Hari ini Amie paparkan hasil eksperimen membuat sambal nasi lemak. Ee...eeehhh! Ada eksperimen pulak ye.... ahaks! Kalau sudah berminat, suka kepada sesuatu sudah tentulah kita berusaha untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Tak kenal maka tak cinta. Betulkah?
Di mana-mana kita boleh jumpa dari lemak. Dari dapur sendiri, warung makan, restoran , rumah terbuka sehinggalah ke hotel berbintang-bintang! Dari dulu sehingga ke hari ini, dan mudah-mudahan nasi lemak akan terus kekal sebagai salah satu hidangan tradisi milik masyarakat dan negara kita. Nasi lemak pernah jadi isu, jadi kontroversi penyebab obesiti. Itu terpulang pendapat masing-masing. Kalau dah makan nasi lemak lepas tu duduk sepanjang hari menghadap televisyen atau komputer atau pun tidur saja, memanglah jumlah kalori yang diambil akan menyumbang kepada tenaga yang tak digunakan, bertukar jadi lemak dan seterusnya menambah gula dalam badan.
Dulu, nasi lemak dijadikan alas perut orang kampung, dan bekalan pergi bekerja. Setelah kenyang makan nasi lemak, orang kampung gunakan tenaga, membanting tulang empat kerat dengan bekerja di sawah, menyangkul di kebun, menoreh getah atau turun ke sungai menjala ikan. Bayangkan, tumpah keringat, berpenat lelah dan kepanasan di bawah terik cahaya matahari! Bandingkan dengan cara hidup pada hari ini, selepas makan nasi lemak, duduk buat kerja di bilik berhawa dingin! Kurang pergerakan pula... hiks!
Jangan marah nasi lemak tau!
Ada dua rasa sambal nasi lemak yang sering membuatkan Amie teringat-ingat untuk ulang menikmatinya. Salah satunya sudah tentulah Nasi Lemak Pak Nassier, yang menjadi pilihan banyak penumpang Air Asia.
Google
Sambal Nasi Lemak Pak Nassier ini kelihatan cantik dan menarik dengan warna merah hati. Sambal ini kosong saja, dan sesuailah dengan lauk hidangan nasi lemak kerana ada lauk lain sebagai pelengkap iaitu telur rebus, kacang tanah goreng, ikan bilis goreng dan rendang ayam. Walaupun sambal kosong tapi bukan kosong sebarangan! Sambal kosong ini penuh rahsia!
Terakhir kali pada tahun ini, Amie menikmatinya pada bulan Januari sewaktu bercuti ke Danang, Vietnam. Pergi dan balik naik Air Asia, dan pihak agensi pelancongan memesan menu yang sama iaitu Nasi Lemak Pak Nassier.
Sebelum naik Air Asia, kami sarapan dahulu di KLIA2, menu nasi lemak juga. Oleh kerana perut masih kenyang, jadi Amie pun tak larat nak makan habis Nasi Lemak Pak Nassier, tapi tak mahu lepaskan peluang menjamah sambalnya. Pada masa itu Amie menyedari, betapa jauh bezanya sambal Nasi Lemak Pak Nassier dengan sambal nasi lemak yang kami makan sebelum terbang. Sambal nasi lemak sarapan kami, rasa cili boh. Sambal Nasi Lemak Pak Nassier pula cukup rasa masam masin yang sedikit, manis, tidak pedas dan cukup sempurna. Manisnya adalah rasa manis bawang! Ya! Sambal kosong itu sebenarnya banyak mengandungi bawang! Bawang merah atau bawang besar? Masih menjadi tanda tanya. Itu rahsia perniagaan pembekal. Ada beza rasa antara bawang yang dimasak dengan cara hiris dan juga kisar.... hiks!
MAS, dari dahulu hingga sekarang, sudah 28 tahun memang menjadi pelanggan tetap setiap tahun untuk balik kampung. Jika ditanya menu pilihan, sudah tentulah nasi lemak! Dan sekali lagi, sudah tentunya sedap nasi lemak kerana sambalnya! Oleh kerana nasi lemak sudah menjadi menu antarabangsa, memang perlu diambil kira selera semua penumpang. Tidak semua penumpang yang ingin mencuba menu nasi lemak boleh makan sambal yang pedas. Itu sebabnya, kualiti sambal nasi lemak sangat dijaga. Kalau ada rasa pedas pun, rasa yang pedas-pedas manja saja.
Itu cerita nasi emak antarabangsa. Nasi lemak yang merupakan sarapan tradisi orang kampung sudah diangkat ke awan biru, merentas lautan dan terkenal seantero dunia.
Mari kita cerita sambal nasi lemak di dapur sendiri. Amie terbaca perkongsian menarik RESIPI SAMBAL NASI LEMAK YANG TAHAN 4-5 HARI TANPA RISAU . BLOG DARI DAPUR ini memberikan tips bagaimana untuk menghasilkan sambal nasi lemak yang cantik dan tahan lama yang patut dipraktikkan oleh peniaga. Terima kasih tuan punya resipi yang sangat baik hati berkongsi petua ini.
Antaranya:
- Kena masak lama - untuk 5-10 orang makan, masak dengan api kecil antara 1 1/2 - 2 jam.
- Untuk kuantiti 80-150 orang, perlu masak sambal dengan api kecil antara 4-6 jam.
- Sebaiknya gunakan gula kerek (nisey). Warna sambal menjadi merah berkilat dan cantik.
- Boleh masukkan serai, halia atau daun pandan. Ini hanyalah pilihan sahaja.
- Bawang putih dan bawang merah yang dikisar hendaklah menggunakan air yang sedikit sahaja.
- Cili kering hendaklah direbus terlebih dahulu, dicuci bersih dan toskan airnya hingga kering. Kemudian kisar dengan menambahkan minyak dan bukannya air. Minyak ye, bukan air! Minyak yang digunakan tidaklah terlalu banyak, sekadar boleh menggerakkan mesin pengisar agar cili kering menjadi lumat.
- Jangan kedekut gunakan minyak. Pastikan ada lebihan minyak di tepi sambal menunjukkan sambal telah cukup masak dan rasanya memang power! Lebihan minyak tadi boleh dikeluarkan dan simpan untuk digunakan semula.
Sekarang kita masak sambal untuk nasi lemak ikut kreativiti dan bahan pilihan sendiri sambil menggabungjalinkan ilmu yang baru dipelajari. Sambal nasi lemak yang Amie buat ini tidak begitu pedas dengan penggunaan cili kering Wonder Hot.
Bahan-bahan:
20 biji cili kering wonder hot - rebus - toskan - buang biji - bilas - toskan hingga kering - kisar hingga halus dengan menggunakan minyak
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 2 sudu besar air
3 sudu besar gula kabung
1 sudu besar serbuk belacan
3/4 cawan minyak
garam / perasa pilihan
Bahan kisar:
3 labu bawang besar
15 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
Cili kering jenis Wonder Hot. Saiznya lebih besar berbanding cili kering lain. Lebih licin, agak liat dan kurang pedas.
Penggunaan bawang yang banyak akan menghasilkan rasa manis semulajadi sambal.
Cili kering Wonder Hot yang sudah dikisar dengan minyak.
Ini gula kerek atau gula nisey. Nisey kerek bermaksud manisan bulat. Nisey : Manisan. Kerek : Bentuk bulat. Amie habis bekalan gula kerek, jadi Amie gunakan gula kabung. Selalunya Amie gunakan gula melaka. Untuk mencuba resipi terbaru ini, Amie tiada pilihan lain selain gula kabung. Gula kerek @ nisey dan gula kabung diperbuat daripada bahan yang sama iaitu nira kelapa.
Inilah gula kabung yang masih ada dalam simpanan.
Jom kita masak. Bawang kisar mesti ditumis hingga pecah minyak dan betul-betul masak untuk menerbitkan rasa manis.
Cara memasak:
- Panaskan minyak. Gunakan api sederhana. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak untuk menimbulkan rasa manis bawang.
- Masukkan serbuk belacan dan kacau rata. Masak seketika.
- Kemudian masukkan cili kering kisar. Teruskan masak dengan api kecil dan terbit minyak 2-3 kali.
- Seterusnya masukkan gula kabung (gula nisey kerek kalau ada), dan bancuhan asam jawa.
- Masak lagi sehingga terbit minyak lagi dan sempurnakan rasa dengan garam / perasa pilihan.
- Padamkan api dapur.
Inilah hasilnya sambal yang Amie masak untuk dinikmati bersama nasi lemak juadah berbuka puasa 4 hari yang lalu di sini: Nasi Lemak Sambal Udang & Ayam Goreng Pandan. Hasil masakan sambal pada hari tersebut Amie bahagi 2. Satu bahagian Amie tambahkan udang, dan satu bahagian lagi Amie simpan dalam suhu bilik sebagai eksperimen, untuk menguji tempoh ketahanan sambal tersebut.
Nasi Lemak Sambal Udang & Ayam Pandan.
Separuh sambal ditambah dengan udang untuk lauk nasi lemak dan separuh lagi Amie simpan dalam suhu bilik.
Firdaus tidak dapat menahan seleranya daripada menikmati sambal ini setiap kali berbuka dan bersahur. Jadi Amie ambilkan sedikit untuknya, tanpa memanaskannya terlebih dahulu.
Setakat ini sudah 4 hari sambal ini berada pada suhu bilik. Memang tidak basi! Warnanya masih sama seperti pada hari pertama Amie masak, dan rasanya pula bertambah sedap. Mungkin sudah cukup sebati. Walaupun tidak disimpan di dalam peti sejuk, tetapi sambal ini memang terbukti tahan lama 4-5 hari. Nak tunggu hari kelima, rasanya Amie sudah tidak ada bahan bukti lagi sebab hanya tinggal semangkuk kecil sahaja!
Selepas ini bolehlah masak sambal banyak-banyak. Kalau disimpan dalam peti sejuk memang jangka hayatnya lagi lebih panjang berbanding disimpan di luar.
fiza pun masak sambal nasi lemak wajib masak lama sikit. tahan lama dan boleh makan dengan makanan lain.
BalasPadam