Assalamualaikum.
Bertemu kembali di dapur maya kesayangan Amie ini. Hari ini Isnin, 6 April 2020. Masuk hari ke-20 kita mematuhi arahan PKP. Mudah-mudahan usaha ini akan berhasil dengan jayanya. Setakat kelmarin, sudah 61 kes kematian Covid-19 di negara kita. Pagi tadi kami mendapat khabar duka. Ibu saudara sebelah Encik Suami dijemput Ilahi. Sungguh menyedihkan, kerana anak-anak dari Sandakan dan Kinabatangan tidak boleh ke LD kerana LD berada dalam zon merah. Semoga usaha mereka berhasil untuk lolos ke LD dengan meminta surat kebenaran daripada pihak polis sebelum jenazah dikebumikan. Di LD pula, pelbagai prosedur perlu diurus, selain membuat laporan kematian ke balai polis, dengarnya pihak hospital akan datang ke rumah untuk membuat penyiasatan kes kematian arwah. Atau kemungkinan jenazah akan dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Allahu Akbar! Semuanya perlu dilakukan untuk memastikan sama ada arwah meninggal kerana jangkitan Covid-19 atau sebaliknya walaupun sebelum ini arwah sudah disahkan mengidap pelbagai penyakit seperti masalah jantung dan paru-paru.
Al-Fatihah untuk arwah.
Moga dipermudahkan segala urusan.
Moga rohnya tenang di sana.
Kali ini Amie ingin kongsikan resepi Mee Kari Tanpa Santan. Encik Suami memang suka sangat makan mee kari. Ini dapat Amie kesan kalau makan di luar, biasanya Encik Suami suka memesan mee kari. Seorang kawan baik Amie yang berniaga makanan di restoran di Pelabuhan Klang pernah memberitahu Amie supaya cuba masak kuah kari tanpa gunakan santan. Gantikan saja dengan tomato, katanya. Itulah resepi yang dia gunakan ketika memasak mee kari di dapur restorannya. Katanya, pelanggan lebih suka kuah kari tanpa santan berbanding kuah yang bersantan.
Amie mencuba sekali, dan memang ternyata lebih sedap, dan kalau makan banyak kali tidak terasa muak. Amie juga pernah hidangan mee kari tanpa santan semasa mengadakan rumah terbuka, dan hidangan ini juga diterima baik oleh para tetamu. Di bawah ini nanti, Amie kongsikan resepinya. Terpulang nak ubahsuai, nak kurang atau lebihkan bahan.
Jom kita mulakan kerja-kerja memasak kuah mee kari sebab inilah bahan utama selain mee kuning, dan aksesori sampingan yang lain. Bahan penting yang perlu ada selain tomato ialah air rebusan kulit udang dan sebiji keledek atau kentang. Keledek atau kentang boleh jew tak payah bubuh, tapi kalau nak kuah lebih pekat, bubuh sajalah. Bubuh buah keras pun boleh untuk pekatkan kuah. Tak bubuh pun tak menjadi masalah juga. Kena sabar sedikit sebab ambil masa juga nak bagi tomato benar-benar hancur. Kuah mee kari tanpa santan ini tak perlu bubuh asam keping sebab tomato dan sedia keluarkan rasa asam-asam manis. Tapi kalau nak bubuh juga, pun boleh.
Bahan-bahan untuk kuah:
6 sudu besar serbuk kari (campur kari daging & kari ikan)
3 pelepah daun kari - lurutkan
1 liter air rebusan kulit udang - 1 kg udang - ambil kulit dan kepala- dibilas bersih - direbus hingga mendidih - kisar bersama air rebusan - tapis)
500 ml air rebusan ayam - (ayam rebus digunakan sebagai bahan tambahan mee kari - keluarkan ayam rebus - ambil airnya)
5 biji tomato - 500 gram - cincang
1 cawan potongan dadu keledek - boleh gunakan kentang
6 keping tauhu pok - potong 4
3 cm kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 batang serai - diketuk
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
7 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
1 cm halia
Cara memasak:
1. Panaskan minyak masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga dan daun kari serta serai.
2. Kemudian masukkan bahan kisar dan gaul rata. Tumis hingga terbit bau.
3. Seterusnya masukkan rempah kari. Kacau dan tambahkan secawan air (200 ml) rebusan udang. Tumis dengan api perlahan sehingga pecah minyak.
4. Masukkan tomato cincang dan keledek / kentang. Kacau selalu dan masak sehingga tomato dan keledek / kentang hancur. Jika agak kering, tambahkan sedikit air rebusan ayam atau rebusan udang.
5. Setelah tomato dan kentang /keledek hancur, tuangkan air semua baki rebusan udang dan air rebusan ayam.
6. Biarkan kuah masak mendidih sekali lagi dan kemudian masukkan tauhu pok.
7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
Kuah Mee Kari Tanpa Santan dah siap!
Mari kita sediakan kelengkapan lain untuk Mee Kari Tanpa Santan ini. Selain mee kuning, terpuanglah nak bubuh apa atas mee tu. Nak bubuh sayur sawi celur pun boleh, makanan laut pun boleh. Biasanya mee kari ini ada kerang, tapi memang susahkan nak jumpa kerang di LD ini kecuali kalau balik kampung di Jeram sanun,barulah boleh makan kerang puas-puas... ahak!
Bahan-bahan mee kari:
mee kuning celur secukupnya
udang rebus
isi ayam rebus carik-carik
fish ball
telur rebus
taugeh
limau kasturi
bawang goreng
hirisan cili
hirisan daun bawang
Boleh sediakan sambal kicap untuk rasa lebih ummpphhh!!!! Amie hanya sediakan kicap manis pedas campur kicap cap kipas udang yang lemak manis, perah jus limau kasturi. Itu pun dah cukup sedap!
Sediakanlah bahan sampingan ikut citarasa masing-masing. Selain sayur sawi celur, ada yang sediakan kentang rebus, fish cake dan sebagainya.
Jemput makan ye.
Resepi ini sekadar perkongsian ikut pengalaman, tapi boleh diubahsuai mengikut citarasa maisng-masing. Sesiapa yang ingin kurangkan pengambilan lemak dalam santan, bolehlah cuba.
Tq atas resepi, nanti saya cuba
BalasPadamTq.. nak cuba resipi kak Amie. Seronok baca blog akak.
BalasPadamUmialya,
BalasPadamsilakan dik.
Helen, terima kasih. Silakan dik.
Menarik. Keluarga saya sukakan mee kari. Bolehlah saya cuba.
BalasPadamTerima kasih Amie. Stay safe ya.