Pages

Ahad, 31 Julai 2022

Cerita Dari Pasar Tani & Pasar Ikan

Bismillahirrahmanirrahim.
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Pagi ini Amie kongsikan hasil meredah hutan dan sungai di pasar tani LD. Lama sungguh tak berkunjung ke tempat ini. Oleh kerana cuaca panas terik (walaupun baru pukul 9 pagi) dan kedudukan pasar berhampiran dengan laut tempat timbulnya matahari pagi, tidaklah kami berlama-lama di sini. Dan tidaklah seluruh ceruk pasar tani kami jelajahi.

Kami beli:
  • paku midin
  • paku rawan
  • paku tanjung
  • terung pipit
  • petai
  • siput hitam
  • lokan

Sayuran kampung.


Paku Midin.

Paku Rawan.

Paku Tanjung.

Terung Pipit

Petai.

Cerita petai ini tiba-tiba langit mendung sedikit. Tiga papan berharga RM10.00. Memang dari dahulu harga kayangan! Tak pandailah turun harganya. Bukan tak mampu bayar, tapi rasa tak berbaloi sangat! Kena tunggu tanam pokok petai sendirilah kalau hendak makan petai selalu.

Terung pipit satu bungkus RM6.00, sama harganya dengan paku midin. Tidak dapat dinafikan harga sayur-sayuran kampung dan hasil tanaman kampung seperti ubi, keladi, pisang dan sebagainya setanding dengan harga sayuran dan buah-buahan komersial lain. Itulah rezeki kepada mereka yang rajin berbudi kepada tanah. Di mana ada usaha, mudah-mudahan Allah sentiasa permudahkan rezeki mereka.

Paku Rawan, Paku Midin, Petai & Terung Pipit.

Lokan.

Beli sekilogram lokan dengan harga RM10.00. Lama sungguh tak makan lokan jenis panjang ini. Isinya lebih lembut berbanding lokan yang bulat. Dulu-dulu, kalau ada masa lapang di hujung minggu Encik Suami selalu bawa kami bersama keluarganya mencari lokan ini di anak sungai hujung kampung. Seronok sungguh meraba-raba dasar sungai menarik lokan! Tidak lama kemudian, kedengaran cerita ada buaya di anak sungai tersebut. Tidaklah kami berani pergi ke tempat itu lagi sehingga ke hari ini.

Siput Hitam

Firdaus pula bersungguh-sungguh minta belikan siput hitam. Katanya, sudah lama tak sedut siput! Cerita siput hitam ini, kita teringat zaman remaja sewaktu cuti sekolah. Kita ikut arwah ayahanda kita melawat kebunnya di Kampung Semantan, Ulu Raub, Pahang. Kenangan sungguh! Selepas menoreh getah, singgah sungai petik daun kesum, paku tanjung dan sayur kangkung. Kutip siput hitam di anak sungai, capai buah kundang di pertengahan jalan! Rindunya suasana itu yang tak mungkin akan berulang kembali.

Ikan Putih.

Terlanjur pergi pasar tani, singgah jugalah ke pasar ikan. Beli ikan putih, siap dibersihkan dan dikerat-kerat. Sampai dapur, terus cuci bersih, toskan dan simpan dalam peti sejuk.

Ikan Layar.

Encik Suami tidak lepaskan peluang apabila ternampak ikan layar. Dibelinya sebanyak dua kilogram. Minta peniaga ikan potong-potong, tapi sisiknya nanti dibersihkan sendiri. Sisik ikan layar tak seperti sisik ikan lain. Sisik ikan layar tersembunyi di bawah kulitnya, dan rupanya tajam seperti jarum. Sampai di rumah, disebut-sebutnya nama Fuad yang suka sangat makan ikan layar. Kita tak menyahut. Hati kita tersentuh!

Udang.

Tidak ketinggalan, beli udang segar sekilogram. Selalunya tak suka beli di pasar LD sebab tak boleh pilih sendiri dan apabila sampai rumah lebih banyak saiz kecil berbanding saiz yang dipamerkan. Begitulah gaya sebahagian kecil peniaga ikan di LD terutama ikan saiz kecil, udang dan sotong. Mereka akan susun udang dan sotong yang besar dan cantik di hadapan, tetapi apabila pelanggan hendak beli tidak dibenarkan memilih sendiri. Mereka akan sodok dari bawah. Sampai rumah, dapatlah ikan pecah perut, udang dan sotong yang buruk. Hanya beberapa ekor sahaja yang elok.

Alhamdulillah, udang yang dibeli kali ini sama saiz dan segar elok.

9 ulasan:

  1. Wah....Ikan layarrrr...ada kenangan sisik ikan ni🤭
    Sukanya saya ikan layar
    Sayangnya di Malaya ni spesis ini dilindungi.Hanya boleh tangkap dan lepas.
    Segar-segar ikan dan sayurnya..Apa nak buat cikgu..semua pun mahal sekarang.terasa perbelanjaan mendadak naik

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kan Mama Cella... Kena bajet habis kalau begini.

      Padam
  2. wak suka sayur kudup bunga paku rawan tu
    Pucuknya pun sedap. Wak panggil sayur genjer

    BalasPadam
    Balasan
    1. Di sini pun biasa dipanggil genjer juga Wak.

      Padam
  3. Sayur paku tu favourite. Terung pipit dibuat sambal memang sedap. Siput hitam tu unik lah. Haih, auto lapar bila datang sini

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tak sabar nak masak terung pipit tu Sal. Nak buat sambal dengan tempoyak.

      Padam
  4. Seronok tengok hasil belian Kak Amie di pasar tani. Petai memang kategori sayur kayangan sekarang ni huhuhu

    BalasPadam
  5. Hehe ada pokok petai di kebun tapi masalah pula pokok tinggi.

    BalasPadam