Pages

Isnin, 25 Julai 2022

Antologi Cerpen Remaja Berkerjaya : Mengurai Impian

Bismillahirrahmanirrahim.
Agak lama juga Amie tidak kongsikan perkembangan penulisan yang Amie hasilkan. Kali ini Amie paparkan kelahiran Antologi Cerpen Remaja Berkerjaya di bawah tajuk Mengurai Impian terbitan Sanggar Nurimas Enterprise.  Antologi ini menampilkan kompilasi 21 buah cerpen daripada 21 orang penulis pelbagai latar sosial, pekerjaan, geografi dan usia. Antologi ini mengongsikan serba sedikit panduan dan pilihan kepada golongan remaja untuk menentukan arah tuju masa depan kerjaya masing-masing.

Terima kasih kepada penyelenggara kolaboratif  Tuan Haji Nurimas SN dan Eiza Nashwa. Bimbingan yang diberi kepada kami, alumni Akademik Sanggar Nurimas berjaya menghasilkan dua kategori iaitu 10 karya Memori Kerjaya dan 11 karya Realiti Kerjaya.

Antologi Cerpen Remaja Berkerjaya : Mengurai Impian
 
Antologi Cerpen Mengurai Impian

21 orang penulis bergabung tenaga untuk menghasilkan Mengurai Impian.

 
Tajuk cerpen yang Amie hasilkan ialah Bunga Kampung Silungai. Cerpen ini termasuk dalam kategori Memori Kerjaya. Ia terhasil dari kenangan bersama Ros, sahabat baik Amie yang berasal dari Kampung Silungai. Pada tahun 2005, Ros mempelawa Amie berkunjung ke rumah keluarganya di sebuah perkampungan masyarakat Murut di daerah Pensiangan. Amie menaiki bas ekspress dari Lahad Datu hingga ke Ranau dan menyambung perjalanan menaiki van dari Ranau ke Keningau. Kami bermalam di Keningau, dan keesokan harinya kami bertolak ke Pensiangan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda. Perjalanan diteruskan dengan menaiki bot enjin sangkut menyusuri Sungai Logongon. Tak sabar rasanya hendak melihat suasana di rumah panjang! Sampai ke Kampung Silungai, Amie mabuk! Berpusing-pusing kepala akibat perjalanan jauh yang ditempuh.

Sepanjang perjalanan, Ros banyak berkongsi kisah hidupnya. Sewaktu melalui jalan balak di hutan belantara, Ros bercerita bagaimana dia bersama beberapa orang rakan dan gurunya berjalan kaki selama seminggu dari Kampung Silungai untuk daftar ke tingkatan satu di sebuah sekolah di Nabawan! Katanya, mereka membawa bekal ikan kering dan beras serta periuk. Apabila malam menjelma, mereka berhenti di sulap-sulap (pondok), mencari kayu api dan memasak. Keesokan harinya mereka menyambung perjalanan. Segala pengalaman yang dilaluinya ini berlaku sekitar awal tahun 1980-an.

Ros berkahwin dengan bekas gurunya. Namun Ros berusaha untuk belajar walaupun sudah mempunyai anak. Ros mengambil STPM, dan ketika anak-anaknya seramai tiga orang masih kecil, Ros tekadkan hati untuk menyambung pelajaran. 

Air mata Ros mengalir sewaktu bercerita dengan Amie:
Aku mahu ubah nasib keluarga dan anak-anak di kampungku. Aku mahu jadi contoh kepada mereka. Aku mahu mereka tahu ada kehidupan di sebalik hutan belantara yang mereka huni.

Aku hadiri temuduga untuk mendapatkan biasiswa, aku katakan kepada penemuduga: Kalau bukan saya yang akan menjadi contoh kepada anak-anak kampung saya, siapa lagi yang boleh diharapkan? Ros dapat biasiwa sambung belajar di Universiti Negeri Semarang di Jawa Tengah dan pulang membawa ijazah dalam bidang kaunseling.

Aku tak dapat lupakan sewaktu aku akan meninggalkan kampung, orang kampung berbaris bersalaman denganku. Kau tahu Mie, ada yang hulur seringgit, dua ringgit, sepuluh ringgit! Itulah antara perkongsian kenangan Ros sebelum belayar ke Jawa Tengah.

Cebisan kisah di atas memang agak mencabar kerana Amie sedaya upaya cuba berempati situasi yang pernah Ros alami. Apabila Ros terkenang kisah perpisahan dengan tiga orang anaknya selama empat tahun, memang kita pun ikut rasa terharu. Katanya, wangnya lebih banyak digunakan untuk menelefon anak-anak berbanding digunakan untuk beli makanan! 


Terima kasih Ros!
Banyak pengajaran yang Ros kongsikan sewaktu kita bersama di bawah satu bumbung SMKS 17 tahun lalu. Lama tak jumpa Ros. Moga ada izin-Nya untuk kita bertemu lagi.


Terima kasih sudi membaca!

11 ulasan:

  1. Tahniah Amie jadi pengkarya berbakat

    BalasPadam
  2. hebatnya kisah Puan Ros. Baguslah kak Amie ceritakan semula sebagai panduan untuk generasi muda. Seminggu berjalan demi nak daftar sekolah. Hebat!

    BalasPadam
  3. Sedih pula baca sedikit kisah ros, part yg berhabis duit utk cal anak² tu... tahniah kak amie... semoga terus bersemangat menulis

    BalasPadam
  4. Tahniah cikgu Amie...
    Rajin dan berbakat
    Saya sukanbaca antologi cerpen sebab cepat habis berbanding novel 🤭

    BalasPadam
  5. tahniah kak, makin banyak karya cerpen dan tulisan akak di bukukan

    BalasPadam
  6. Terharu baca pengorbanan Ros utk menggapai impian dan jadi contoh utk masyarakat kampung beliau.

    BalasPadam
  7. Sebak baca kisah Puan Ros, tak sangka kehidupan sebegitu getir dilaluinya untuk mencapai cita-cita, Kak Amie.

    BalasPadam
  8. pengorbanan tinggi Puan Ros & keluarga..cikgu Puan Ros pun gigih, semangat kental, sama2 bersusah-payah dgn anak2 murid...sambil baca sambil rujuk peta Sabah...perghh, jauh dari Lahat Datu ke Pensiangan..dah dkt sempadan..

    BalasPadam
  9. Pilu. Kesusahan Puan Ros untuk menuntut ilmu.

    BalasPadam
  10. Tahniah Kak Amie berjaya menghasilkan lebih banyak karya. Teruskan berkarya. Banyak kenangan dalam tulisan kak Amie. Kisah Ros yang boleh dijadikan contoh.

    BalasPadam