Pages

Sabtu, 30 Januari 2021

Kudapan Petang : Kacang Kuda Tumis Pedas Manis & Linseed Saline Biscuits

Jom minum petang. Hujan baru sahaja berhenti. Duduk di dapur macam duduk dalam gua pula sebab apabila hujan, suasana jadi gelap. Sambil kunyah kacang kuda, kami sembang-sembang tentang banyak cerita. Cerita wajib sudah tentulah Covid-19. Kemudian cerita tentang hujan pula. Firdaus pula entah berapa keping kunyah Linseed Saline Biscuits. Dideranya Abang Farid buatkan jus limau untuknya. 

Amie kenal kacang kuda sejak kecil lagi. Selalu beli waktu di rehat di kantin sekolah rendah. Banyak versi masakan kacang kuda pernah Amie rasa. Ada yang pedas. Ada rasa kari. Ada rasa garam. Ada yang direbus begitu sahaja, bubuh bijisawi dan hirisan cili hijau. Ada yang ditumis dan rasa pedas berempah. Semua Amie makan. Yang penting kacang kuda itu empuk. Terakhir Amie makan kacang kuda ketika Amie balik Malaya dan jalan-jalan ke Pasar Malam Kuala Selangor. Beli kacang kuda di situ, dan makan dalam kereta. Pedas sungguh! Tak tahu cili apa yang digunakan.
 
Linseed Saline Biscuits.

Amie kongsikan resipi Kacang Kuda Tumis Pedas di sini. Lain dapur lain hidangan kacang kudanya. Lain tangan lain bentuk hasilnya. Selera masing-masing tak sama. Kacang kuda ini ikut selera Amie dan keluarga. Amie rendam kacang kuda dari pagi. Lebih kurang 8 jam begitulah. Kalau nak masak sebelah pagi, rendamlah waktu malam sebelum tidur. Kalau nak masak sebelah petang, rendam pula sebelah paginya. Amie tambahkan sedikit serbuk kari untuk dapatkan aromanya dan gunakan serbuk cili untuk rasa pedas. Tapi Amie masukkan juga hirisan cili kering.

Bahan-bahan:
  • 200 gram kacang kuda - rendam hingga kembang (8 jam) - rebus dengan secubit garam hingga empuk - toskan
  • 2 tangkai cili kering - hiris tipis
  • 2 ulas bawang putih - tumbuk
  • 3 biji bawang merah - tumbuk
  • 1 sudu kecil biji sawi
  • 1 sudu kecil serbuk kari
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1 tangkai daun kari - lurutkan daunnya
  • 1 sudu besar gula Melaka
  • 1/2 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
  • 3 sudu besar minyak
  • garam / perasa pilihan secukupnya
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak. Masukkan bawang putih, bawang merah, biji sawi dan daun kari. Tumis sehingga terbit aroma. 
  2. Kemudian masukkan serbuk kari dan serbuk cili. Gunakan api sederhana.
  3. Tuangkan air bancuhan pati asam jawa. Biarkan mendidih.
  4. Seterusnya masukkan gula Melaka dan garam / perasa pilihan secukupnya.
  5. Akhir sekali masukkan kacang kuda.
  6. Gaul rata dan padamkan api dapur.

6 ulasan:

  1. X pnh mkn kacang kuda tumis mcm ni.. selalu mkn yg rebus je.. wajib beli kalau pegi pasar mlm atau skrg nama glamernya uptown.. hehehe

    BalasPadam
  2. Rindu nak makan kacang kuda. Dulu masa zaman sekolah bila ada sukan, mesti beli kacang kuda rebus. Pasar malam pun dah jarang jumpa orang jual kacang kuda. So far rasanya tak pernah lagi makan kacang kuda tumis pedas manis ni. Macam sedap je buat kudapan.

    Cantik pulak tengok Linseed Saline Biscuits tu. Favourite Firdaus ke tu.

    BalasPadam
  3. Kacang kuda. Tapi kenapa in english dia panggil chickpeas kan.. Tak pula dipanggil horsepeas.. Hihihi. Saya suka kacang kuda tapi tak pernah lagi masak tumis ni. Nampak sedap.
    Saya pernah masak kari.. Pun sedap

    BalasPadam
  4. Lain cara masakan kacang kuda Amie ni. Nampak sedap, sebab ada rasa kari dan pedas sikit ye. Saya pun layan juga kacang kuda. Biasa cuma beli yang rebus saja. :)

    BalasPadam
  5. Nak buatnya sikit renyah tp makannya sekejap ja licin..

    BalasPadam
  6. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam