Pages

Isnin, 6 September 2021

Sambal Goreng Kulit Cempedak

Pernah dengar masakan yang diolah dari kulit cempedak? Maksudnya kulit cempedak dikupas, dan diambil bahagian isi kulit serta jeraminya. Biasanya bahagian ini akan dijeruk dan sebut mandai. Orang kampung kami walaupun kebanyakannya masyarakat Jawa, tetapi sebahagian lagi berketurunan Banjar. Dari segi bahasa pula, kalau orang Banjar jumpa orang Jawa, memang fasih betul bercakap Jawa. Yang Jawa pula tetaplah dengan bahasa Jawanya. Terlebih seronok dengar jiran tetangga Banjar bercakap Jawa. Sudahlah begitu, orang Banjar di kampung kami pakar pula buat nasi ambeng! Mereka jual di pasar malam. Haaa... inilah hasilnya hidup sekampung dengan pelbagai keturunan! Penduduk kampung kami walaupun keturunan Banjar pandai cakap bahasa Jawa, pandai makan nasi ambeng dan pandai sediakan nasi ambeng!

Oh! Kembali cerita tentang kulit cempedak. Kami yang keturunan Jawa tak jadikan kulit cempedak sebagai mandai. Kami tak buat jeruk mandai tetapi kami jadikannya sebagai sambal goreng. Pernah dengar Sambal Goreng Jawa?  Begitulah kira-kiranya resipi Sambal Goreng Kulit Cempedak! Adalah sedikit bahan-bahan masakan Jawa seperti tempe yang dicampur dalam Sambal Goreng Kulit Cempedak.

Orang kampung kata kulit cempedak yang sudah jadi sambal goreng rasanya macam dapat makan ayam! Kalau disebut ayam sudah tentulah sangat sedap. Bukan bermakna rasa kulit cempedak itu seperti rasa ayam tetapi diibaratkan keenakannya itu seolah-olah sedang makan ayam. Maklum sajalah, zaman dahulu nak makan ayam pun kena tunggu menjelangnya hari raya atau majlis kenduri-kendara di kampung! 

Nanti Amie kongsikan resipinya di bawah.

Hari ini, selain Sambal Goreng Kulit Cempedak Amie masak Ikan Bolu @ Susu Rebus Kuning. Untuk Firdaus pula Amie gorengkan ayam, dan tuangkan Sambal Tomato Versi Udang Kering. Amie gunakan juga sambal tomato sebagai perendah Peria Tumis dengan Udang. Amie tambahkan hirisan bawang besar dan garam.


Sambal Goreng Kulit Cempedak.



Hidangan tengahari Isnin:
  • Nasi Putih
  • Sambal Goreng Kulit Cempedak
  • Ikan Bolu @ Susu Rebus Kuning
  • Peria Tumis dengan Udang
  • Ayam Goreng Sambal Tomato Versi Udang Kering
  • Ulaman Lettuce
  • Buah Betik


Ikan Bolu @ Susu Rebus Kuning ini nampak berminyak. Sebenarnya minyak itu datangnya dari lelemak ikan di bawah perutnya. Kalau ikan ini dipanggang, memang sedap sungguhlah bahagian berlemaknya itu! 

Peria Tumis dengan Udang.


Ayam Goreng Sambal Tomato Versi Udang Kering.

Ulaman Lettuce


Buah Betik.


Amie goreng terlebih dahulu kulit cempedak, tempe dan ikan bilis. Kulit cempedak dan tempe digoreng sekajap sahaja. Itu  cara Amie sebab Amie nak kekalkan rasa cempedak. Tempe pula, kalau digoreng garing sudah tentu tidak ada rasa tempe. Bagi Amie, eloklah goreng sekadar masak sahaja. Ikan bilis pula, bolehlah dgoreng hingga garing.

Bahan-bahan:
  • 2 cawan kulit cempedak yang sudah dikupas / dibersihkan - potong ikut saiz yang disukai - gaul dengan sedikit garam - bilas - toskan
  • 1/2 cawan ikan bilis
  • 1 cawan hirisan tempe
  • 1 cawan hirisan kacang panjang
  • 10 tangkai cili padi  - hiris (boleh gunakan cili merah atau cili hijau)
  • 3 ulas bawang putih - hiris
  • 3 biji bawang merah - hiris
  • 1 labu bawang besar
  • minyak secukupnya
  • garam / gula / perasa pilihan
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak. Goreng kulit cempedak  seketika. Angkat dan toskan.
  2. Goreng tempe pula. Amie goreng sekejap sahaja. Agak-agak masak, boleh angkat dan toskan.
  3. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan.
  4. Tinggalkan 4 sudu besar minyak di dalam kuali.
  5. Tumis bawang putih dan bawang merah serta cili padi atau cili merah /hijau.
  6. Setelah bawang kekuningan, masukkan kacang panjang. Kacau beberapa kali dan kemudian masukkan kulit cempedak, tempe, ikan bilis dan bawang besar.
  7. Taburkan  garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
  8. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.
Amie makan tengahari bersama Firdaus sebab Encik Suami pulang lewat petang. Sewaktu Encik Suami makan di dapur, Amie sibuk bantu Firdaus siapkan latihan Pendidikan Jasmani. Apabila  Amie ke dapur, bekas berisi Sambal Goreng Kulit Cempedak habis licin! Sehingga sekarang, belum sempat tanya Encik Suami, sedap atau tidak Sambal Goreng Kulit Cempedak yang Amie masak. Selepas solat Maghrib Encik Suami tergesa-gesa keluar. Katanya ada majlis tahlil. 
Amie pun tak puas makan Sambal Goreng Kulit Cempedak tadi!
Nampak gayanya kenalah cari buah cempedak lagi.

39 ulasan:

  1. saya sudah lama kenal nama masakan mandai dari kulit cempedak untuk camilan. bukan untuk sambal. Kapan ya bisa nyicipnya. Selamat malam, ananda Ami.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, memang mandai sudah dikenali dari dulu lagi. Sambal kulit cempedak ini olahan keluarga kami.

      Padam
  2. Kali pertama dengar orang masak kulit cempedak. Rare betul resepi ni. Sedap tu kalau rasa macam ayam

    BalasPadam
    Balasan
    1. Rasa sambal kulit cempedak bukan macam ayam tetapi seakan-akan sedang makan ayam untuk menunjukkan keenakannya. Maklumlah orang dulu-dulu susah nak makan ayam, jadi bila dapat makanan yang rasanya sedap, kononnya macam makan ayamlah hehehee.

      Padam
    2. oh faham. ingatkan sebijik rasa ayam.

      Padam
  3. Wah!! Kak, semalam masak biji cempedak, hari ni kulit cempedak pula. Kalau masak style sambal jawa tu mesti sedap. saya suke sambal goreng jawa tu. Tapi inilah kali pertama dengan orang makan kulit cempedak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kulit cempedak ni sebenarnya dah lama orang makan Afeezz. Dalam masyarakat Banjar, kulit cempedak yang dijeruk dipanggil mandai memang sudah jadi salah satu hidangan tradisi. Cuma kami, yang berjiran dan bermasyarakat sekampung dengan orang Banjar, jadikannya sebagai sambal goreng untuk hidangan keluarga.

      Padam
    2. owhhh... tapi saya memang tak pernah dengar lah apa2 menu dr kulit cempedak ni. kalau nangka masak lemak tu ade lah

      Padam
  4. Uniknya . Ccl baru tahu kulit cempedak boleh dijadikan salah satu menu masakan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah.
      Ada manfaatnya perkongsian kali ini kan CCL.

      Padam
  5. Saya baru je tahu mandai ni dalm blog kak amie dan mamacella. Bunyinya macam sedap tu kalau sedap semacam rasa ayam. Macam sedap masak sambal jawa tu. Mahunya tak sedap, habis licin pinggan tu ha...Nampak betul sedapnya. Saya pulak tak ada rezeki lagi nak mencempak. Belum mencari. Hehe...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betullah dunia masakan ini sangat meriah, tiada sempadannya kan Fizah. Ia tetap sama macam rasa cempedak, cuma kesedapannya seolah-olah sedang makan ayam heheheee.

      Padam
    2. Setuju tu kak amie. Berguna juga kulit cempedak ni. Dari dibuang boleh juga dijadikan masakan. Cuma itulah, ikut tempat juga. Kalau tempat saya memang tak pernah ada orang buat mandai ni. Mungkin juga sebab bukan jawa kot.Teringin nak rasa tapi kena rasa mandai dari yang pakar buat dulu, kena rasa yang original dulu :)

      Padam
  6. tak pernah makan lagi... selalunya terus buang jer kulit cempedak tu.

    BalasPadam
  7. Macam-macam lauk ada.. Rambang mata nak makan yang mana 1.. Hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau ada masa memang saya layan selera keluarga. Maklumlah selera anak dengan selera emak bapa tak sama. Kalau tak ada masa, setakat goreng ikan, sayur dan dadar telur untuk Firdaus saja.

      Padam
  8. Macam2 menu rate yg ada dlm blog cikgu ..yg tak oernah terpikir pun ada

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah uniknya negara kita. Macam-macam kaum, macam-macam budayanya. Masakannya pun pelbagai.

      Padam
  9. Benda baru bagi saya. Betul gunakan bahagian-bahagian cempedak.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah keunikan dan keistimewaan budaya masyarakat di Malaysia yang kaya dengan pelbagai masakan.

      Padam
  10. wah saya orang jawa pun tak pernah rasa sambal goreng kulit cempedak. kalau dah rasa macam ayam mesti sedap.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kami ini sudah sebati dengan masyarakat Banjar. Sekampung dengan jiran Banjar. Satu kelas dengan kawan Banjar. Kalau orang Banjar pandai buat nasi ambeng, kami pun pandai buat sambal kulit cempedak hihihiiii. Rasa kulit cempedak bukan macam rasa ayam, cuma apabila makan terasa seolah-olah sedang makan ayam. Begitulah nak tunjukkan keenakan kulit cempedak tu.

      Padam
  11. Wah,menu baru bagi saya...
    Saya biasa makan mandai sahaja.Belum pernah try kulit cempedak fresh..Mesti harum swmasa memasak ni.Nampak menarik..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jeruk mandai boleh disimpan lama.
      Kulit cempedak fresh ini kena segera diolah. Memang ada beza rasa, dengan harumnya, dengan rasa manis semulajadinya.... wallaaaa Mama Cella mesti kena cuba ni.

      Padam
  12. resepi rare ni rugi xcuba goreng kulit cempedak aromaya semerbak menyelerakan

    BalasPadam
  13. Hari itu, ada orang tak dikenali sedekah tempe.. Bila tengok sambal goreng kulit cempedak Kak Amie, teringat pulak tempe orang bagi tu.

    Kak Amie, sy banjar 😆

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hahahaaaa.... sibuk cerita pasal orang Banjar, rupanya SK pun orang Banjar hehehee.

      Padam
  14. owh..baru tahu..biasa kulit timun je masak..menarik

    BalasPadam
    Balasan
    1. Macam-macam bahan boleh diolah jadi menu ada kan.

      Padam
  15. SA x pernah makan dan x tau apa rasanya tapi pernah terbaca kat banyak blog yang share pasal kulit cempedak ni..dijeruk dan boleh disimpan bertahun lamanya...menarik untuk di cuba...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, boleh dijeruk untuk dijadikan stok. Kami suka masak terus. Ada aromanya yang tersendiri.

      Padam
  16. famili jawa segamat belum pernah buat sambal goreng kulit cempedak ni

    BalasPadam
  17. menarik jg, masakan kulit cempedak..teringin nak rasa..

    BalasPadam
  18. Menariknya kulit cempedak dijadikan ramuan untuk sambal goreng!

    BalasPadam
  19. banyak kegunaan sambal tomato tu ya kak amie.

    xtau pulak kulit cempedak bleh dimasak jgk..

    BalasPadam