Pages

Isnin, 1 Mac 2021

1 Mac 2021 Telah Tiba!

Hari yang dinantikan akhirnya tiba jua! Hari pertama Firdaus dan murid-murid tahun 1 serta Tahun 2 kembali ke sekolah setelah sekian lama berkurung di dalam rumah. Bukan anak-anak sahaja yang teruja, ibu bapa lebih-lebih lagi.... ahaks! Amie beberapa kali beri peringatan supaya Firdaus semak lagi sekali segala kerja-kerja rumah yang diberi sepanjang PDPR berjalan. Pastikan semua tugasan telah dilaksanakan dengan sempurna.

Rupanya berlaku satu kesilapan sewaktu menyiapkan tugasan Pendidikan Seni pada hari Selasa 23 Februari 2021 lepas. Firdaus menghasilkan corak lipatan dan guntingan sama seperti yang terdapat di dalam buku teks seperti hasil di bawah ini.

Pagi tadi kebetulan Amie BDR, jadi sekali lagi bergotong-royong bantu Firdaus menyiapkan corak lipatan dan guntingan yang berbeza. 


Inilah hasilnya setelah pembetulan dilakukan. 
Kita pun tak kreatif untuk memikirkan corak apa yang sesuai.
Syukurlah Pak Google banyak membantu.

Seperti kebiasaannya, Firdaus akan bawa bekal nasi ke sekolah. Firdaus minta Amie buatkan ayam goreng crispy. Amie gunakan bahagian dada ayam. Orang kata bahagian dada tidak sedap, tetapi kalau sudah potong saiz kecil, salut tepung dan goreng rangup, memang tak terfikir itu adalah bahagian dada ayam. Memang Encik Suami sudah sedia belikan dada ayam khas untuk bekalan Firdaus. Firdaus suka makan salad, jadi dalam bekalannya berisi dada ayam goreng crispy dengan sos cili, dan juga hirisan mini lettuce.


Untuk bujang-bujang di rumah, Amie sempat panggangkan sayap ayam gunakan air fryer. Air fryer memang sangat membantu kalau kita kesuntukan masa untuk memasak di dapur! Amie panggang 8 ketul sayap untuk Abang Farid, Fuad dan Fairuz. Balik ke rumah, rupanya Abang Farid sudah habiskan 5 ketul! Memang raja ayam betul! Tinggalkan 3 ketul untuk Fuad dan Fairuz. Adik-adiknya tak marah pun sebab sudah faham sang abang memang hantu ayam.

Bekalan Firdaus: Nasi & ayam goreng crispy dan air kosong.


Amie dan Encik Suami memang sengaja mencari masa untuk hantar Firdaus ke sekolah hari ini. Sesampainya di pintu pagar sekolah, SOP perlu dipatuhi seperti pemeriksaan suhu badan, dan duduk di dewan sehingga tiba waktu masuk ke kelas. Kelihatan seorang anggota polis turut serta menyambut kedatangan murid dan menyerahkan sesuatu kepada setiap murid yang masuk ke kawasan sekolah.
Selepas menghantar Firdaus, kami mula bergerak menuju ke sekolah Fairuz pula untuk mengambilnya tetapi Fairuz telah menghantar mesej memberitahu akan pulang lewat, memandangkan pada hari ini pelajar tingkatan 6 Atas ada sesi fotografi (konvo).
Encik Suami ajak makan tengahari di The Real Cafe. Kemudian bawa Amiie singgah di pasaraya untuk beli barang dapur. Akhir sekali ambil Fairuz di sekolahnya.

Sepanjang perjalanan kami ke sana dan ke sini, Amie tidak lepaskan peluang untuk meneruskan bacaan ketika berada di dalam kereta. Amie telah selesai membaca travelog Ustazah Basikal Siri 1 dan sekarang Amie baca Ustazah Basikal Siri 2 pula. Kalau siri pertama  setebal 708 muka surat Amie boleh habiskan baca selama 2 hari, Sabtu dan Ahad, Amie tidak pasti berapa lama boleh tamatkan bacaan siri 2 yang setebal 1018 muka surat ini! Harap-harap sebelum tiba hari Amie menjunjung titah perintah Seri Paduka Baginda tidak lama lagi, dapatlah khatam membacanya.

Sampai rumah, azan Asar mula berkumandang. Selepas solat Asar, sempat sambung baca Ustazah Basikal 2, tetapi tiba-tiba terlelap! Apabila terjaga, hari sudah hampir senja dan kelam-kabut masuk dapur masak lauk. Tak lama lagi Firdaus sampai, tentu sangat lapar! 

Sebaik sahaja pintu pagar dibuka, ayam masak kicap sudah terhidang. 


Firdaus sudah pulang dari sekolah. Amie suruh Firdaus mandi sementara Amie siapkan hidangan nasi untuknya. Setelah mandi dan menukar pakaian, Firdaus duduk di meja makan. Amie suapkan nasi. Ketika disuap, Firdaus tidak henti-henti bercerita. Katanya dia rasa seronok sangat di sekolah. Dapat jumpa cikgu, dapat jumpa kawan. Dan katanya lagi, dia dilantik sebagai ketua kelas sementara/ Tahun lepas, Firdaus menjadi ketua kelas. Katanya, tahun ini ramai kawan-kawannya mahu jadi ketua kelas. Guru kelasnya kata, kita lantik Firdaus jadi ketua kelas sementara dulu. Nanti akan diputuskan siapakah ketua kelas yang sebenar.
"Mommy, cikgu bilang tulisan Daus sangat kemas."
"Ooo ya? Baguslah."
"Mommy, cikgu bagi 5 bintang kerja Bahasa Melayu Daus."
"Wah! Daus seronok tak dapat 5 bintang?"
"Iya.  Ustaz bagi A+ kerja Bahasa Arab Daus."
Dan macam-macamlah lagi celotehnya.


Antara tugasan sepanjang PDPR yang disemak oleh gurunya.



Guru Bahasa Arabnya pesan, kalau mahu markah cemerlang kenalah siapkan kerja yang diberi elok-elok. Firdaus gunakan pewarna untuk menyiapkan hasil kerjanya. Minggu lepas Firdaus menangis sebab tugasan PDPR Bahasa Arabnya salah dua jawapan. Amie tandakan X dan suruh Firdaus tulis pembetulan. Apabila guru Bahasa Arabnya semak,  jawapan pembetulan Firdaus ditandakan betul
"Kenapa Ustaz bagi tanda betul Mommy?"
"Sebab Daus buat pembetulan."
"Ooooo.... Ustaz bagi Daus hadiah penutup mulut sebab Daus dapat  A+"
"Wah... bagusnya! Ustaz sangat hargai kerja Daus tu!"



Hadiah penutup mulut dari guru Bahasa Arab Firdaus.


Inilah antara alat tulis yang diberikan oleh anggota polis di pintu masuk sekolahnya tengahari tadi. ada buku nota, pembaris, pensil, pemadam dan peraut.


Tahniah dan terima kasih guru-guru sekolah yang sangat prihatin terhadap aemua anak didik. Moga usaha gigih kalian dapat dituai dengan seribu kejayaan di kemudian hari.
Sekian.
Coretan 1 Mac 2021.

16 ulasan:

  1. Alhamdulillah.. seronok dia ke sekolah ye.. Teruja..

    BalasPadam
  2. Happy back to school.... Wah, banyak Daus dapat cenderahati... Antara cabaran & rezeki anak-anak zaman ini. Semoga jadi anak yang soleh cemerlang dunia & akhirat

    BalasPadam
  3. Memang kemas sungguh tulisan Firdaus tu Amie, cantik!

    Tu diaa penangan buku UB, memang rasa takmo stop..haha

    BalasPadam
  4. Masing-masing seronok dapat pergi sekolah hari ni. Seronok Firdaus dapat jadi ketua kelas. Dapat hadiah dari cikgu :)

    Sedap ayam tu, haruslah raja ayam makan lebih :)

    BalasPadam
  5. tahniah firdaus komited belajar moga berjaya seterusnya

    BalasPadam
  6. seronok hari sekolah daus yek, pergi kemas balik pun masih kemas lagi... bersemangat betul

    yelah kak, bahagian dada ayam bila dah di goreng dengan tepung memang laju je habis...

    memang cantik tulisan Firdaus, Aiyan yang dah darjah 4 pun tulisannya aduhai... besar kecil puas di tegur, ajak buat latihan tapi sama jugak...

    seronok murid-murid bila cikgu bagi penghargaan... lagi semangat

    BalasPadam
  7. comelnya si daus ni...
    bagus nya dia rapi n kemas tulisan homework...
    darjah berapa firdaus ni, amie?

    BalasPadam
  8. nasib sempat perasan tugasan salah..cik google memang banyak membantu..
    sempat juga kak amie membaca ye dalam kesibukan..
    menu kak sedap sgttt terliur tgk ha

    BalasPadam
  9. Gambar ayam masak kicap tu menggoda sangat :)

    BalasPadam
  10. Semuga firdaus menjadi anak yang cemerlang di sekolah. aamiin. Seronok membaca kelitahnya

    BalasPadam
  11. Alhamdulillah, good job firdaus :)

    BalasPadam
  12. Sama dgn si Kakak, seronok dapat ke sekolah semalam :)

    Tahniah Daus! Ada Gaya jadi ketua kelas tu 👍

    BalasPadam
  13. Alhamdulillah. Semoga sesi persekolahan tahun ni berjalan lancar. Seronok tengok Firdaus hepi. Esok nak bawak bekal apa plak?

    BalasPadam
  14. Wah, seronok Firdaus, dah kembali ke sekolah. Rajin maknya, sediakan bekal. :)

    BalasPadam
  15. waduuhhh firdaus... smpi menangis ya... ni mesti bersemangat nak full marks ya... tak apa... kesalahan tu biasa... lama2 nanti mesti boleh dpt chaiyok2

    p/s welcome back to school ;-)

    BalasPadam
  16. seronok Firdaus kembali ke sekolah.. harap bersemangat nk belajar tu ada. cantik dan kemas lukisan.

    BalasPadam