Pages

Jumaat, 27 Mac 2020

Nasi Lemak Sambal Udang Kering

Assalamualaikum.
Covid 19 kian mengganas. Tanpa ampun dan belas! Jumlah korban Covid 19 bertambah lagi, menjadikannya angka 24! Covid 19 tidak mengenal rupa, usia, pangkat dan darjat! Itulah jumlah angka kematian yang dikongsi dalam media sosial hari ini.
Hari ini Amie tekadkan hati untuk keluar dari rumah atas beberapa urusan penting. Inilah kali pertama melangkah keluar dari pintu dan pagar rumah sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 lalu. Jalan raya lengang! 
Bonda sudah berpesan, tak perlu kirimkan wang sebagaimana kebiasaannya. Kata Bonda, di sana cukup bekalan makanan. Bonda hari-hari makan. Anak cucu di sana akan menghantar barangan dapur ke rumah Bonda. Simpan duit itu untuk kegunaan di masa kecemasan begini. Duduk saja di rumah. Jangan keluar rumah. Itu kata Bonda. Hiba rasanya mendengar suara Bonda di hujung telefon. Akhirnya, dengan penuh tawakal pergi jugalah berurusan di mesin ATM. Untuk Bonda. Untuk Farid. Untuk Fuad. Itu yang sangat penting.
Kami singgah di cold storage di kawasan taman perumahan untuk membeli barangan dapur. Maklumlah, hujung bulan memang perlu berbelanja untuk keperluan harian terutama makanan kering. Kata Encik Suami, pasaraya besar yang berhadapan dengan rumah kami tidak membenarkan pelanggan berusia lebih 50 tahun berurusan di situ...entahlah. Entah betul entah tidak!
Kami berbelanja sahaja di coldstorage kerana selain bekalan makanan basah, kelengkapan barang dapur juga ada di situ. Setelah membayar harga barang yang dibeli, termenung seketika kerana jumlahnya lebih tinggi berbanding pembelian bulan sebelumnya, sedangkan tidaklah banyak barang yang dibeli.
Harga telur gred A, RM14.50 sen sesarang. Harga bawang besar Holland RM9.00 sekilogram tetapi sebiji pun tidak ada. Mungkin sudah habis dibeli pelanggan. Harga bawang merah kecil RM20.00 sekilogram. Nak pegang tomato pun dah tak berani, sebab minggu lepas Encik Suami beli sekilogram dengan harga RM12.00.
Mengeluh kecil juga di hati ini.
Sayur-sayuran segar sudah tidak kelihatan seperti selalu kecuali bayam, sawi, terung dan labu. Tidak kelihatan kacang panjang, kacang bendi, petola dan sebagainya. Tempat cili padi juga kosong! Menjeling harga cili merah..... memang tak sanggup untuk memandang kali kedua. Terkejut beruk jadinya bila melihat harga lobak merah dari China dengan harga RM10.00 sekilogram! Hasrat di hati untuk beli buah-buahan seperti limau dan nanas tidak kesampaian kerana tiada sebiji limau atau epal di tempat biasa. 
Hanya buah tembikai dan betik sahaja yang ada. Itu pun harganya tak masuk akal. Dengan berat hati capai juga sebiji betik berharga RM4.30 sen sebiji dan sebiji tembikai dengan harga hampir RM20.00. Pernah terbaca dalam berita semasa, katanya Covid 19 menyebabkan harga tembikai jatuh. Di sini, Amie lihat harganya RM3.50 sen sekilogram.

Kita cerita tentang resepi pula.
Nasi Lemak Sambal Udang Kering ini Amie masak untuk hidangan sarapan pagi kami bersama Farid dan Fuad. Barangkali masak terlalu awal, jadi mata yang sedia rabun pun tak nampak kacang tanah terlebih goreng... ahaks! Warnanya pun ikut berubah jadi lebih gelap. Sambal nasi lemak Amie siapkan sebelah malam, jadi paginya hanya masak nasi lemak sahaja dengan beberapa lauk lain seperti telur rebus, dan goreng ikan bilis serta kacang tanah. Kebetulan pagi itu tidak ada timun. Nak minta Encik Suami ke kedai, masih terlalu pagi pula. Akhirnya Amie gantikan dengan daun salad dan lobak merah rebus. Anak-anak memang suka meratah salad dan lobak merah rebus.

 Banyak kali Amie paparkan resepi nasi lemak.

 Kali ini berbeza sedikit sebab Amie tambahkan salad dan lobak merah.

Amie hanya ingin kongsikan Sambal Udang Kering sahaja di sini.

Bahan-bahan:
1 helai daun pandan - siat dan simpul
3/4 cawan minyak
2 sudu besar gula merah parut
2 sudu besar gula pasir
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
25 gram belacan - hancurkan
1 cawan udang kering - rendam hingga lembut - toskan - kisar halus
1 sudu kecil Maggi Cukup Rasa

Bahan kisar:
30 tangkai cili kering
3 labu bawang besar
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
7 biji buah keras

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan masukkan daun pandan, belacan serta udang kering kisar. Tumis hingga terbit aroma.
2. Masukkan bahan kisar, gula melaka dan gula pasir.
3. Biarkan masak dengan api sederhana. 
4. Apabila terbit minyak, masukkan bancuhan asam jawa dan biarkan mendidih, sehingga terbit minyak sekali lagi.
5. Jika kurang rasa, bolehlah tambah  Maggi Cukup Rasa atau garam / gula dan sebagainya. Sebenarnya belacan dan udang kering sudah sedia memberi rasa masin dalam sambal. Apa pun, sesuaikan rasa mengikut selera masing-masing.

Kini semuanya hanya tinggal gambar kenangan. Moga Fuad baik-baik sahaja di Johor dan Farid di Perak pun demikian juga. Jaga diri kami wahai anak-anak yang jauh di mata.

Pagi itu kami nikmati Nasi Lemak Samba Udang Kering dengan secawan kopi Vietnam yang Amie sempat beli ketika berkunjung ke Danang, Vietnam pada Januari 2020 lalu.

4 ulasan:

  1. mmg rare bila nasilemak ada disajikan juga carrot & salad

    BalasPadam
  2. Mama Tisya,
    heheee... gunakan bahan yang ada saja.

    BalasPadam
  3. Belum pernah cuba makan nasi lemak bersambalkan sambal udang kering.
    Itulah kan, harap harap cepatlah virus covid-19 ni berakhir. Susah nak beli barang dan barang pun susah nak dapat. Agak sedih tapi kena akur juga

    BalasPadam
  4. Azhafizah,
    ada beza rasa sambal udang kering dengan sambal biasa.
    Apa boleh buat...covid 19 ujian yang tak terduga.

    BalasPadam