Pages

Selasa, 7 April 2020

Dalca Daging Pipi Lembu

Assalamualaikum.
Jumpa lagi di pagi Selasa yang tenang dan nyaman, sunyi dan sepi. Masih menjalani arahan PKP hari ke-21. Rindu dengan suasana sebelum ini, namun marilah sentiasa berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala. In shaa Allah. Berikan kekuatan dan ketabahan buat frontliners memikul tugas dan tanggungjawab berat untuk negara kita. Aamiin ya Allah.

Di kesempatan kali ini, Amie nak kongsikan resepi dalca menggunakan daging pipi lembu. Biasanya, dalam kenduri-kendara orang kampung kami akan gunakan daging pipi lembu bersama babat @ perut lembu sebagai perencah sambal goreng. Kedua-dua bahan ini akan dihiris kecil dan nipis, jadi bila makan tidaklah nampak sangat bezanya. Cuma kalau termakan daging pipi lembu, terasalah 'duri' nya yang agak kasar sedikit itu. Daging pipi lembu ini lebih sedap dari daging lembu bahagian lain. Itu pandangan dari selera sendirilah, sebab rasanya lebih berlemak dan kenyal.
Jika suka, daging pipi lembu boleh kita masak asam pedas, masak lemak cili padi, masak kari, sambal goreng dan sebagainya. Amie masak dalca sebab nak bubuh beberapa jenis sayur di dalamnya.
Terlebih dahulu Amie rebus daging pipi lembu hingga empuk. Begitu juga dengan kacang dhal. Amie rendam dahulu selama 1 jam, dan kemudian rebus hingga empuk atau lembut. Seperti biasa, kalau menggunakan serbuk kari, Amie suka campurkan dua jenis iaitu serbuk kari daging dan serbuk kari ikan. Biasanya serbuk kari ini akan dijadikan pes dengan menambahkan air dan campuran bawang putih serta bawang merah tumbuk/kisar tetapi Amie lebih suka masukkan serbuk kari dalam kuali dengan memperlahan api agar tidak terus hangus. Cara memasak begini akan menimbulkan aroma kari yang semerbak! Memang bahan tumisan akan menjadi kering tetapi pada masa tersebut, tuangkan sedikit air. Terpulanglah mengikut selera dan citarasa masing-masing kerana memasak merupakan proses kita berkreativiti di dapur sendiri. Dari sinilah kita akan mampu berinovasi, mereka cipta resepi baru.

Seperti kebiasaannya juga, Amie hanya rebus daging pipi lembu menggunakan api dapur. Sepuluh minit pertama Amie besarkan api dan setelah mendidih Amie buangkan air rebusannya dan kemudian gantikan dengan air baru. Masak lagi sehingga daging pipi lembu menjadi lembut dengan menggunakan api perlahan. Bagi Amie, proses ini tidaklah membuang masa dengan menunggu daging pipi lembu menjadi lembut, sebaliknya masa yang ada boleh digunakan untuk membuat pelbagai kerja dapur. Kenalah pandai-pandai ambil kesempatan menggunakan masa. Misalnya, sambil Amie menyediakan sarapan pagi, Amie rebus sekali daging pipi lembu. Setelah bersarapan, mengemas dapur dan mencuci pinggan mangkuk serta menyapu sampah, daging pipi lembu sudah masak lembut! Pilihan di tangan sendiri. Bagi yang suka gunakan periuk bertekanan tinggi atau hi-pressure, gunakan sahajalah kemudahan yang ada itu.

Sekarang mari kita sama-sama semak resepi Dalca Daging Pipi Lembu di bawah ini. Oh! Hampir terlupa. Amie tidak gunakan cili kisar untuk menambah kepedasan dalam dalca sebab Amie sudah sediakan sambal belacan Thailand. Oleh sebab suka sangat makan sambalbelacan Thailand, dan kalau dalca pun pedas juga nanti tak tahu mana satu nak nikmati rasanya...ahaks!

Bahan-bahan:
400 gram daging pipi lembu - rebus hingga lembut - potong ikut suka (simpan air rebusannya)
1/2 cawan kacang dhal - rendam 1 jam - rebus hingga lembut
4 cawan santan cair
1 cawan pati santan
1 biji kentang saiz besar - belah 8
2 biji tomato - belah 4
3 batang kacang panjang - potong 3 cm
1 biji terung panjang - potong 4 - belah 2
1/2 batang lobak merah - potong bulat
5 sudu besar serbuk kari - campurkan serbuk kari ikan dengan serbuk kari daging
1 keping asam gelugor
1 biji cili hijau - belah 2
1 biji cili merah - belah 2
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia

Bahan tumis:
3 cm kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 pelepah daun kari - lurutkan daunnya

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan masukkan bahan tumis. Goreng hingga terbit aroma.
2. Seterusnya masukkan bahan kisar. Kacau seketika dan kemudian masukkan rempah kari.
3. Perlahankan api dapur, dan tuangkan sedikit air rebusan daging ke dalam tumisan. Kacau tumisan dan masak sehingga terbit minyak.
4. Masukkan asam gelugor, daging pipi lembu bersama lobak merah dan kentang. Tuangkan santan cair. Masak sehingga kentang dan lobak merah empuk.
5. Kemudian masukkan kacang dhal, terung, kacang panjang dan tomato serta cili hijau dan cili merah diikuti dengan pati santan. Kacau rata.
6. Akhir sekali perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
7. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.

Masakan dalca sebenarnya tidak terhad kepada penggunaan satu bahan utama seperti daging pipi lembu yang Amie gunakan ini. Boleh saja gunakan tulang lembu, ayam dan sebagainya. Apa pun Dalca Daging Pipi Lembu olahan Amie ini memang sedap! Kenalah masuk bakul berlubang kan... sebab tak larat nak masuk bakul angkat sendiri... ahaks!

2 ulasan:

  1. Aduhai sedapnya kak oi... lama dana tak jumpa daging nih

    BalasPadam
  2. Dana,
    susah nak dapat... pipi lembu tak banyak hik!

    BalasPadam