Assalamualaikum.
Selamat pagi semua.
Moga baik-baik sahaja sepanjang pagi ini.
Hari ini merupakan hari kesebelas kita berada dalam zon kawalan pergerakan. Syukur Alhamdulillah. Kita masih lagi diberi peluang menghirup udara pagi, menyantuni anak-anak dan suami, dan melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin selama ini tidak sempat kita lakukan dek kesibukan tuntutan kerja di luar.
Awal pagi tadi, Encik Suami sudah bertanya tentang sarapan pagi kami. Biasanya kalau Amie terlambat masuk dapur, Encik Suami akan didihkan air dan membancuh minuman panas sendiri, serta makan apa sahaja yang ada seperti roti atau biskut. Pagi ini, ketika sedang menyediakan sarapan pagi di dapur, terdengar lagi ketukan-ketukan di belakang dapur. Tidak lama kemudian ketukan terhenti dan kedengaran perbualan Encik Suami dengan jiran sebelah. Telinga Amie dapat tangkap sedikit perbualan mereka, kata Encik Suami dia sedang menyiapkan stor di belakang dapur untuk simpan barang-barang! Alhamdulillah. Kalau ada stor belakang rumah / dapur tidaklah lagi semak barang-barang simpanan dalam rumah termasuk periuk belanga dan pinggan mangkuk. Ada stor dalam rumah, di bawah tangga tetapi saiznya kecil, dan penuh dengan segala barang entah hape-hape.... ahaks!
Seperti hari sebelumnya, tiap kali bangun pagi kita mengharapkan akan adanya berita rebakan wabak Covid-19 yang lebih baik dari semalam. Namun, berita duka yang terus diterima tanpa henti. Nampaknya tularnya Covid-19 sudah tidak dapat dibendung walaupun khabar yang didengar China sudah mampu mengatasinya. Kini, Amerika Syarikat pula mencatatkan kes positif Covid-19 tertinggi dunia dengan angka 85,653 mengatasi jumlah 82,672 negara China! Secara puratanta, Covid-19 telah membunuh lebih 24,000 nyawa di seluruh dunia. Setakat ini Italy penyumbang rekod tertinggi dunia dengan sebanyak 8,000 kematian. Kalau sebelum ini kita bimbang dengan Covid-19 di China, Korea Selatan, Jepun, Iran dan Italy tetapi kini lebih membimbangkan lagi situasinya di Sepanyol, Jerman, Perancis, Switzerland dan United Kingdom.
Bagaimana agaknya sekiranya Covid-19 ini terus merebak anpa kawalan ke atas negara-negara benua Afrika yang kekurangan kemudahan kesihatannya?
Allahu Akbar!
Doa agar terlindung dari penyakit menular yang diajarkan Nabi Muhammad SAW. Dalam sebuah hadis sahih Abu Daud, doa tersebut berbunyi:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ ، وَالجُنُونِ ، والجُذَامِ ، وَسَيِّيءِ الأسْقَامِ
"Allaahumma innii a'uudzu bika minal barashi wal junuuni wal judzaami wa sayyi il asqoom"
Maksudnya: "Ya Allah, Aku berlindung kepada-Mu dari penyakit belang, gila, lepra dan keburukan segala macam penyakit." H.R Abu Dawud: 1554.
Cerita dari dapur Amie kali ini sudah tentunya tentang menu sarapan pagi kami iaitu Mee Hoon & Suhun Goreng. Hasil mengemas dapur, membersihkan peti sejuk akhirnya terkumpul beberapa bahan yang masih elok untuk digunakan. Antaranya termasuklah beberapa kuntum cendawan kering shiitake, segenggam sendawan telinga tikus dan 10 gram suhun dan sebotol minyak bijan yang belum digunakan. Timbullah idea untuk masak mee hoon goreng dicampur dengan suhun dan akan renjiskan dengan sedikit minyak bijan. Boleh tabur hirisan daun bawang... perrgghhh! Bertambahlah lazatnya aroma yang akan timbul! Tapi... tak ada daun bawang!
Segenggam cendawan telinga tikus yang Amie rendam semalaman dari petang kelmarin, akhirnya mengembang menjadi semangkuk! Tapi kalau inginkan cendawan kembang semaksimanya, dan lebih lembut bolehlah buat sedemikian.
Cendawan kering shiitake juga mengembang lembut serta cantik dengan aromanya yang sungguh menggoda!
Hirisan cendawan telinga tikus.
Hirisan cendawan kering shiitake.
Jom kita buat kerja menggoreng mee hoon campur suhun.
Bahan-bahan:
1 bungkus mee hoon - rendam hingga lembut - toskan
10 gram suhun - rendam hingga lembut - toskan
7 kuntum cendawan telinga tikus - rendam hingga kembang - hiris
4 kuntum cendawan kering shiitake - rendam hingga kembang - hiris
1 cawan hirisan dada ayam
1 cawan hirisan lobak merah
1 sudu besar kicap pekat - bancuh dengan 1/2 cawan air
1 sudu besar minyak bijan
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga terbit aroma.
2. Masukkan dada ayam, lobak merah dan cendawan kering shiitake dan cendawan telinga tikus. Gaul rata dan biarkan hingga dada ayam masak.
3. Kemudian masukkan mee hoon bersama suhun diikuti dengan bancuhan kicap pekat.
4. Kacau rata, dan seterusnya perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Renjiskan dengan minyak bijan. Kacau sekali dua dan kemudian padamkan api dapur.
Biasanya suhun dimasak tanpa mee hoon seperti masakan tang hoon goreng, tapi Amie campurkan kedua-duanya sekali.
Lama tak nampak cendawan telinga tikus tu. Ingatkan xde dah. lama tak makan juga tapi tak pernah makan campur bihun sebab rasanya agak kuat juga kan
BalasPadam