Pages

Ahad, 19 April 2020

Resipi Mudah Cekodok Pisang Rangup di Luar Lembut di Dalam

Selamat berhujung minggu.
Hari ini sudah masuk hari ke-33 kita menjalani PKP. Kelmarin, khabarnya daerah LD sudah masuk zon merah. Sudah 3 orang yang tidak patuhi PKP ditangkap! Harapnya, teruslah patuh arahan. Undang-undang hari ini sudah tidak mengenal siapa, tidak kira usia atau darjat. Sama halnya dengan Covid-19 yang akan singgah ke tempat yang memang sudah ada untuknya bersarang, sama ada haiwan atau manusia, tidak kira umur dan pangkat! Jadi, bagaimana aktifnya wabak jahat ini merebak, begitulah tegasnya pihak berkuasa berusaha membanteras rantaian gejala ini dari terus berleluasa.
Jadi, patuhi arahan PKP.
Stay at home!

resepi cekodok pisang
Jom makan cekodok pisang. Pagi ini bila masuk dapur, harum bau pisang berangan yang sudah masak ranum. hari-hari nampaknya kena makan pisang heheee. Pisang-pisang ini ada yang kami beli, dan ada pemberian daripada jiran.

resepi cekodok pisang
 Pisang beli sendiri minggu lepas. Belum masak sepenuhnya.

resepi cekodok pisang
Pisang pemberian jiran, juga belum masak sepenuhnya. Dapat dua hari kemudian selepas kami beli pisang.

resepi cekodok pisang
 Pisang beli sendiri, sudah masak ranum. 
Sudah dibuat lempeng, sudah dibuat murtabak pisang.
Habis.

resepi cekodok pisang
Pisang berangan pemberian jiran juga sudah masak ranum.
Hari ini gunakan 6 biji buat cekodok. Jom godek-godek tepung buat cekodok pisang. Ubah sikit cara penyediaannya dengan tambahkan marjerin dan soda bikarbonat, nak bagi lembut gebu rangup di luar dan lembut di dalamnya.

Bahan-bahan:
6 biji pisang berangan masak ranum
2 cawan tepung gandum
3 sudu besar gula pasir - boleh kurang atau tambah ikut manis yang dikehendaki
2 sudu besar marjerin - boleh gunakan 1 sudu besar sahaja - untuk kurangkan kandungan minyak 
1 sudu kecil soda bikarbonat
1/2 sudu kecil garam
minyak

Cara:
1. Kupas pisang. Masukkan dalam sebuah bekas.
2. Masukkan  gula, garam, soda bikarbonat dan marjerin ke dalam bekas berisi pisang. Lenyek hingga hancur.
3. Masukkan tepung gandum dan gaul rata.
4. Perap selama 15 minit.
5. Panaskan minyak untuk menggoreng tenggelam dengan api sederhana. Tunggu sehingga minyak menjadi panas.
6. Celupkan hujung jari ke dalam air dan jemputlah adunan pisang tadi ke dalam kuali.
7. Tidak perlu penuhkan kuali untuk sekali gorengan, cukuplah sekadar 8-10 biji sahaja. Beri ruang untuk cekodok mengembang dalam kuali. Lagi satu cekodok ini cepat berubah warna, nanti leka menjemput adunan, cekodok yang masuk awal dalam kuali sudah hangus bahagian bawahnya sebab lambat diterbalikkan.
8. Apabila cekodok sudah berwarna keemasan, bolehlah angkat dan toskan di atas kertas serap minyak.


Tunggulah cekodok pisang tu serap minyak di atas towel paper, barulah nikmati sepuasnya. Kalau baru keluar kuali terus terkam, memang makan minyaklah nampaknya .... ahaks! Bukan apa, ada marjerin di dalam cekodok tu yang sedang dalam proses merangupkan bahagian luar cekodok!


resepi cekodok pisang
Cekodok Pisang Rangup di Luar Lembut di Dalam dah siap!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan