Pages

Ahad, 5 April 2020

Masak Lemak Putih Keledek dengan Cekur Manis

Sepanjang hari ini dari pagi hingga ke petang, cuaca mendung saya. Sesekali muncul juga matahari menerobos masuk ikut jendela dapur.  Rasa macam nak sambung tidur saja pagi tadi, tapi dibatalkan hasrat sebab kalau sambung tidur banyaklah kerja rumah terbengkalai. Seronok pula duduk di rumah sepanjang PKP ini. Apa tidaknya, Encik Suami pun ringan tulang bantu kemaskan mana yang patut, dan buang apa yang tak patut disimpan.
Kita pun dengan senang hati masak tepat pada waktunya, dan makan tengahari bersama-sama selepas solat Zohor. Hari ini Amie masak cekur manis dengan keledek. Ada orang panggil pucuk manis. Amie dari dulu memang panggil cekur manis. Inilah sayur hidangan kami dari kecil. Bonda tanam tepi rumah bersama pokok-pokok lain seperti terung dan cili, serai, lengkuas, kunyit, kencur dan sebagainya. Suka sangat kami petik buah cekur manis yang kecil-kecil serupa seperti buah manggis! Kami buat main-main masak-masak dan main jual beli di pondok kecil yang kami dirikan bersama anak-anak jiran!
Manisnya nostalgia lampau itu!
Tentang cekur manis pula, Bonda suka masak lemak putih, bubuh serai dan ikan bilis. Kalau tidak ada keledek, Bonda gantikan dengan ubi. Aroma cekur masak lemak putih yang Bonda masak, masih 'terhidu' hingga saat ini! Kuah santan putihnya tidak begitu pekat, sedang-sedang saja. Biasanya, lauk lain yang dihidangkan termasuklah ikan kering goreng dan juga sambal totok. Huurrmmm... sambal totok! Entah berapa tahun tak pernah menikmati sambal totok. Bonda tidak suka makan sambal cili padi hidup-hidup, sebaliknya cili padi dikukus terlebih dahulu sebelum dijadikan sambal totok. Caranya mudah saja. Ketika nasi hampir kering, bubuh sahaja segenggam cili padi hijau di atas periuk nasi, dan tutup kembali. Setelah nasi tanak, keluarkan cili padi dan tumbuklah bersama bahan lain seperti belacan atau bawang bakar. Kadang-kadang bawang merah pun Bonda kukus sekali bersama cili padi tadi.
Eh! Jauh pula ceritanya.
Mari kita sembang resepi Masak Lemak Keledek dengan Cekur Manis dari dapur Amie.

Bahan-bahan:
1 cekak cekur manis - lurutkan daunnya dan petik pucuknya yang muda
1 biji keledek - kupas kulit dan potong ikut suka
1 cawan suhun yang sudah direndam dan ditoskan airnya
1 cawan pati santan
3 cawan santan cair
1 batang serai - diketuk
7 biji cili padi - optional 
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk kasar:
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1/2 cawan ikan bilis

Cara memasak:
1. Masukkan santan cair, serai dan keledek, cili padi serta bahan tumbuk kasar.
2. Masak dengan api perlahan sehingga keledek mulai empuk.
3. Seterusnya masukkan cekur manis dan masak sehingga daun cekur manis berubah warna.
4. Tuangkan pati santan, suhun, garam / gula / perasa pilihan.
5. Kacau lagi perlahan-lahan sehingga kuah mula mendidih.
6. Padamkan api dapur.


Sayur keledek masak lemak dengan cekur manis ini Amie hidangkan bersama ikan lengat tongkol goreng, sambal belacan dan telur dadar.

3 ulasan:

  1. kalau lauk gini menambah-nambah saya makan.

    BalasPadam
  2. Aduh masakan nostalgia ni
    pakai labu manis pun okay jugak

    BalasPadam
  3. Nasa Mulia,
    betul tu... lauk-pauk masakan kampung memang sedap.

    Warisan Petani,
    ya Wak... labu manis lagi sedap.

    BalasPadam