Jumpa lagi di pagi hari Sabu yang nyaman.
Sesekali terdengar bunyi kokok ayam kampung peliharaan jiran di hadapan rumah.
Kemudian diganggu dengan bunyi deruman enjin kenderaan dari jalan besar di seberang sanun.
Alhamdulillah, masih menikmati anugerah Allah, pendengaran yang masih tajam dan peka terhadap bunyi-bunyian alam sekeliling.
Syukur selalu atas segala kurniaan-Nya.
Masak apa hari ini?
Bila berkumpul bersama anak-anak, masak apa pun semuanya licin!
Jom kita ke dapur.
Jemput sarapan pagi dengan Nasi Goreng Ikan dalam Tin (Mackerel).
Untuk masakan biasa, Amie suka gunakan ikan sardin dalam tin sebab rasanya lebih lembut, tetapi untuk olahan nasi goreng Amie pilih ikan mackerel yang lebih keras dan tidak mudah hancur seperti ikan sardin. Cukuplah gunakan tin saiz kecil sahaja.
Terlebih dahulu, pisahkan isi ikan mackerel dengan sos tomato. Amie tidak buang sos tomato sebab nanti nak tumis sekali dengan perencah. Jika sika, boleh perahkan sedikit jus limau kasturi atau jus limau nipis untuk hilangkan 'aroma' sos yang mungkin tidak disukai oleh sesetangah orang. Isi ikan tin tadi kita lenyek sedikit, tapi jangan sampai hancur terus. Biar kasar-kasar saja.
Kemudian gaulkan isi ikan mackerel tadi bersama nasi sejuk.
Beginilah lebih kurang rupanya nasi sejuk yang sudah digaul dengan isi ikan mackerel sebelum digoreng. Jom kita lihat resepi penuh di bawah ini.
Bahan-bahan:
4 cawan nasi putih sejuk
1 tin ikan mackerel saiz kecil - pisahkan isi dan sos - lenyek isi ikan kasar-kasar
5 batang kacang panjang - hiris kecil
1 labu bawang besar - cincang
3 ulas bawang putih - cincang
10 biji cili padi - cincang (jika ingin lebih pedas, boleh tambah)
2 biji cili merah - hiris
3 sudu besar mentega
garam / perasa pilihan secukupnya
Cara memasak:
1. Gaul nasi sejuk bersama isi ikan mackerel.
2. Panaskan mentega hingga cair.
3. Goreng bawang besar dan bawang putih hingga layu kekuningan.
4. Masukkan hirisan cili padi dan cili merah. Kacau rata.
5. Seterusnya masukkan sos tomato ikan mackerel. Kacau lagi beberapa kali hingga sebati dan kuah agak kering.
6. Kemudian masukkan nasi putih yang sudah digaul bersama isi ikan mackerel. Gaul rata.
7. Masukkan pula hirisan kacang panjang, diikuti dengan garam / perasa pilihan.
8. Gaul lagi beberapa kali sehingga kacang panjang berubah warna.
9. Padamkan api dapur.
Jemput sarapan pagi!
Anak-anak remaja yang baru mula belajar masak, bolehlah tonston video di bawah ini untuk melihat cara-cara membuat nasi goreng ikan tin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan