Selamat petang.
Esok merupakan hari kesepuluh kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan.
Hari ini sahaja, sudah 21 jumlah kematian secara keseluruhan. Belum ada tanda wabak ini akan menyusut seperti yang diharapkan. Namun begitu, teruslah patuhi arahan kerajaan untuk membantu mengatasi wabak yang tidak diundang ini.
Dari petang kelmarin, Firdaus asyik merengek minta dibuatkan popia. Sebelum ini, di hari persekolahan biasanya Encik Suami akan singgah di gerai untuk membeli kuih-muih kegemaran Firdaus. Antaranya sudah tentulah popia. Oleh kerana tiada satu pun gerai makanan yang dibuka, jadi tidaklah kami dapat minum petang dengan menikmati kuih-muih seperti kebiasaannya. Awal pagi tadi, Firdaus sudah mengingatkan Amie untuk membuat popia.
Amie terjumpa satu tin Corned Beef Hash yang Amie beli di Brunei pada Oktober 2019 di dalam almari dapur. Jadi Amie jadikannya sebagai inti popia dengan mencampurkan satu tin jagung dan sebatang lobak merah dari China.
Inilah Corned Beef Hash, tin terakhir dalam simpanan Amie seberat 300 gram. Sebelum ini Amie pernah buat popia dengan inti yang sama di sini : POPIA INTI CORNED BEEF.
Beginilah rupa Corned Beef Hash dari Brunei. Mari kita lihat resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 bungkus kulit popia saiz sederhana
sebiji telur
minyak
Bahan inti:
300 gram corned beef hash
1 cawan jagung tin - toskan airnya
1 cawan hirisan lobak merah
1 labu bawang besar - cincang
3 ulas bawang putih - cincang
3 sudu besar minyak
Maggi Cukup Rasa secukupnya
Cara:
1. Panaskan minyak dan bawang besar serta bawang putih cincang hingga wangi.
2. Masukkan corned beef hash. Gaul sebati.
3. Masukkan lobak merah, dan jagung.
4. Perasakan dengan Maggi Cukup Rasa. Gaul rata.
5. Angkat bahan tumis dan masukkan ke dalam mangkuk penapis.
6. Biarkan seketika supaya kuahnya kering.
7. Letakkan inti secukupnya di atas kulit popia. Lipat dan gulung. Lekatkan dengan putih telur di bahagian hujungnya.
8. Goreng hingga berwarna keemasan.
9. Angkat dan toskan minyaknya.
10. Hidangkan bersama sos pilihan anda.
Amie sediakan 50 keping kulit popia saiz sederhana tapi hanya dapat 37 batang popia sahaja. Firdaus tolong ceraikan kulit popia, tapi sehelai tercerai sesudu kecil inti popia masuk ke mulutnya.... ahaks! Katanya, sedap sangat inti popia tu!
Memang Firdauslah juara makan popia hari ini. Dari pagi sampai tengahari itulah sahajalah yang dimakannya. Waktu makan tengahari, dia tak mahu jamah nasi. Katanya perutnya kenyang dengan makan Popia Inti Corned Beef Hash!
that looks so good !!!!
BalasPadamSedapnya nengok popia corn beef akak tu, dana smlm buatvpopia jugak... popia kentang sardin
BalasPadam