Pages

Sabtu, 20 Jun 2020

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas

Selamat tengahari.
Apa lauk hidangan makan tengahari ini?
Amie dah siap masak ikan patin.
Panjang nama resepinya : Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas.
Kalau di Malaya, terkenal dengan ikan patin Sungai Pahang, kami di Negeri di Bawah Bayu terkenal dengan ikan patin dari Sungai Kinabatangan pula.

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
Walaupun dah siap masak tapi kami belum makan tengahari. Tunggu Encik Suami pulang dari tempat kerja sebentar lagi. Sementara itu, celoteh sedikit tentang ikan patin .... ahaks!

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
Kelmarin pagi, Amie bersama Encik Suami makan angin dari LD ke Kampung Paris. Kononnya hendak singgah di pasar hari Jumaat di Kampung Paris. Kami suka ke situ sebab banyak hasil kampung yang dijual termasuk ikan sungai dan juga udang galah serta sayur-sayur kampung. 
Ketika memandu menyeberang jambatan Sungai Segama, (sungai kedua terpanjang di Sabah) Encik Suami bercerita tentang keenakan ikan sungai air tangan arwah ibunya. Amie memang sempat belajar masak ikan sungai ketika hayat MIL masih ada. MIL ajar Amie bagaimana untuk buang hanyir ikan sungai, dengan cara menarik urat berwarna putih yang terdapat pada kedua-dua belah badan ikan. Biasanya MIL akan belah ikan patin sebab saiznya besar, dan nampaklah urat putihnya di situ. Kalau ikan patin saiz agak kecil, setelah badan ikan dipotong, boleh tarik saja urat putih tadi dari badan ikan.
Kata Encik Suami lagi, paling disukainya masakan asam pedas ikan baung MIL. Walaupun ikannya sedikit, tapi kuahnya sangat sedap! MIL selalu dapat bekalan ikan daripada adik iparnya, Pak Itam (adik FIL) yang suka memancing di Sungai Segama. Memang seronok sangat kalau Pak Itam bahagi-bahagikan ikan kepada jiran tetangga. Selain ikan patin, ada ikan tapah, ikap salap dan ikan krokok (baung).
kembali semula cerita ke Kampung Paris.
Sayangnya, setelah memandu lebih kurang 45 minit dari LD, tiada pula orang yang berniaga di situ! Pasar masih ditutup dimusim PKP ini. Alang-alang sudah sampai ke Kampung Paris, kami teruskan perjalanan ke Kinabatangan dengan harapan ada hasil sungai atau daging rusa yang djual di situ.
Alhamdulillah. 
Ada juga rezeki kami setibanya di Sungai Kinabatangan. Sungai Kinabatangan ini merupaan sungai kedua terpanjang di Malaysia selepas Sungai Rajang. Walaupun tidak ada udang galah dan daging rusa, kami bawa pulang ikan patin, ikan baung, ikan ubi dan limpa serta peparu rusa.
Sempat sembang-sembang dengan penjual ikan sungai dan nelayan yang menangkap ikan serta udang galah di Sungai Kinabatangan yang kebetulan ada di tempat penjual ikan. Ketika kami sampai, memang tak banyaklah hasil sungai yang dijual kerana sudah dibeli pelanggan lain. Kata nelayan tadi, baru saja pasang bubu untuk tangka udang galah, dan tunggu tiga hari untuk melihatnya kembali.
Di sinilah kami mengenali jenis-jenis ikan patin. Penjual ikan patin kata, ada 3 jenis ikan patin Sungai Kinabatangan mengikut gred. Ada patin nombor 1, 2 dan 3. 
Patin nombor 1 namanya Patin Mentimus. Mulutnya panjang.
Patin nombor 2 namanya Patin Mengkapal. Mulutnya bulat dan kulitnya berurat-urat.
Patin nombor 3 pula namanya Patin Luwot. Kulitnya halus licin.
Rezeki kami, dapatlah seekor Patin Mentimus, 4 ekor Patin Mengkapal dan 3 ekor Patin Luwot.
Mentimus.
Mengkapal.
Luwot.
Amie tak dapat nak terangkan dalam bahasa Melayu, sebab ini nama ikan patin mengikut bahasa suku kaum Sungai di daerah Kinabatangan.

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
Oleh kerana kesemua ikan patin yang dibeli kelmarin iu dicampurkan dalam sebuah bekas, jadi sewaktu memilihnya pada hari ini, Amie sudah terlupa mana satu jenisnya.... ahaks!!!!
Rasanya semua sama saja. Padahal kelmarin, seolah-olah faham mana satu patin mentimus, patin mengkapal dan patin luwot!
Amie ambil dua ekor, seberat 1 kg untuk dimasak sebagai lauk tengahari ini. Fuad memang suka sangat makan nasi lauk ikan patin. Agaknya keletihan menjawab peperiksaan secara online kelmarin dan malam tadi, belum lagi nampak kelibat Fuad ke dapur!

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
Antara bahan yang Amie gunakan dalam masakan tempoyak cili padi ikan patin termasuklah daun kesum dan nanas.

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
Amie gunakan 500 gram nanas separuh masak. Ada rasa manis dan ada rasa masam. Yang agak manis seperti dalam gambar di atas, Amie masak bersama kuah tempoyak. Separuh lagi yang agak masam Amie kisar bersama bahan perencah seperti gambar di bawah.
Oleh kerana sudah ada nanas, Amie tak tambah asam keping. Cukup dah rasa masam manisnya. Tempoyak pun memang ada rasa masam juga.

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
Jom kita lihat resepinya di bawah ini. Kali ini Amie tidak gunakan bawang merah dan bawang putih.
Bahan-bahan:
1 kg ikan patin - bersihkan - kerat ikut saiz yang digemari (buang urat putih di kedua-dua belah badan ikan
250 gram nanas - hiris ikut ketebalan / tipis yang disukai
7 tangkai daun kesum
4 cawan air
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
30 biji cili padi hijau - boleh kurangkan jika tak suka pedas
4 sudu besar tempoyak
2 cm kunyit hidup
250 gram nanas
3/4 cawan air

Cara memasak:
1. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk. 
2. Tambahkan air dan kacau beberapa kali.
3. Jerang di atas api dapur. Gunakan api sederhana.

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
4. Masukkan hirisan nanas.
5. Masak sehingga nanas layu. Ketika ini kuah sudah mendidih.

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
Nanas layu membawa maksud nanas yang semakin kecut ketika dimasak kerana air nanas yang manis masam itu sudah keluar. Waktu ini kuah sudah ada rasa sama ada rasanya masam atau sebaliknya. Kalau kurang masam bolehlah tambah asam keping. Bagi Amie, cukuplah rasa masam nanas ini.

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
 6. Kemudian masukkan ikan patin bersama daun kesum.

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
 Nak masukkan daun kesum lebih awal sebelum ikan patin pun boleh.

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
7. Masak selama 3 atau 4 minit sahaja sebab ikan patin sungai ini sangat lembut.
8. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
9. Kacau dua tiga kali dan padamkan api dapur.

Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas
Ikan Patin Sungai Kinabatangan Masak Tempoyak Cili Padi dengan Nanas dah siap!

2 ulasan:

  1. musim durian tiba lagi, kami pun dah 2 kali makan ikan patin tempoyak kuah pekat sangat dengan tempoyaknya. emm sedap

    BalasPadam
  2. klau ikan patin liar sungai, memanglah sedap.

    BalasPadam