Sesekali teringin makan sahur lauk kering dan masin-masin sikit. Oleh kerana anak bujang yang ambil giliran masak sahur, jadi makan sajalah apa yang diolahnya. Encik Suami memang mewajibkan Fairuz masakkan untuknya sayur bening atau sup sayur. Yang penting ada kuah panas. Fairuz pula sejak menjadi tukang masak, boleh dikatakan hanya menu ayam sahaja yang dia hidangkan, sama ada ayam goreng atau ayam masak kicap. Hanya dua kali sahaja dia masak ikan dan sekali masak udang. Katanya, dia hanya suka masak ayam saja. Apa pun terima kasihlah wahai anak kerana berusaha menyenangkan kedua orang tuamu. Menjelang pukul 3:30 pagi memanglah aroma masakannya meruap sampai masuk ke bilik tidur kami! Dia akan bangunkan kami sama ada dengan mengetuk pintu bilik atau menelefon.
Petang kelmarin, sambil menyiapkan juadah berbuka puasa Amie goreng ikan masin dengan bunga kantan. Boleh simpan untuk lauk bersahur.
Sedap pula bersahur dengan Ikan Masin Goreng dengan Bunga Kantan bila dimakan dengan nasi putih panas!
Ini bunga kantan yang sudah kembang. Walaupun hanya sekuntum, tapi bila dileraikan kelopaknya, dapat banyak juga. Tapi bila digoreng, kecutlah dia.
Antara bahan yang Amie gunakan untk resipi ini termasuklah seekor ikan masin batu, bawang besar, bawang merah, bawang putih, cili hijau, cili merah dan asam gelugor. Bawang besar dan bawang merah digunakan dalam jumlah yang agak banyak untuk menambah rasa manis dalam masakan.
Jom kita masak. Kalau suka pedas, boleh hiriskan cili padi. Asam gelugor itu boleh gantikan dengan asam jawa. Amie gunakan asam gelugor sebab kehabisan stok asam jawa. Untuk kurangkan rasa masin ikan masin itu, rendam dahulu lebih kurang 10 minit, dan bilas, kemudian rendam lagi sekali 5 minit dan bilas lagi, kemudian toskan. Kelopak bunga kantan pula, goreng saja hingga layu, dan bukannya hingga kering.
Bahan-bahan:
1 ekor ikan masin batu - bersihkan - rendam - toskan - potong ikut citarasa
1 kuntum bunga kantan saiz besar yang sudah kembang - leraikan kelopaknya
1 keping asam gelugor
1/2 cawan air
minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 biji cili hijau
2 biji cili merah
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng bunga kantan hingga layu. Angkat dan toskan.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama, goreng ikan masin hingga masak. Angkat dan toskan.
3. Tinggalkan lebih kurang 4 sudu besar minyak bekas gorengan tadi di dalam kuali.
4. Masukkan kesemua bahan hiris dan asam gelugor. Gaul rata dan tambahkan air.
5. Biarkan masak hingga kuah mendidih dan menjadi kering.
6. Masukkan ikan masin dan bunga kantan goreng tadi.
7. Tambahkan garam / gula / perasa pilihan.
8. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.
Dari ikan masing, bunga kantan, bawang hingga ke minyaknya pun rasa sangat sedap bila digaul dengan nasi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan