sekali lagi sebelum solat asar sebab banyak sungguh darah ikan memercik ke baju! 
Ketika hendak masak juadah berbuka puasa, ambil kesempatan hiris empat kilogram dada ayam, dan kemudian perap untuk dijadikan ayam goreng pandan. Ini persiapan untuk hari raya. Tak selesa pula dalam keadaan berbau bawang putih, halia dan serai sewaktu hendak berbuka puasa. Maka mandi untuk kali keempat, sekadar mandi kerbau sebab sudah hampir sangat waktu berbuka.
Sementara menunggu Encik Suami balik solat terawih, kita minta tolong Firdaus kupas bawang putih. Kita sendiri potong daging lima kilogram, sebagai persediaan untuk dibuat rendang. Kemudian kita mandi untuk kali yang kelima!

Petang tadi hanya masak Pindang Tumis Ikan Kayu serta tumis sayur sawi campur small fish roll untuk berbuka puasa. Firdaus hendak berbuka dengan popia, jadi kita goreng mana yang sempat sebab sudah hampir sangat waktu berbuka. Encik Suami pula bantu siapkan jus tembikai.

Sebelum tidur, bukalah dapur maya sekejap. Kalau ikutkan hati memang hendak rebahkan diri saja di pembaringan, tapi apabila fikir kalau sekali tak tulis entri maka akan jadi dua tiga kali dan lama-lama malas nak menulis! Jadi, kenalah menulis walaupun cerita biasa-biasa sahaja. 

Pindang Tumis Ikan Kayu

Sawi Tumis dengan Small Fish Roll

Popia untuk Firdaus. Angkat popia dari kuali apabila dua minit lagi hendak berbuka.

Jus tembikai.

Pindang Tumis Ikan Kayu

Resipi Pindang Tumis Ikan Kayu
Bahan-bahan:
  • 2 ekor ikan kayu - bersihkan - potong ikut suka
  • 4 batang kacang bendi - potong 2
  • 4 sudu besar minyak
  • 4 cawan air
  • 2 keping asam gelugur
  • garam  / perasa pilihan
Bahan hiris:
  • 10 tangkai cili padi
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 labu bawang besar
  • 1 batang serai
  • 2 cm kunyit
  • 2 cm halia
  • 2 cm lengkuas
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan hiris sehingga terbit aroma.
2. Masukkan air. Biarkan sehingga mendidih.
3. Seterusnya masukkan asam gelugor, kacang bendi dan ikan kayu.
4. Masak sehingga kacang bendi lembut dan ikan kayu masak.
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Kacau beberapa kali, dan padamkan api dapur.

Sebelum tinggalkan dapur, sempat ambil gambar bunga kantan yang kecil comel ini!

Dengan ini kita hendak pulangkan mambang ke Tanah Jauhar setelah sehari suntuk sampai ke malam lepak di LD! Jangan sesat hinggap ya mambang. Terbang elok-elok ke ibunya di sanun. Allah ya Allah! Mudah-mudahan kita bertemu dengan Lailatul Qadar, malam seribu bulan! Amin.

14 ulasan:

  1. amboiii lawan sapa mandi paling banyak ya harini hahahha..
    menu berbuka sungguh menyelerakan :D

    BalasPadam
  2. waktu puasa mcm ni menu simple resepi mak nenek mcm ni lah terpaling sedap... tp anak² kena ada ayamlah pulak... dah jd mcm tulip pulak bunga kantan tu kak.. hehhehe

    BalasPadam
  3. Tak silap Mak Cella pun mandi 4-5 kali juga semalam haha...
    Sy pun dah mula buat persiapan utk juadah raya... Semalam dah 'buka' daun palas :D

    BalasPadam
  4. nanti nak raya dah senang kan kak... semua dah tersedia

    BalasPadam
  5. Eh..eh..rasanya SA yang menang kot..SA mandi hari Sabtu 5 kali...semalam SA mandi selang 1 jam sebab terlampau panas..sedap plak tengok singgang ikan kayu kak amie ni

    BalasPadam
  6. Hahaha...mandi terbanyak dalam sehari...Firdaus suka sekali popia 😀

    BalasPadam
  7. Alamak! Warna jus tembikai tuuuu.... Auuummm!

    BalasPadam
  8. Bagusnya, Amie, sudah siap sediakan daging dan ayam untuk hari raya. Sedap pindang tumis. Hirup kuah panas-panas. :)

    BalasPadam
  9. Mandi kerbau 😄
    Lama tak guna perkataan tu.

    MasyaAllah cantik bunga kantan, banyak dan gemuk2. Geram tengok.

    BalasPadam
  10. Tudiaaaa....5x mandi..
    Memang bergelumang seafood.yer cikgu..
    Banyaknya stok lauk raya

    BalasPadam
  11. Kalau lepas siang ikan kayu memang kena mandi

    BalasPadam
  12. tambah pulak cuaca paas, memang cari alasan nak mandi berkali-kali

    BalasPadam