25 Disember 2019 lepas, Amie paparkan satu entri Rosli Bihun Sup. Sebenarnya pada 1 Disember 2019 kami berkunjung ke situ, restoran Rosli Bihun Sup yang terletak di Sungai Korok. Alang-alang sudah sampai ke Kedah, memang nak cuba masakan tempatan di sana. Sebelum itu kami ke Pasar Rabu, tapi sudah hampir senja, jadi gerai-gerai makanan pun sudah ditutup. Tak dapatlah nak makan laksa kedah dan bihun sup utara. Rezeki kami malam itu, Faiz bawa kami singgah makan di Rosli Bihun Sup. Dapatlah berkenalan dengan lebih dekat dengan bihun sup utara yang warna kuning itu.
Terujalah kita bila melihat bihun warna kuning dengan kuah sup yang panas dihidang di atas meja. Di dalam bihun sup pula bukan setakat hirisan daging, tetapi ada hirisan perut dan juga paru lembu. Kata Faiz, memang beginilah bihun sup di tempatnya. Memang bercampur dengan organ dalaman. Faiz pula memesan bihun sup ayam. Katanya lagi, beza bihun sup biasa dengan bihun sup orang utara ialah bihun sup utara berwarna kuning, dilengkapi dengan tauhu goreng, lobak masin dan disediakan sambal merah.
Memang seronok sangatlah dapat bercerita dan bertukar-tukar pandangan tentang pelbagai resepi dari negeri masing-masing. Amie pula rasa teruja kerana ramai kawan di tempat kerja berasal dari utara seperti Perlis dan Kedah. Rakan dari Kelantan dan Terengganu pun ramai juga. Walaupun telah mendapat resipi dari kawan-kawan tapi Amie pun buat rujukan juga dan bertanya lebih lanjut dengan Pak Google.
Bihun warna kuning, kuah warna merah! Begitulah kata kawan-kawan Amie. Wana kuning sebab rendam dengan serbuk kunyit. Kuah warna merah sebab kena taruh sambal merah! Gunakan cili kering, tambah serbuk cili nak bagi sambal tu warna cantik! Oh! Begitu... terima kasih!
Petang tadi, untuk juadah berbuka puasa bersilatlah di dapur seorang diri menyediakan bahan untuk Bihun Sup Utara. Ketika sup tulang sedang mendidih, kita pun rendam mee hoon dengan serbuk kunyit, kemudian masak sambal dengan api perlahan sampai pecah minyak.
Inilah hasilnya, sup tulang kaki lembu untuk kuah bihun sup utara. Selain tulang kaki lembu, Amie rebus sekali sedikit daging urat, perut dan lidah lembu bersama-sama tulang kaki lembu.
Amie rendam sebungkus mee hoon dengan satu sudu besar serbuk kunyit selama satu jam. Kemudian Amie celur dua minit dalam air panas mendidih, dan terus toskan airnya. Amie rendam mee hoon tadi dengan air biasa dan toskan. Kemudian Amie rendam lagi sekali, dan toskan lagi sekali.
Mari kita sediakan sup tulang terlebih dahulu. Boleh gunakan dapur biasa, rice cooker atau pressure cooker. Amie gunakan dapur gas biasa.
Bahan-bahan:
800 gram tulang kaki lembu
200 gram perut lembu
200 gram daging urat
200 gram lidah campur daging pipi lembu
bonggol pokok sup - diketuk
2 batang serai - diketuk
1 sudu besar lada putih - ditumbuk
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis
4 liter air
1/2 cawan hirisan daun sup dan daun bawang
1/2 cawan bawang goreng
garam / perasa pilihan
Bahan kisar:
3 cm halia
7 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
Cara memasak:
1. Cuci bersih tulang, perut, daging urat, lidah dan pipi lembu.
2. Jerang air di dalam kuali / periuk.
3. Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam periuk kecuali garam / perasa pilihan, daun sup, daun bawang dan bawang goreng.
4. Rebus menggunakan api besar sehingga mendidih dan biarkan selama 10 minit. Kemudian perlahankan api. Renih sup tulang hingga daging menjadi empuk.
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Keluarkan perut, daging urat, lidah dan pipi lembu - ketepikan dan hiris-hiris
7. Taburkan hirisan daun bawang dan daun sup serta bawang goreng ke dalam periuk berisi sup tulang
8. Tutup kuali/ periuk. Padamkan api dapur.
Mee hoon sudah berwarna kuning, sup tulang pun sudah siap. Mari kita hidangkan di meja makan.
Ikut putaran jam, bawang goreng, sambal, lobak masin dan limau kasturi.
Lobak masin ini Amie rendam dahulu selama 1/2 jam. Toskan dan kemudian hiris-hiris.
Sambal merah menjadi dengan jayanya. Nampak cantik warnanya! Amie campurkan cili kering dengan serbuk cili.
Bahan-bahan:
7 tangkai cili kering - buang biji - rebus - bilas - toskan
1 sudu besar serbuk cili
7 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
1 keping asam gelugor
2 sudu besar gula melaka
3 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan
Cara memasak:
1. Kisar cili kering bersama bawang putih dan bawang besar.
2. Gaulkan serbuk cili bersama bahan kisar.
3. Panaskan minyak. Tumis bahan di atas dengan api sederhana hingga pecah minyak.
4. Masukkan asam keping, garam/ perasa pilihan dan gula. Masak lagi dengan api perlahan sehingga pecah minyak sekali lagi. Keluarkan asam keping. Padamkan api dapur.
Bihun Sup Utara hampir lengkap! Mari kita jamu selera! Jangan lupa hirisan daun sup dan daun bawang.
Selain sup tulang, bihun warna kuning, sambal merah dan teman-temannya, kita tambahkan perut lembu yang sudah sedia dihiris kecil.
Ada daging urat.
Ada lidah dan pipi lembu.
Bismillah.
Dua kali Firdaus minta tambah bihun dan sup tulang dan berkali-kali dia menambah sambal merah dalam mangkuk bihun supnya! Mmmmm.... yang tambah sedap dalam hidangan ini, bila ada sambal merah dan lobak masin! Lobak masin yang Amie rendam telebih dahulu, bila dimakan bersama bihun sup rasanya manis pula! Dan, kuah bihun sup utara memang berwarna merah bila ditambah dengan sambal!
Alhamdulillah.
Rezeki Allah yang telah mempertemukan diri ini dengan beberapa orang teman dari utara tanah air termasuk Zamrina, Zarina, Syawaliah, Che Hasna dan lain-lain. Moga kalian sihat-sihat sahaja ketika ini.
Resipi yang sangat menarik..
BalasPadamSedap sungguh. Lama tak makan bihun sup utara ni sejak dah habis study di Penang dulu. Dulu masa mula jumpa macam pelik makan dengan sambal merah tu sebab orang johor biasa makan dengan sambal kicap. Lama-lama suka betul bihun sup utara ni. Lagi satu bihun dia kaler kuning :)
BalasPadamterima kasih share resepi byk2... sy sll dtg blog ni nk refer resepi.
BalasPadamterima kasih ya..
Etuza,
BalasPadamterima kasih.
Azhafizah,
inilah uniknya dunia masakan kita, utara dan selatan ada perbezaan.
Zulhimi,
terima kasih kembali sudi datang sini.