Mengimbas peristiwa hampir dua bulan yang lalu.
Tanpa usaha, tanpa ikhtiar dan kesungguhan mungkin kami masih terperangkap di Kuala Lumpur!
17 Mac 2020 di Kuala Lumpur. Tujuan ke Kuala Terengganu pada pagi 18 Mac 2020.
18 Mac 2020, Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
Sesiapa yang ingin merentas negeri perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak polis.
Kami batalkan rancangan ke Kuala Terengganu, dan mungkin hanguslah tiga tiket penerbangan yang kami telah beli:
- Kuala Lumpur - Kuala Terengganu -18 Mac 2020
- Kuala Terengganu - Kuala Lumpur - 20 Mac 2020
- Kuala Lumpur - Tawau - 21 Mac 2020
Sehingga sekarang, urusan dengan Air Asia belum lagi selesai.
Malam 17 Mac 2020, kami putuskan untuk pulang ke Tawau sahaja memandangkan PKP bermula pada keesokan harinya. Tak sempat nak gunakan tiket bertarikh 21 Mac 2020 Kuala Lumpur - Tawau. Air Asia menetapkan bayaran tambahan sebanyak RM750 dan jika dicampur dengan bayaran asal, sudah melebihi RM1K. Kami cuba beli tiket baru, harganya melebihi RM960+++ belum termasuk bagasi.
Perasaan bertambah cemas apabila melihat satu demi satu di skrin besar, penerbangan domestik dan ke luar negara dibatalkan! Kalau ada 60 penerbangan, hanya 7 atau 8 sahaja yang meneruskan operasi!
Minta pertolongan Farid di Seri Iskandar untuk semak harga tiket penerbangan lain selain Air Asia. Alhamdulillah, menjelang pukul 1 pagi, 18 Mac 2020 Farid berjaya membelikan kami tiket MAS, kelas perniagaan (bussiness class) dan dijadualkan terbang pada pukul 7:30 pagi. Rezeki kami, harga tiket untuk seorang tidak sampai RM700 termasuk 40 kg berat bagasi.
Google
Kami solat di surau, dan selepas itu terpaksa 'dihalau' oleh beberapa orang petugas kerana tidak boleh berlama-lama dan beramai-ramai di satu-satu tempat.
Oleh kerana dikhabarkan perlu ke balai polis untuk memohon surat kebenaran merentas negeri, kami ke balai polis KLIA. Sampai di situ, polis yang bertugas berkata arahan telah ditarik balik. Oh! Rupanya dalam sibuk-sibuk kami mengurus tiket, kami terlepas berita arahan ditarik semula!
Pukul 3 pagi, kami berempat bergerak ke kaunter untuk daftar masuk.
Allahu Akbar!
Nano tidak lepas sebab ketika itu hanya penduduk atau rakyat Sabah sahaja yang dibenarkan menaiki pesawat dari Kuala Lumpur ke Tawau. Alasan yang diberikan, dalam kad pengenalan Nano beralamat di negeri Pahang! Kebetulan pula alamat dalam kad pengenalan Amie menggunakan alamat di LD, jadi Amie tidak bermasalah. Setelah memberikan pelbagai alasan termasuk menunjukkan kebenaran imigresen dan JPN di dalam passport Malaysia warna biru, akhirnya Nano dibenarkan terbang.
Seribu syukur kepada Allah apabila akhirnya Nano dapat terbang juga bersama kami.
Suasana di KLIA sangatlah sunyi.
Kelihatan sekelompok bakal penumpang pesawat yang mungkin kandas di bahagian belakang kaunter pendaftaran. Jumlahnya melebihi 35 orang. Barangkali sedang menunggu giliran untuk pulang ke negara asal. Salah seorang daripadanya yang kelihatan separuh usia kedengaran sedang berzikir. Kebanyakan yang lain sedang tidur. Ada yang tidur di atas kerusi, dan kebanyakannya di atas lantai tanpa alas.
Kami turun ke tingkat bawah, menuju ke sebuah kedai membeli 40 bungkus roti pelbagai jenis dan air mineral. Gee menolak botol air mineral dan roti dengan menggunakan troli untuk di bawa ke tingkat atas.
Kami hulurkan kesemua bungkusan roti dan air mineral kepada lelaki yang sedang berzikir itu. Dengan menggunakan bahasa Inggeris yang mudah, kami meminta supaya diagihkan roti dan minuman tersebut kepada kumpulan mereka.
Lelaki separuh usia tadi, yang masih tercengang-cengang bertanya kepada kami, berapakah harga yang perlu dibayar untuk roti dan minuman yang kami berikan. Setelah kami menerangkan, itu adalah pemberian kami, lelaki tersebut berkali-kali mengucapkan terima kasih.
Kami meninggalkan tempat mereka dan sempat menoleh ke belakang semula. Mereka sedang membahagikan roti dan nampaknya, benar seperti sangkaan kami, mereka memang lapar! Alhamdulillah. Allah telah mempermudahkan urusan kami untuk terbang, kami berbahagi rezeki dan kesyukuran itu dengan menghulur roti kepada mereka.
Malam itu, kami tidak sempat melelapkan mata walau sepicing!
Oh!
Tajuk entri ini tentang pengalaman kali pertama naik pesawat MAS, Kelas Perniagaan, tapi mukadimahnya panjang berjela melebihi isi cerita pula! Tak apalah. Sekadar kenang-kenangan sahaja. Maklumlah sebelum ini, berpuluh malah beratus kali, hanya dapat naik kelas ekonomi sahaja, jadi teruja pula bila berpeluang dapat naik bussines class.
Pukul 5 pagi, kami melepasi pintu imigresen untuk ke Ruang Istirahat Premium - Golden Lounge Domestic. Ruang di sini sangat luas dengan pilihan tempat duduk yang selesa. Memang nampak mewah. Istimewanya apabila memilih Kelas Perniagaan, tak perlu berebut-rebut berbaris atau beratur untuk masuk pesawat. Kami melangkau barisan. Santai-santai saja. Hari masih terlalu awal, belum lagi masuk waktu Subuh. Kami menjamu selera dahulu di sini, seolah-olah bersahur pula!
Banyak pilihan makanan yang disediakan.
Dalam banyak-banyak menu, nasi lemak juga yang menjadi pilihan!
Rendang ayam tu sangat sedap!
Dan kemudian, jamah sedikit bubur nasi. Selepas itu kami menunaikan solat Subuh di surau yang memang ada tersedia di sini. Kami telah diberi pesanan, agar berada di bilik menunggu 1/2 jam sebelum pesawat berlepas. Jadi, pukul 7 pagi kami sudah berada di situ.
Penerbangan MH2660 Kuala Lumpur - Tawau berjalan dengan lancar. Kami duduk di barisan kedua hadapan, dengan ruang yang lebih luas dan selesa. Layanan daripada pramugari MAS memang cukup istimewa! Kami diberikan tuala lembap yang hangat untuk mengelap tangan, pilihan minuman panas atau sejuk dan pelbagai jenis hidangan pilihan.
Entah kenapa, mulut asyik nak sebut nasi lemak saja, padahal sudah menjamah nasi lemah di Golden Lounge Domestic!
Mungkin ada istimewanya nasi lemak sajian dalam pesawat! Amie sukakan rasa sambal nasi lemak MAS dan juga Air Asia, iaitu Nasi Lemak Pak Nassier. Lain sikit rasa sambal kedua-duanya berbanding sambal nasi lemak yang biasa kita makan.
Selain isi udang saiz besar, telur rebus disajikan sebiji!
Amie hanya jamah beberapa sudu nasi lemak, sebab tak sanggup berlama-lama menahan rasa mengantuk yang amat sangat! Kalau Amie imbas kembali tahun-tahun 1990-an, memang beginilah hidangan makanan yang disajikan dalam kelas ekonomi! Sekarang, sajian kelas ekonomi yang pernah kami nikmati berpuluh tahun yang lalu hanya dapat ditemui kalau kita memilih bussines class.
Selesai makan, Amie habiskan teh panas dan terus sambung tidur. Tidak lama kemudian terjaga semula apabila mendengar pengumuman, meminta bantuan kecemasan sekiranya ada doktor di dalam pesawat. Setelah tiga kali pengumuman tersebut diulang, pengumuman keempat menyatakan pesawat akan patah balik ke Kuala Lumpur kerana salah seorang penumpang memerlukan bantuan kecemasan daripada doktor!
Allahu Akbar!
Setelah 45 minit pesawat berada di udara, kami berpatah balik ke KLIA.
Apabila urusan membawa turun pesakit selasai, pesawat bersedia untuk terbang semula. Entah pukul berapa waktu itu! Mujurlah tidak banyak kapal terbang beroperasi pada hari pertama PKP, jadi mudahlah kami terbang semula. Mungkin lalu lintas udara tidak sibuk.
Dalam penerbangan semula ini, sekali lagi pramugari menghidangkan makanan, tapi mata Amie sudah tertutup rapat! Yang Amie sedar, apabila kapal terbang selamat mendarat di Lapangan Terbang Tawau!
Kami melalui pemeriksaan suhu badan, dan ditahan di imigresen untuk diambil maklumat memandangkan kami kaki tangan awam.
Keluar dari lapangan terbang, jam sudah menunjukkan angka 2 petang! Sepatutnya kami tiba pada pukul 11 pagi tadi. Apa pun Alhamdulillah semuanya selamat. Encik Suami sudah menunggu sejak dari pukul 10 pagi, dan kami terus pulang ke LD.
Jalan raya sunyi!
Tidak ada kenderaan yang lalu lalang seperti selalu.
Tiba di rumah, terus mandi, cuci pakaian dan mematuhi arahan PKP : Kuarantin diri selama 14 hari, tidak bersalaman dengan Encik Suami, apa lagi memeluk Firdaus!
nampak mewah betul ye kak....
BalasPadampengalaman ye kak... nasibla sempat balik kalau tak sampai bulan 5 mahu masih kat Kl lagi
satu pengalaman yang tidak ternilai semasa pertama kali PKP. Business class memang best merasalah pengalaman tu kalau jabatan hantar bertugas keluar negeri. Syukur semuanya selamat
BalasPadamDana,
BalasPadamAgaknya kalau bukan sebab nak dapatkan seat ke Tawau pada pagi itu juga, memang tak merasalah juga.
Notie,
Waktu itu letih, mengantuk sangat... Kalau segar bugar agaknya makan minum sajalah sepanjang penerbangan.
Kan Kak, awal tahun 90-an naik Mas sangat best dpt byak makanan, masa tu AA belum ada sekarang jarang dah naik MAS.
BalasPadamNasa,
BalasPadamkan... mewah hidangannya.
dulu arwah bapa sy kerja d mas,klu ada mknn baki dari mn2 kapal dia akan bwk balik,mknn ms tu sgtlh wow ,skg ni klu sy naik kapal quantiti mknn sgtlh sikit dan x se wow mcm dlu zmn knk2 sy
BalasPadam