Pages

Jumaat, 22 Januari 2021

Sedapnya Pisang Emas Muda Masak Lemak Cili Padi!

Jumpa lagi dalam entri main masak-masak. Petang tadi Amie seisi keluarga makan nasi lauk Pisang Muda Masak Lemak Cili Padi. Fairuz asyik menyudu kuah lemak ke dalam pinggan nasinya. Disuruhnya Firdaus ambil kuah lemak. Sedap dik, katanya.

Masak lemak pisang muda bukanlah masakan yang asing bagi anak kampung seperti Amie. Ibu-ibu kita memang kreatif dan pakar memasak di dapur. Tak perlu beli sayur-sayuran di pasar, cukup hanya mengutip tanaman sayuran di sekeliling rumah atau kebun. Pendek kata segala tanam-tanaman boleh diolah menjadi sarapan pagi, lauk makan tengahari dan minum petang. Kalau tanam keledek, ubinya boleh direbus, digoreng, dibuat kuih keria atau dijadikan inti karipap. Pucuk keledek boleh ditumis dengan belacan atau masak lemak. Paling sedap sudh tentulah keledek masak lemak campur pegaga atau sayur pucuk manis! Kemudian dihidang pula bersama ikan masin dan sambal belacan!

Lupakan cerita keledek, kita teruskan cerita pisang emas muda pula. Kali ini Amie masak pisang emas sekali dengan kulitnya. Maksudnya kulit pisang yang sudah disiat. Amie masak lemak cili padi bubuh ikan bilis. Kuah lemaknya bagi pekat supaya lebih sedap.

Pisang Emas Muda Masak Lemak Cili Padi

Selain Pisang Emas Muda Masak Lemak Cili Padi, hidangan tengahari merangkap makan malam ini  kami turut dilengkapi dengan ikan lumahan @ ikan kembung goreng. Turut memeriahkan hidangan sudah tentulah dengan adanya sambal tempoyak ulam hirisan mentimun, tomato dan pucuk dill. Raja ayam tak mahu makan ikan lumahan, jadi Amie panggangkan ayam dalam kuali ajaib.

Ikan lumahan @ kembung goreng.

Sambal tempoyak dengan ulam timun, tomato & pucuk dill.

Ayam panggang kuali ajaib.

Hirisan limau sunkist & nanas.

Di sini Amie kongsikan resipi Pisang Emas Muda Masak Lemak Cili Padi. Rasa pisang yang sedikit keasam-asaman ini memang sedap sangat sewaktu diratah! Jangan lupa bubuh sedikit belacan dan ikan bilis sebagai perencah. Untuk aroma yang lebih segar gunakan kunyit hidup. Amie gunakan cili padi kampung warna hijau. Rasa kuah lemak ini sedapnya ya ampuuun!


Bahan-bahan:
10 biji pisang emas muda
2 batang serai
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
1 keping asam gelugor
2 helai daun kunyit - siat
1/3 cawan ikan bilis 
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar / tumbuk:
20 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu kecil belacan
2 cm kunyit hidup

Cara memasak:
1. Siat kulit pisang emas muda dan potong serong - rendam dalam air bersama kulitnya sekali.
2. Dalam periuk, masukkan santan cair, asam gelugor, serai dan bahan kisar / tumbuk serta ikan bilis.
3. Toskan pisang emas muda dan kulitnya tadi dan masukkan ke dalam periuk.
4. Masak sehingga pisang mulai empuk.
5. Tambahkan santan pekat, daun kunyit, garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
6. Kecilkan api, dan apabila kuah mula mendidih, padamkan api dapur

12 ulasan:

  1. Akak pulak terasa2 kesegaran teh Amie tu,seronok minum dalam suasana sejuk tu.
    Sedap masak lemak pisang ,selera mak2 kan .Kalau anak2 belum tentu nak merasa.

    BalasPadam
  2. Sedap tu pisang muda masak lemak cili api. Mak saya rajin juga buat kalau ada pisang muda. tapi saya tak tahu pisang apa. Mungkin pisang emas juga kot macam kak amie gunakan ni.
    Anak anak suka makan baguslah. tak ramai yang suka masakan orang dulu dulu :)

    BalasPadam
  3. Semua lauk menarik selera ni.. Ish, lepas makan, cium tangan... Mesti bau masih melekat.. Nikmatnya

    BalasPadam
  4. @saniahibrahim Anak-anak cuma ambil kuah lemak pisang tu saja, pisangnya kita yang meratah hahahaha.

    BalasPadam
  5. @Azhafizah MN Anak-anak setakat ambil kuah saja heheheh.

    BalasPadam
  6. @namakucella Alhamdulillah. Sibuk macamana sekali pun, sempat juga masak-masak.

    BalasPadam
  7. abah saya selalu masak gulai pisang muda ni...

    BalasPadam
  8. Sedapnya kak amie, lama x makan masak lemak pisang muda, dapat kawankan dengan ikan masin gelama garing tu..memang x segan menambah nasi 2-3 kali la..

    BalasPadam
  9. wak selalunya gunakan pisang kapas muda.
    Kulit dia yang sedap.

    BalasPadam
  10. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  11. sambal tempoyakkkk..tak pernah cuma lagi

    BalasPadam