Kelmarin, menjelang tengahari Encik Suami sempat menjengah ke kampungnya. Dapatlah lolos tanpa melalui sekatan jalan raya. Mereka buat tahlil. Masing-masing bawa nasi berkat. Mereka bertukar-tukar nasi berkat dengan adik beradik masing-masing.
Encik Suami bawa sebungkus nasi berkat ke sana, pulang ke rumah bawa nasi berkat dari kakak ipar pula. Oleh kerana sudah ada nasi di dapur sendiri, jadi nasi berkat yang kami dapat itu disimpan, kononnya untuk dijadikan nasi goreng untuk sarapan pagi. Encik Suami masukkan nasi tersebut dalam freezer kerana peti sejuk kami masih belum dapat dibaiki lagi.
Pagi tadi, nak masak nasi goreng terpaksalah tunggu nasi dinyahbeku terlebih dahulu sebab memang sudah beku... ahaks!
Lauk-pauk nasi berkat memang sudah habis diratah Fairuz petang kelmarin. Biasanya kalau ada nasi berkat yang tersimpan, Amie akan campurkan kesemua lauk seperti serunding, ikan dan ayam sebagai perencah nasi goreng. Kali ini kena cari bahan lain untuk temankan nasi goreng ini.
Jom kita buat Nasi Goreng Ikan Masin. Amie gunakan ikan masin sulig. Buang kepalanya, tinggalkan badan ikan masin dipotong kecil lebih kurang 1 cawan. Kita tambah cili padi, biar ada rasa pedas. Barulah mengancam selera... ahaks! Kali ini hiris sahaja segala bahan perencah seperti bawang dan cili padi. Biar nasi goreng rasa pedas. Kalau nak rasa lebih mengancam, bolehlah tambahkan sedikit belacan.
Bahan-bahan:
4 cawan nasi putih
1 cawan hirisan ikan masin
4 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan
Bahan hiris / cincang:
3 ulas bawang putih
4 biji bawang merah
11 biji cili padi
1 cawan lobak merah
Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Goreng bawang merah, bawang putih hingga layu kekuningan.
2. Masukkan cili padi lobak merah dan ikan masin. Gaul dan biarkan masak selama 1 minit.
3. Masukkan nasi putih. Gaul rata.
4. Tambahkan garam / perasa pilihan secukupnya.
5. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Nasi Goreng Ikan Masin dengan Cili Padi Terlajak Pedas dah siap!
Masakan ringkas dan mudah tapi sedap sangat!
nasi goreng ni boleh masak dengan pelbagai citarasakan. yg pasti memang mengenyangkan
BalasPadamNieda,
BalasPadambetul tu... masaklah dengan apa pun asalkan penuhi selera.